Terlalu Bersih Mengundang Alahan

January 16, 2019


Alahan terutama dalam kalangan kanak-kanak kini diterima sebagai suatu penyakit yang biasa berlaku di negara ini namun di negara barat peningkatan kes penyakit terbabit begitu membimbangkan pakar kesihatan. Di Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara barat lain, jumlah kanak-kanak yang menghidap alahan makanan meningkat lebih 50 peratus antara tahun 1997 dan 2011.

Malah sejak kebelakangan ini, kes kanak-kanak yang meninggal dunia akibat alahan makanan menjadi perhatian negara berkenaan ekoran terdapat campuran yang tersembunyi dalam makanan tidak berbahaya seperti sandwic dan biskut.

Pada masa yang sama para saintis yang menyelidik beberapa hipotesis tentang punca dan bagaimana alahan boleh berlaku percaya sikap masyarakat yang terlalu menjaga kebersihan anak masing-masing mungkin menyebabkan peningkatan penyakit ini.

Perkara ini diakui oleh Pakar Kanak-kanak Hospital Columbia Asia, Dr. Hew Khor Farn yang memberitahu, berdasarkan kajian epidemiologi, perkara tersebut sering dibangkitkan dalam hipotesis kebersihan (hygiene hypothesis) yang mencadangkan semakin bersih tubuh badan dan persekitaran, semakin tinggi peluang berlakunya penyakit alahan.



“Malaysia merupakan sebuah negara sedang membangun justeru semakin maju sesebuah negara maka semakin meningkat penyakit alahan. Bagi kes alahan makanan sudah pasti kes kematian wujud di Malaysia akibat alahan ini tetapi jumlahnya kecil,’’ katanya.

Namun ujar beliau, meskipun penjagaan kebersihan badan dan persekitaran berjaya mengurangkan jangkitan kuman, tetapi di sebalik `kebersihan’ ini menyebabkan tubuh badan seseorang hilang keseimbangan.

Ini akan menyebabkan peningkatan alahan seperti penyakit asma, alahan hidung (allergic rhinitis) dan alahan kulit (eczema). Begitu juga dengan penyakit autoimun seperti penyakit kencing manis jenis 1 (type 1 diabetes mellitus) dan penyakit radang usus (inflammatory bowel disease).

Katanya, sistem pertahanan badan mestilah dalam keadaan seimbang untuk melawan jangkitan kuman dan juga untuk mencegah alahan. Ini kerana ketidakseimbangan sistem ini akan menyebabkan berlakunya lebih banyak penyakit alahan kepada seseorang.

“Sistem pertahanan badan menjadi terlebih sensitif (over sensitive) dan seterusnya menimbulkan reaksi alahan terhadap bahan-bahan yang tidak bahaya terhadap badan kita. Contohnya makanan-makanan tertentu seperti kekacang, telur, makanan laut, habuk dan debunga,’’ ujar Dr. Khor Farn.

AMY MAY-SHEAD mengalami kerosakan otak akibat alahan kacang selepas menikmati makanan di sebuah restoran.


Alahan makanan yang serius boleh mengganggu sistem badan dan menjejaskan fungsi sistem kardiovaskular, menyebabkan penurunan tekanan darah serta kegagalan denyutan jantung, iaitu renjatan jantung (cardiogenic shock) yang mungkin menyebabkan kematian jika tidak diberi rawatan segera.

Secara amnya penyakit alahan makanan di negara ini merangkumi alahan terhadap makanan yang biasa seperti telur, ikan, kerang, kacang, soya, gandum selain alahan protein susu lembu iaitu simptom-simptom alahan pada bayi yang diberikan susu lembu.

Sindrom enterokolitis protein makanan atau FPIES merupakan simptom-simptom alahan berlaku secara lebih lambat yang boleh menyebabkan muntah dan cirit-birit teruk sehingga menyebabkan dehidrasi.

“Puncanya disebabkan ketidakseimbangan sistem pertahanan badan akibat sistem pertahanan badan menjadi terlebih sensitif dan menimbulkan reaksi alahan terhadap bahan-bahan yang biasanya tidak bahaya terhadap badan kita,’’ katanya.

Antara simptom alahan melibatkan kulit ialah timbul kemerahan atau ruam kulit, kegatalan kulit, bengkak di bahagian mata atau muka manakala alahan sistem pernafasan melibatkan selesema, batuk, sesak nafas dan nafas berbunyi (wheezing).



Bagaimanapun simptom paling bahaya adalah anafilaksis (anaphylaxis) yang mana akan menjejaskan beberapa sistem badan dan mungkin boleh membawa maut.

Simptom-simptom alahan boleh dirawat dengan ubat-ubatan seperti steroid, anti-histamine manakala untuk alahan yang serius seperti anafilaksis, suntikan adrenalin atau dengan pen adrenalin boleh menyelamatkan nyawa.

“Satu lagi cara rawatan yang agak berkesan tetapi mahal dan memakan masa yang lama adalah imunoterapi (Immumotherapy).’’ ujarnya.

Tegas beliau cara pencegahan yang paling berkesan adalah menghindari makanan dan bahan yang alah dan membina sistem pertahanan badan yang kuat.


Dr. Hew Khor Farn
Consultant Pediatrician
Columbia Asia Hospital – Cheras

Artikel ini disiarkan oleh Utusan Online, 13 Januari 2019

Click for Online Article: