22 Pasukan Berentap Pertandingan Boling Columbia Asia

November 14, 2018



PETALING JAYA: Sebanyak 22 pasukan termasuk pelanggan korporat dan syarikat farmaseutikal beraksi dalam pertandingan boling ‘Strike Out Cancer!’ anjuran Hospital Columbia Asia (CAH) di Wangsa Bowl pusat beli belah 1Utama, Bandar Utama, di sini, semalam.



Kemeriahan terasa apabila lapan bekas pesakit kanser menyertai pertandingan berkenaan.

Pertandingan itu adalah bersempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Columbia Asia bagi Asia Tenggara, Kelvin Tan. Hadir sama Pengurus Besar Wilayah Malaysia Barat CAH, Engku Marina Engku Hatim dan Presiden Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA), Ranjit Kaur.



Kelvin turut menyerahkan replika cek RM5,000 kepada Ranjit bagi melaksanakan program pendidikan dan komuniti berkaitan kanser payudara.

Pertandingan boling itu adalah julung kali diadakan oleh CAH sebagai sokongan kepada kempen memerangi kanser payudara bersama BCWA.

"Adalah menjadi keperluan untuk mengesan pada peringkat awal berkaitan kanser payudara dan kami di Columbia Asia bekerjasama dengan masyarakat ke arah itu. Saya bangga dengan apa yang sudah dilaksanakan dan perkembangan yang dicapai sejak beberapa tahun dalam memerangi kanser payudara.

"Setiap acara adalah proses pembelajaran bagi saya. Saya kagum dengan kehadiran pada acara ini dan berkongsi pengalaman serta meluahkan harapan dalam melaksanakan usaha murni ini.

“Objektif utama yang kami ingin kongsi dalam acara ini ialah sokongan berterusan, memerangi dan mencetuskan kesedaran berkaitan kanser payudara dalam kalangan masyarakat,” katanya.

This news first appeared in Berita Harian, 13 November 2018.

Click for Online Article: