分享:
这篇文章对您有帮助吗?
Masalah keputihan ketika hamil antara keluhan yang sering dialami si ibu, namun perlukah masalah ini dikhuatiri?
Tahap peningkatan estrogen badan semasa hamil meningkatkan aliran darah ke kawasan pelvik dan merangsang membran mukus namun lelehan faraj yang tidak disenangi wanita ini tidak dicipta sia-sia kerana ia ada fungsinya yang tersendiri.
Ia bertindak sebagai pembersih semula jadi vagina, membantu mencegah jangkitan dengan membuang bakteria seterusnya menjaganya sentiasa berada pada paras pH yang normal dan membuang sel mati.
Hampir semua wanita mengalami lelehan faraj yang lebih daripada biasa semasa kehamilan. Ini berlaku disebabkan semasa kehamilan, serviks (leher rahim) dan dinding vagina menjadi semakin lembut dan lelehan meningkat untuk membantu mencegah jangkitan dari faraj ke rahim. Apabila melahirkan anak, biasanya masalah ini hilang sendiri.
Pakar Sakit Puan Hospital Columbia Asia Setapak, Dr Herbert Low berkata, meskipun masalah lelehan faraj ketika hamil kebanyakannya tidak perlu dikhuatiri dan sebahagian daripada perkara normal kehamilan, tetapi amat penting untuk si ibu memberitahu doktor jika lelehan itu menimbulkan ketidakselesaan.
Katanya, lelehan faraj dikatakan normal semasa hamil jika ia jernih atau berwarna putih tanpa menyebabkan rasa gatal atau tidak selesa.
Sebaliknya jika lelehan terlalu banyak hingga memerlukan ibu hamil menukar pad atau pelapik seluar dalam dengan kerap, gatal, berbau kurang menyenangkan atau bertukar warna, ia perlu diambil perhatian kerana mungkin itu tanda jangkitan.
“Jika lelehan vagina disebabkan jangkitan, risiko kelahiran pramatang serta air ketuban pecah lebih awal daripada sepatutnya.
“Oleh itu, sentiasa dapatkan nasihat perubatan di fasiliti kesihatan sekiranya anda mendapati lelehan vagina yang tidak normal. Jangkitan biasanya boleh dirawat oleh doktor dengan pemberian ubatan.
“Kebiasaannya, lelehan faraj yang tidak normal adalah disebabkan perubahan pada flora di bahagian itu. Flora faraj normal biasanya didominasi pelbagai spesis pembersihan semula jadi laktobasilus yang juga dikenali sebagai bakteria baik.
“Kewujudannya bertujuan sebagai perlindungan terakhir untuk mengelakkan berlakunya masalah jangkitan pada bahagian sulit dengan menghasilkan hidrogen peroksida dan asid laktik untuk menghalang pembiakan yis dan bakteria yang tidak diperlukan,” katanya.
Artikel ini disiarkan oleh Harian Metro, 25 March 2019
分享:
这篇文章对您有帮助吗?
分享:
这篇文章对您有帮助吗?