MINYAK zaitun adalah lemak yang diperoleh hasil daripada perahan buah zaitun (olea europaea) yang banyak terdapat di rantau Mediterranean seperti di Sepanyol, Turki, Itali, Tunisia dan Morocco. Jom baca selanjutnya dan sama-sama ambil tahu tentang penyakit autoimun ini.
Disebabkan mengandungi khasiat yang tinggi, minyak zaitun telah digunakan secara meluas dalam bidang kecantikan, perubatan termasuk kulinari.
Pakar Pemakanan, Hospital Columbia Asia, Iskandar Puteri Johor, Yap Pau Lin berkata, minyak zaitun mengandungi lemak mono tidak tepu (MUFA) yang menyihatkan, di samping lemak tepu dan juga lemak poli tidak tepu (PUFA) termasuk omega 3 dan omega 6.
Ia juga terkandung bahan antioksida seperti hydroxytyrosol, oleocanthal, squalene dan beta karotin selain vitamin E tokoferol dan juga vitamin K.
Justeru, kata Pau Lin, orang ramai perlu belajar mengenali sama ada minyak zaitun yang dibeli adalah asli atau berbentuk tiruan.
Jika memilih minyak zaitun yang diimport dari luar negara, pastikan dahulu ketulenan logo pengesahan produk tersebut. Antaranya tercatat:
- International Olive Council (IOC)
- California Olive Oil Council (COOC)
- Certified Australian Extra Virgin Olive Oil
- Australia Olive Oil Association (AOOA)
- Protected Destination of Origin-Europe
Ujar pakar itu lagi, harga yang mahal tidak semestinya memberi jaminan bahawa minyak zaitun itu berkualiti tinggi.
Katanya, umum perlu memahami bahawa harga sesuatu jenama itu kadang-kadang terlalu tinggi disebabkan pihak pengeluar mengambil kira cara pemprosesan minyak zaitun, kaedah ekstrak dan kos pengimportan.
Kata Pau Lin, secara keseluruhannya, minyak zaitun dibahagikan kepada lima jenis iaitu extra virgin, virgin olive, pure olive, extra light/light dan pomace (gred paling rendah).
“Daripada semua itu, extra virgin merupakan gred minyak zaitun yang paling tinggi dan mahal. Ia mengandungi kandungan antioksidan yang paling tinggi untuk melindungi sel-sel badan daripada dirosakkan. Namun, ia tidak sesuai untuk dimasak pada suhu lebih daripada 160 darjah selsius,“ ujarnya.
Pun demikian, Pau Lin memberitahu, pengambilan minyak zaitun asli yang telah diproses pada suhu tinggi atau terkandung bahan kimia tidak dicadangkan walaupun dijual pada harga yang melambung. Seperkara lagi, jangan keterlaluan menggunakan minyak zaitun kerana ia tetap mengandungi lemak.