Eklampsia: Benarkah Ia Datang Secara Tiba-tiba

March 17, 2020

Eklampsia bukanlah hal biasa yang terjadi kepada ibu hamil. Satu hal yang perlu diketahui, elakkan penyebab-penyebab yang boleh mengakibatkan eklampia ini ketika hamil. Jangan terlepas pandang kerana ia boleh mengakibatkan kehilangan nyawa. Dr. Norintan Zainal Shah, Pakar Perunding Obstetriks & Ginekologi, Hospital Columbia Seremban berkongsi apakah itu eklampsia.

Eklampsia merupakan serangan sawan akibat tekanan darah tinggi ketika hamil. lanya amat serius kerana ibu boleh mengalami pelbagai masalah termasuklah kerosakan organ seperti otak, hati dan ginjal. Eklampsia juga menyebabkan pendarahan, koma, strok dan maut. Anak di dalam kandungan juga boleh mengalami masalah pramatang dan maut. Eklampsia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira usia, bangsa dan lokasi.
 
Elak Hipertensi

TMasalah eklampsia ini bermula dengan masalah tekanan darah tinggi atau hipertensi ketika hamil. Terdapat tiga kumpulan pesakit darah tinggi ketika mengandung ini iaitu hipertensi yang telah sedia ada sebelum hamil, masalah hipertensi yang bermula setelah hami (selepas kandungan berusia 20 minggu) dan pra-eklampsia. Penyakit hipertensi dalam ketiga-tiga kumpulan ini perlu dikawal dan diubati kerana jika tidak, eklampsia atau sawan, akan datang mendadak.

Di antara tiga kumpulan hipertensi di atas, kumpulan pra-eklampsia adalah yang paling bahaya kerana ia kerap diikut dengan sawan. Pelbagai kajian dijalankan untuk memahami mengapa pra-eklampsia boleh berlaku tetapi para doktor masih belum dapat menemui sebab yang nyata. Apa yang diketahui setakat ini adalah pra-eklampsia bermula dengan masalah dalam pembentukan dan perkembangan uri dari awal kandungan, diikuti dengan masalah radang dan kerosakan endothelium sepanjang kehamilan. Secara amnya, masalah pra-eklampsia dikatakan mula berlaku apabila bacaan tekanan darah ibu yang hamil tadi mencecah 140/90mmhg dan kehadiran protein dalam air kencing yang melebihi 0.3gram/24jam.

Namun, bacaan tekanan darah 140/90mmh tidak semestinya tepat untuk semua wanita. Apabila wanita hamil mendapati tekanan darah pada lawatan pertama di klinik antenatal adalah rendah (contohnya 90/60mmhg), mereka boleh juga mendapat masalah pra eklampsia jika bacaan diastolik (60mmhg) meningkat melebihi 15mmhg dan bacaan sistolik (90mmhg) meningkat sebanyak 30mmhg. Ini bererti, pra-eklampsia boleh berlaku apabila bacaan tekanan darah adalah 120/75mmhg!

Bagi kehadiran protein dalam air kencing pula, pemeriksaan air kencing di klinik antenatal selalunya menggunakan dip stick dan keputusannya ditulis sebagai negative trace, 1+, 2+, 3+ dan 4+ atau solid. Jika keputusan dip stick untuk air kencing didapati 2+ atau lebih, pesakit akan dimasukkan ke dalam wad obstetrik untuk rawatan pra-eklampsia.

Jika gagal mengenalpasti wanita-wanita hamil yang mengalami pra-eklampsia, maka wanita tersebut menghadapi risiko yang tinggi untuk mendapat sawan eklampsia. Jangkamasa pra-eklampsia menjadi eklamspsia adalah amat cepat! Malah, apabila serangan eklampsia berlaku, ianya merupakan satu situasi kecemasan yang amat mencabar dan sukar dirawati.
 
Golongan Berisiko

Kumpulan wanita hamil yang berisiko tinggi untuk mendapat pra eklampsia dan eklampsia perlulah berjaga-jaga. Antara kriteria mereka:
 
  • Usia belasan tahun/40 tahun ke atas.
  • Mengandung kali pertama.
  • Pernah mengalami pra-eklampsia/eklampsia dalam kandungan sebelumnya.
  • Mempunyai saudara, adik-beradik atau ibu yang pernah mengalami pra-eklampsia.
  • Mengalami obesity dengan BMI>30.
  • Wanita yang sudah pun mengalami hipertensi dan kencing manis sebelum hamil.
  • Wanita yang mengalami kandungan kembar atau molar (uri besar).

