28 Ogos 2024
•Minit 5 dibaca
Elak Duduk Lama Dalam Tandas & Suka Meneran Jika Tak Mahu Alami Buasir Pakar Ini Turut Kongsikan 8 Tip Pencegahan
Buasir, atau lebih dikenali sebagai hemoroid, adalah masalah kesihatan yang sering diabaikan dan kurang dibincangkan secara terbuka. Walaupun buasir boleh mempengaruhi sesiapa sahaja, masih ramai individu yang berasa malu atau enggan mencari jalan penyelesaian. Meskipun begitu, mencari penyelesaian untuk masalah buasir adalah sesuatu yang penting dan satu tindakan yang bijak. Mengatasi masalah buasir, terutamanya pada peringkat awal, dapat mencegah komplikasi kesihatan yang lebih serius dalam jangka panjang.
Apa itu buasir?
Buasir atau hemoroid merupakan salur darah vena di bahagian pangkal dubur yang membengkak. Buasir terjadi apabila berlakunya tekanan di kawasan sekeliling anus yang disebabkan oleh masalah sembelit, memaksa najis keluar dengan meneran secara berlebihan, atau tabiat duduk terlalu lama semasa buang air besar. Secara umumnya, buasir boleh diklasifikasikan kepada dua iaitu buasir luaran atau buasir dalaman. Dari segi anatomi, kedua-dua buasir ini berasal daripada salur darah yang berbeza. Namun demikian, gejala untuk kedua-dua jenis buasir ini adalah hampir serupa.
- Buasir dalaman
Buasir ini adalah salur darah vena yang bengkak di lapisan dalam rektum. Buasir dalaman mungkin menyebabkan pendarahan yang tidak disertai rasa sakit. Sesetengah pesakit dapat rasakan seperti ada ketulan yang terkeluar dari dubur selepas membuang air besar. Ketulan ini mungkin akan hilang dengan sendiri atau perlu ditolak balik ke dalam dubur.
- Buasir luaran
Buasir ini berlaku di luar bahagian dubur yang menyebabkan rasa sakit, berdarah, gatal atau bengkak semasa membuang air besar. Walau bagaimanapun, tahap kesakitan yang dirasai oleh setiap individu adalah berbeza. Ada yang mungkin berasa tidak selesa, ada juga yang berasa panas atau pedih ketika membuang air besar.
Peringkat-peringkat buasir
- Peringkat pertama
Pendarahan sewaktu membuang air besar. Kebiasaanya, pendarahan di dalam najis berlaku ketika hampir selesai membuang air besar. Pada awalnya, darah tidak akan bercampur dengan najis. Akan tetapi, darah segar akan menitis di dalam mangkuk tandas ketika hampir selesai membuang air besar.
- Peringkat kedua
Pendarahan dan ketulan di pangkal dubur yang masuk semula ke dalam dubur secara semula jadi.
- Peringkat ketiga
Pendarahan dan ketulan di pangkal dubur yang perlu ditolak dengan jari untuk dimasukkan semula ke dalam dubur
- Peringkat keempat
Pendarahan dan ketulan di pangkal dubur yang sentiasa berada di luar dubur dan tidak boleh dimasukkan kembali. Jika ketulan ini beserta dengan kesakitan dan tidak dapat dimasukkan semula, kemungkinan ini adalah buasir yang mempunyai komplikasi darah beku atau dikenali sebagai thrombosed haemorrhoid.
Â
Prosedur mengenal pasti buasir
Setelah mengetahui sejarah penyakit, doktor akan memeriksa pesakit. Pemeriksaan di kawasan pangkal dubur akan dilakukan dengan cara memasukkan jari ke dalam pangkal dubur untuk memastikan tiada ketulan lain yang wujud.
Selain itu, satu alat iaitu proktoskopi akan dimasukkan ke pangkal dubur untuk mengenal pasti buasir. Prosedur ini tidak menyakitkan dan merupakan pemeriksaan utama yang harus dilakukan oleh doktor untuk mengesahkan kewujudan buasir.
Jika ada pesakit yang mengalami gejala lain selain najis berdarah, mereka akan dinasihatkan untuk menjalani ujian kolonoskopi. Ujian ini melibatkan penggunaan tiub yang fleksibel dan kamera yang akan dimasukkan ke dalam usus besar untuk memastikan tiada ketumbuhan di dalamnya.
Kaedah rawatan buasir di hospital
Rawatan pembedahan untuk buasir bergantung kepada peringkat buasir yang dihadapi oleh pesakit. Antara rawatan intervensi awal buasir adalah banding atau ikat. Salur darah yang bengkak akan diikat dengan getah. Kemudian, buasir akan mengecut.
Selain itu, rawatan menggunakan teknologi laser yang dikenali sebagai laser haemorrhoidoplasty di mana salur darah serta ketulan buasir yang membengkak akan dimatikan dengan menggunakan laser.
Terdapat juga rawatan secara jahitan dan sengkak yang dipanggil haemorrhoidal artery ligation and rectoanal repair. Rawatan ini boleh dilakukan khususnya untuk buasir yang membengkak dan terkeluar dari pangkal dubur. Teknik stapler atau dikenali sebagai stapler haemorrhoidectomy juga boleh dilakukan untuk pesakit yang mempunyai buasir yang bersifat sekeliling.
Di samping itu, pembedahan membuang buasir atau dikenali sebagai haemorrhoidectomy akan dilakukan untuk buasir tahap empat, iaitu pesakit yang mengalami komplikasi darah beku (thrombosed haemorrhoid).
Kesimpulannya, setiap rawatan buasir adalah bersifat khusus kepada setiap individu. Ini kerana, setiap pesakit yang mengalami peringkat buasir yang berlainan memerlukan rawatan yang berbeza. Oleh itu, pesakit dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor pakar yang berdekatan untuk mengesahkan penyakit buasir serta peringkatnya.
8 PETUA CEGAH DAN KURANGKAN SAKIT BUASIR
- Ubah gaya hidup menjadi lebih aktif melalui aktiviti bersenam.
- Pastikan pengambilan air tidak kurang daripada 2.5 liter setiap hari untuk mengelakkan dehidrasi.
- Amalkan pemakanan suku-suku separuh iaitu suku untuk karbohidrat dan protein, manakala separuh untuk serat iaitu sayur-sayuran dan buah-buahan.
- Banyakkan pengambilan serat terutamanya sayur-sayuran serta buah-buahan.
- Jangan tahan buang air besar.
- Elakkan paksa meneran atau meneran secara berlebihan ketika membuang air besar.
- Elakkan duduk terlalu lama di mangkuk tandas.
- Kurangkan mengangkat barangan berat.
Artikel ini disiarkan oleh sinarplus, 13 Mei 2024.
Berkongsi:
Adakah artikel ini membantu?
28 Ogos 2024
•Minit 5 dibaca
Elak Duduk Lama Dalam Tandas & Suka Meneran Jika Tak Mahu Alami Buasir Pakar Ini Turut Kongsikan 8 Tip Pencegahan
Ketahui lebih lanjut mengenai Pembedahan Am Dan Pembedahan Kolorektal di Columbia Asia
Ketahui lebih lanjutPerlukan bantuan lanjut?
Bercakap secara langsung atau hubungi Columbia Asia hospital berhampiran anda.
Hubungi KamiBerkongsi:
Adakah artikel ini membantu?
Pakej Kesihatan
Meningkatkan kesihatan anda dengan pakej kesihatan yang disesuaikan di Columbia Asia Hospital. Jaga perjalanan kesihatan anda hari ini.