Langkau ke kandungan

Risiko Wanita Hamil di Luar Rahim, Adakah Pembedahan IVF Diperlukan?

06 Oktober 2022

•

Minit 6 dibaca

Risiko Wanita Hamil di Luar Rahim, Adakah Pembedahan IVF Diperlukan?

KEHAMILAN adalah satu proses paling indah bagi wanita yang telah mendirikan rumah tangga. 

Namun, seperti yang sering kita dengar, setiap badan ‘pembawakannya‘ berbeza-beza. Sesetengahnya, tiada masalah langsung. 

Namun, terdapat individu merentas satu pengalaman yang cukup mendebarkan. Rakan penulis misalnya, pernah ‘menghuni‘ sebuah hospital hampir tujuh bulan selepas mengandung anak kembar. 

Doktor yang merawatnya terpaksa berbuat demikian disebabkan kandungannya yang lemah. 

Itu adalah salah satu contoh kesulitan. Terdapat Satu lagi masalah yang ditakuti. Tidak lain tidak bukan adalah hamil di luar rahim atau kehamilan ektopik. Difahamkan, keadaan itu adalah punca utama kematian dalam kalangan wanita yang hamil (bagi 3 bulan pertama). 

Difahamkan, keadaan itu adalah punca utama kematian dalam kalangan wanita yang hamil (bagi 3 bulan pertama). 

Mendengar hal itu pasti membuatkan sesiapapun tidak senang duduk. Bagi memperhalusi apakah maksud di sebalik kandungan di luar rahim seperti yang pernah berlaku kepada selebriti popular tanah air, Shima Anuar, SinarPlus menghubungi Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Columbia Asia Hospital Seremban, Dr Sathya S Anandarajah.. 

Ujar Dr Sathya, kehamilan itu adalah sejenis komplikasi apabila telur disenyawakan telah menempel di dalam tiub fallopio. Bagi kandungan normal, embrio yang terhasil akan bergerak melalui tiub berkenaan dan melekat pada dinding rahim seterusnya menjadi bayi. 

“Pun begitu, bagi kehamilan ektopik, embrio tidak bergerak seperti biasa dan itu yang menjadi punca kepada kandungan di luar rahim,“ jelasnya sambil memberitahu 98 peratus kandungan luar rahim selalunya terjadi dalam tiub fallopio. 

Ia juga boleh berlaku pada ovari, serviks (pangkal rahim) termasuk berpotensi menempel pada bahagian abdomen perut caesarean sebelum ini. 

“Kadangkala, terdapat juga komplikasi dalam kandungan iaitu ada dua implantasi tisu yang disenyawakan di dalam dan luar rahim pada masa sama yang dipanggil kehamilan heterotopik,“ ujarnya. 

Tak jejas kesuburan  

Beritahu Dr Sathya, di Malaysia kehamilan seumpama itu jarang berlaku. Hanya 1 hingga 2 peratus yang berdepan situasi berkenaan. 

Berdasarkan laman web perubatan keluarga, Very Healthy Family (VHF) yang memetik sumber March Of Dimes, kira-kira satu dalam setiap 50 kehamilan di Amerika Syarikat berdepan dengan permasalahan tersebut.  

Bagaimana seseorang ibu mengetahui mereka sedang berdepan dengan masalah itu? Berikut adalah huraiannya: 
 

  • Sakit di bahagian bawah perut sama ada di sebelah kiri atau kanan dan juga pada ari-ari perut.
  • Berlaku pendarahan faraj yang tidak normal.  
  • Rasa mahu pitam dan pening.  
  • Sakit apabila membuang air besar.  
  • Sakit pada bahagian bahu.


Lazimnya, petanda-petanda tersebut akan terjadi ketika enam hingga 10 minggu kehamilan. Dalam tempoh itu, keguguran juga kadangkala tidak dapat dielakkan, kata pakar berkenaan.  

Kepada satu soalan, Dr Sathya menjelaskan, terdapat beberapa sebab kehamilan ektopik tercetus. 

“Antaranya wanita itu mempunyai sejarah kandungan di luar rahim sebelum itu, selain terdapat jangkitan kuman pada bahagian pelvis. Ibu itu juga mungkin seorang perokok atau pernah membuat rawatan pembedahan untuk tiub fallopio. 

“Faktor lain adalah menjalani pembedahan pemandulan iaitu membuang sebahagian tiub fallopio dan pernah membuat rawatan kesuburan,“ terangnya. 

March Of Dimes dalam penulisannya pula mengatakan, kehamilan jenis itu biasanya boleh terjadi kepada mereka yang berusia lebih 35 tahun. 

Penyakit endometriosis juga boleh menjadi salah satu punca. Endometriosis merupakan satu keadaan yang tidak merbahaya, tetapi boleh menyebabkan kesakitan dan pelbagai masalah lain yang kerapkali mengganggu pengeluaran benih serta menyekat saluran peranakan wanita. 

Seandainya seorang wanita pernah mengandung di luar rahim, bagaimana agaknya situasi mereka untuk kelahiran pada masa akan datang?  

Menjawab persoalan itu, VHF berkata, kira-kira satu dalam tiga wanita yang pernah berdepan dengan masalah itu dapat meneruskan kehamilan yang sihat.  

“Jika pernah mengalaminya (kehamilan ektopik), anda juga mempunyai kira-kira 15 peratus peluang untuk hamil lagi,“ kata sumber tersebut. 

Sementara itu, mengenai tahap kesuburan seorang wanita yang pernah menjalani pembedahan membuang tiub fallopio, Dr Sathya berkata, ia sama sekali tidak akan terjejas.  

“Dalam hal ini, penting untuk mereka bersedia dari aspek fizikal dan mental sebelum sekali lagi cuba untuk hamil,“ ujarnya. 

IVF (in-vitro)

Dalam pada itu, Pensyarah Perubatan yang juga Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia, Dr Ahmad Shuib Yahaya berkata, pesakit yang telah kehilangan satu tiub fallopio kerana kandungan di luar rahim masih boleh mengandung secara biasa tanpa kaedah reproduksi bantuan jika masih memiliki satu lagi tiub yang normal. 

“Maksud saya di sini adalah tiada kaedah atau nasihat yang mewajibkan kaedah rawatan kesuburan persenyawaan in-vitro (IVF) sebagai salah satu cara mengandung (selepas kehamilan di luar rahim).  

“Indikasi dicadangkan untuk rawatan IVF masih perlu diteliti. Hanya jika kedua-dua tiub fallopio telah rosak atau tiada, maka rawatan IVF merupakan satu-satunya cara untuk seseorang wanita boleh mengandung. Selain itu, penyakit lain pada pesakit seperti endometriosis juga menjadi penyebab dinasihatkan jalani kaedah IVF,“ terangnya. 

Menyentuh mengenai rawatan untuk kandungan ektopik, Dr Ahmad Shuib berkata, jika kandungan (ektopik) telah pecah dan menyebabkan pendarahan, maka pembedahan perlu dilakukan. Berikut disenaraikan opsyen rawatan, namun pemeriksaan susulan perlu dilakukan terlebih dulu:

Perubatan

“Pendekatan ini biasanya akan menggunakan sejenis ubat iaitu methotrexate yang diberikan secara suntikan. Kriteria membolehkan rawatan perubatan ini termasuk kehamilan ektopik yang tidak pecah, diameter kantung kehamilan kurang daripada 3 sentimeter, tahap serum beta-hCG kurang daripada 3,000 IU dan imbasan ultrabunyi tidak menunjukkan pendarahan dalam pelvis.

Konservatif

Hanya sebahagian kecil pesakit yang sesuai dipantau tanpa diberikan sebarang rawatan ubat atau pembedahan. Antara ciri-ciri yang sesuai untuk pemantauan sebegini adalah mereka yang stabil dan tiada tanda sakit mahupun pendarahan, saiz kandungan yang kecil serta bersedia untuk menjalani pemeriksaan yang kerap. 

Pemantauan dilakukan selagi mana pesakit stabil dan bacaan serum beta-hCG menunjukkan trend penurunan sehingga kembali normal (negatif). 

Pembedahan

Rawatan secara pembedahan laparoskopi (pembedahan teropong) adalah pendekatan pilihan bagi kebanyakan kehamilan ektopik. Namun, ia bergantung pada kewujudan peralatan pembedahan dan kepakaran doktor.  

Pendekatan minimum ini bertujuan membolehkan pesakit pulih dengan kadar yang lebih cepat dan mengurangkan risiko komplikasi seperti jangkitan, pendarahan dan masalah luka pembedahan.  

Untuk kes tiub yang telah pecah dan keadaan seseorang wanita tidak stabil, pembedahan terbuka (laparotomi) terpaksa dilakukan (berbanding pembedahan laparoskopi) kerana proses pembedahan dapat dilakukan dengan lebih cepat.  

Berbanding pembedahan laparoskopi, luka yang terhasil adalah lebih besar dan pesakit selalunya mengambil masa yang lebih lama untuk pulih. Jika berlaku kes kehilangan darah yang banyak, pemindahan darah diperlukan.  

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Shuib berkata, kehamilan di luar rahim memang tidak dapat dicegah. Bagaimanapun, wanita hamil dinasihatkan membuat pemeriksaan awal dan melakukan ujian imbasan ultrabunyi seawal yang mungkin. 

“Walaupun cara itu tidak dapat mencegah risiko kehamilan ektopik, tetapi jika dapat dikesan dengan cepat, kita dapat elakkan komplikasi seperti pendarahan teruk dan kehilangan nyawa. 

“Tambahan pula, jika mereka masih dalam keadaan stabil dan kandungan jenis itu dikesan masih awal, rawatan ubatan menggunakan ubat methotrexate dapat diberikan, sekali gus mengelakkan perlunya pembedahan,“ katanya sambil menambah, kehamilan ektopik boleh menyebabkan kematian ibu apabila berlaku pendarahan dalaman yang tidak segera dihentikan. -NUR SUHAIMA NORDIN 

#kisahresponden  

Tiada masalah untuk mengandung sekali lagi walau tiub fallopia pecah  

TIADA siapa yang mahu ditimpa segala macam penyakit. Namun, bagi Nor Atika Fatin Giman, beliau reda apabila terpaksa membuang tiub fallopionya disebabkan disahkan mengandung di luar rahim.  

Beritahu wanita berusia 24 tahun itu, doktor terpaksa berbuat demikian kerana janinnya telah pecah sehingga tiub berkenaan terkena jangkitan kuman.  

“Sewaktu awal kehamilan, saya hanya buat ujian menggunakan alat ujian kehamilan di rumah kerana kebetulan saya perlu kuarantin seminggu dari 16 hingga 22 Februari lalu disebabkan positif Covid-19.  

“Pada ketika itu, saya alami muntah-muntah sama seperti wanita lain pada awal kehamilan. Namun, tak sempat nak rujuk doktor,“ katanya ketika dihubungi baru-baru ini.  

Kepada SinarPlus, Nor Atika Fatin berkata, sepanjang mengandung, dirinya tidak mengalami sebarang pendarahan, tetapi terpaksa dibawa ke hospital disebabkan pitam selepas perut di bahagian bawah sakit teruk.  

“Selepas pemeriksaan dan pembedahan dilakukan, saya terkejut apabila dimaklumkan oleh doktor bahawa saya mengandung di luar rahim (pada 25 Februari lalu). Sewaktu itu, usia kandungan saya baru hampir sebulan,“ katanya yang pasrah dengan situasi tersebut walaupun kesedihannya tidak tertanggung.  

Tiada sebarang komplikasi yang berlaku, namun paras haemoglobin (HB) Nor Atika Fatin agak rendah sehingga memerlukannya makan ubat yang disyorkan ketika berpantang. 

“Selepas dua minggu, baru HB saya dalam keadaan baik dan luka pembedahan pula mengambil masa dalam sebulan untuk pulih,“ ungkapnya. 

Pembantu operasi di sebuah syarikat itu berkata, hasil konsultasi, doktor memberitahu bahawa beliau tiada masalah untuk mengandung sekali lagi, tetapi kehamilan seterusnya perlu dirancang dengan teliti. 

Namun, durasi masa yang perlu diambil mestilah selepas tujuh bulan bagi memastikan keadaan beliau betul-betul sembuh dan bersedia sepenuhnya.  

“Jika ditakdirkan saya mempunyai rezeki untuk hamil lagi, doktor menggalakkan saya untuk membuat pemeriksaan seawal mungkin bagi memastikan kejadian yang sama tidak berulang,“ ujarnya sambil menambah, tiada seorang pun daripada ahli keluarganya yang pernah hamil di luar rahim.-NUR SUHAIMA NORDIN  

Artikel ini disiarkan oleh SinarPlus, 25 September 2022.

Berkongsi:

Adakah artikel ini membantu?

06 Oktober 2022

•

Minit 6 dibaca

Risiko Wanita Hamil di Luar Rahim, Adakah Pembedahan IVF Diperlukan?

Dr. Sathya S. Anandarajah

Obstetrics And Gynecology

Ketahui lebih lanjut tentang Obstetrik Dan Ginekologi dalam Columbia Asia

Ketahui lebih lanjut

Perlukan bantuan lanjut?

Bercakap secara langsung atau hubungi Columbia Asia hospital berhampiran anda.

Hubungi Kami

Tanya pakar

Lorem ipsum dolor duduk amet, consectetuer dipiscing elit.

Tanya Sekarang

Berkongsi:

Adakah artikel ini membantu?

Langgan buletin kami untuk lebih banyak Petua Penjagaan Kesihatan.

Medan ini adalah untuk tujuan pengesahan dan harus dibiarkan tidak berubah.

Ikuti kami untuk Tips Kesihatan terkini

Talian Kecemasan Terdekat

Klang

Kenalan kecemasan lain

Lihat sekarang
Klang

Pilih Hospital Pilihan Anda