Simptom-simptom eklampsia perlu dikenal pasti. Jika ada yang mengalami simptom berikut, segeralah ke hospital serta merta untuk mendapatkan pemeriksaan tekanan darah dan air kencing. contohnya:
 
  1. Sakit kepala
  2. Pening
  3. Kabur mata
  4. Pandangan bercahaya/silau
  5. Sakit tengkok
  6. Loya atau muntah
  7. Sakit ulu hati
  8. Rasa kurang sihat

Walaubagaimanapun, ramai juga pesakit pra-eklampsia dan eklampsia yang tidak mempunyai apa-apa simptom atau gejala. Ini menyukarkan doktor untuk menghalang eklampsia menyerang pesakit secara tiba-tiba!



 
Jenis Rawatan

Bagi mereka yang berisiko terdapat pelbagai saranan, tip dan juga mitos untuk mengelakkan wanita hamil dari diserang eklampsia. Antaranya adalah:
 
  1. Kalsium
  2. Kajian menyarankan ibu yang beriso tinggi mengambil pil kalsium 1.5- 2.0gram setiap hari.



  3.  
  4. Aspirin
  5. Low-dose aspirin 75mg juga didapati membantu untuk mengelakkan pra-eklampsia. Ada pendapat yang menyarankan low dose aspirin dimulakan ketika usia kandungan 12 minggu.



  6.  
  7. Ubat Tekanan Darah Tinggi
  8. Semua ibu hamil yang mempunyai masalah darah tinggi hendaklah mengambil ubat secara berdisiplin. Ubat seperti methyldopa misalnya sudah lama digunakan dan selamat untuk ibu dan anak.



  9.  
  10. Magnesium Sulphate (MGS04)
  11. Mgso4 adalah pilihan terbaik bagi masalah pra-eklampsia. la mengelakkan serangan sawan eklampsia. la juga digunakan untuk mengubati pesakit yang telah diserang sawan eklampsia.



  12.  
  13. Kelahiran Bayi
  14. Dalam kes pra-eklampsia yang serius, bayi akan dilahirkan walaupun belum ada tanda-tanda ibu akan bersalin. Jika bayi belum matang, doktor akan menyarankan kelahiran bayi untuk menyelamatkan ibu.



  15.  
  16. Selepas Kelahiran
  17. Penggunaan ubat diteruskan bagi mengawal masalah hipertensi. Jika pesakit gagal mengambil ubat, serangan sawan eklampsia boleh berlaku sewaktu tempoh pantang selepas bersalin.



  18.  
  19. Rehat Di Rumah
  20. Cadangan rehat di rumah untuk mengelakkan pra-eklampsia belum terbukti lagi.



  21.  
  22. Mengurangkan Garam Dalam Diet
  23. Ini adalah cara hidup sihat tetapi belum terbukti boleh mengelakkan pra-eklampsia.



  24.  
  25. Vitamin C, D dan E
  26. Setakat ini, belum ada bukti kukuh yang menunjukkan vitamin-vitamin ini dapat mengelakkan masalah pra-eklampsia.



  27.  
Kesimpulannya, jika anda hamil dan mempunyai masalah darah tinggi, pastikan puan mendapat rawatan segera. Jika terdapat protein dalam air kencing, pastikan ianya bukan pra eklampsia. Jika ada gejala atau simptom yang disebut di atas, awasilah bacaan tekanan darah. Sikap berjaga-jaga serta rawatan rapi dari hospital amatlah penting untuk mengelakkan eklampsia menyerang secara tiba-tiba.

Photo Credit: Freepik.com


Dr. Norintan Binti Zainal Shah
Consultant Obstetrician & Gynecologist
Columbia Asia Hospital – Seremban
MBBCh BAO (Ireland), LRCP & SI (Ireland), MMed (Obs & Gyn) (USM)
 
PDF and Online Articles:
  Artikel ini disiarkan oleh Majalah Pa & Ma, 1 Mac 2020
 
Looking for Obstetrics & Gynecology in Columbia Asia?
 
Follow us for latest Health Tips: