Bedung antara amalan orang tua dulu bagi membantu bayi baru lahir lebih lena ketika tidur.
Seawal bayi lahir sehingga menjangkau usia tiga bulan, amalan bidan terdahulu biasanya membedung bayi dengan kain nipis atau kain batik bagi membataskan pergerakannya.
Seiring dengan perubahan zaman, ibu masa kini memiliki persepsi berbeza mengenai amalan tradisi itu kerana bimbang ia tidak lagi praktikal untuk diamalkan.
Menurut Pengasas Pusat Jagaan Ibu Berpantang dan Bayi Ummi Hani Bidan Tradisi & Spa, Norzihani Radzuan, kebimbangan ibu kebanyakannya bersandarkan amalan membedung bayi mengehadkan pergerakan selain membuatkan bayi kurang selesa.
“Antara kebimbangan kebanyakan ibu pada hari ini ialah mitos bayi berasa rimas dan tidak rasa selesa kerana tidak dapat menggerakkan anggota seperti tangan dan kaki.
“Tambahan pula ibu muda mendakwa cuaca panas boleh menyebabkan bayi dibedung berasa sangat terganggu dan tidak lena tidur.
“Hakikatnya bayi dibedung lebih memerlukan tubuh mereka dibalut atau ‘dibungkus’ seolah-olah berada dalam rahim ibu,” katanya.
Tambah juruterapi perbidanan atau Confinement Lady (CL) berusia 32 tahun itu lagi, amalan tradisi yang wajar diteruskan ibu masa kini supaya tidur si anak lebih lena dan tenang.
“Walaupun ia amalan bidan lama namun tidak bermakna amalan membedung bayi itu lapuk.
“Jika ibu membedung bayi mereka dengan material kain dan kaedah yang betul, efeknya sangat positif terhadap bayi.
“Ia dapat membantu mengasuh bayi pada usia kritikal yang mana refleks motor bayi ketika itu sangat sensitif. Bayi dibedung kurang mengalami trauma atau rasa gayat.
“Kebaikan lebih ketara jika ibu membedung bayi sebelum penyusuan atau memandikan bayi mereka.
“Merujuk kepada penyusuan langsung ke badan atau susu botol, bayi dibedung dikatakan kurang tersedak susu.
“Sementara ketika memandikan bayi pula, kaedah bedung ini juga dapat mengurangkan risiko bayi terkejut apabila rambutnya disiram air,” katanya.
Norzihani berkata, bagi ibu yang mendapati bayi mereka sukar lena atau mudah terkejut ketika tidur, kaedah membedung bayi antara alternatif paling berkesan.
“Paling penting ibu muda haruslah mempelajari teknik membedung bayi dengan mereka berpengalaman supaya isu berkait dengan ketidakselesaan bayi terhadap amalan itu dapat ditangani,” katanya.
Beliau yang berpengalaman hampir 10 tahun membimbing ibu muda berkongsi kaedah membedung yang betul:
- Pastikan si ibu memilih jenis kain nipis dan mudah serap peluh, tidak terlalu kecil dan tidak pula terlalu besar.
- Bayi dalam keadaan yang tenang dan tidak memaksa tubuhnya ketika balutan kain bedung dilakukan.
- Bayi berada dalam permukaan yang rata dan selamat ketika membedung.
- Balutan kain tidak boleh terlalu ketat atau terlalu longgar.
- Pastikah kedua-dua tangannya berada dalam kain arah ke bawah sisi badan bayi.
- Jangan lilit lebihan kain bedung di kaki atau lutut sehinggakan membuat bayi berasa rimas dan sakit.
Sementara itu, Jururawat Bidan Columbia Asia Hospital – Petaling Jaya Siti Naeemah Rashid Ahmed berkata, kajian diterbitkan Journal Of Pediatrics pada tahun 2016 mendapati amalan membedung bayi dapat mengurangkan risiko Sindrom Kematian Mengejut Bayi (SIDS).
“Amalan membedung perlu dilakukan dengan cara yang betul iaitu memberikan ruang kepada kaki bayi untuk bergerak supaya perkembangan pinggul berlaku secara normal.
“Malah ibu bapa dinasihatkan untuk memantau suhu persekitaran dan memilih kain bedung yang sesuai mengikut keadaan cuaca.
“Sebaiknya ibu bapa, terutamanya yang baru pertama kali menyambut kelahiran anak, pelajari teknik membedung daripada jururawat atau doktor terlatih atau menghadiri kelas antenatal,” katanya.
Kesan lebih optimum, ibu juga boleh mengurut bayi mereka sebelum membedung bayi supaya si comel anda berasa lebih tenang dan relaks.
Berkongsi:
Adakah artikel ini membantu?
Siti Naeemah Rashid Ahmed
Ketahui lebih lanjut tentang dalam Columbia Asia
Ketahui lebih lanjutPerlukan bantuan lanjut?
Bercakap secara langsung atau hubungi Columbia Asia hospital berhampiran anda.
Hubungi KamiBerkongsi:
Adakah artikel ini membantu?
Pakej Kesihatan
Meningkatkan kesihatan anda dengan pakej kesihatan yang disesuaikan di Columbia Asia Hospital. Jaga perjalanan kesihatan anda hari ini.