Rai Hari Jantung Sedunia dengan Pertandingan Futsal

October 01, 2018


COLUMBIA Asia Hospital-Cheras meraikan Hari Jantung Sedunia 2018 menerusi penganjuran kejohanan futsal yang berlangsung di Balakong, semalam.

Penganjuran futsal ‘Kick and Dribble for your Heart’ yang menjadi sebahagian daripada aktiviti komuniti secara tahunan berjaya menarik minat 32 pasukan dalam kalangan komuniti, pelanggan korporat dan media bagi saingan julung kali diadakan itu. Pengurus Besar Wilayah Malaysia Barat (Wilayah 1) Columbia Asia, Engku Marina Engku Hatim menjelaskan kesedaran terhadap kesihatan jantung mendorong pihaknya menganjurkan kejohanan futsal berkenaan.

“Kadar kematian membabitkan penyakit kardiovaskular sentiasa meningkat dalam kalangan orang muda. Sebagai sambutan untuk Hari Jantung Sedunia pada tahun ini, kami menamakan kejuaraan ini sebagai ‘Kick and Dribble for your Heart’. “Kami cuba mengambil pendekatan berbeza untuk menyemarakkan budaya hidup sihat dalam kalangan komuniti menerusi penganjuran aktiviti ini,” katanya.

Sambutan hangat terhadap kejohanan itu dapat disaksikan selepas dua pasukan dari Seremban turut sama mengambil bahagian. Menggunakan format Piala Dunia, kejohanan terbabit menawarkan hadiah berjumlah RM2,000 dan pingat kepada pasukan yang bergelar juara sementara RM1,000, RM500 dan RM300 masing masing kepada naib juara, pasukan tempat ketiga dan tempat keempat.

“Kami mahu mengambil bahagian dan memberi ganjaran kepada mereka yang berikrar untuk mengamalkan gaya hidup sihat kerana kami percaya pencegahan lebih baik berbanding rawatan.

“Kami mengharapkan kejohanan ini akan menjadi lebih besar pada tahun hadapan dan mengalukan kerjasama daripada pelbagai pihak dalam misi membudayakan gaya hidup sihat di negara ini,” kata Engku Marina.

Pada aksi final, Avatar F.T muncul juara selepas menundukkan Canaan F.T menerusi keputusan 2-1.

Artikel ini disiarkan oleh Harian Metro – 24 September 2018.

Click for Online Article: