Menurut Laporan Daftar Kanser Kebangsaan Malaysia 2017-2021, kanser hati kini menduduki tempat kelima dalam senarai kanser paling kerap berlaku di negara ini, mencatatkan peningkatan dari tempat kelapan berbanding laporan sebelumnya (2012-2016). Statistik tersebut juga menunjukkan jumlah kes kanser hati di kalangan lelaki adalah lebih tinggi berbanding wanita. Peningkatan kes ini perlu dititikberatkan oleh masyarakat terutama sekali bagi mereka yang mempuyai faktor risiko. Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad turut berkata “Kadar kematian kanser hati melonjak secara global, didorong oleh wabak obesiti dan diabetes.”. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya untuk masyarakat lebih peka tentang perkara-perkara yang dapat meningkatkan risiko kanser hati dan gejala-gejalanya.
Peranan Hati dalam Menjaga Kesihatan Tubuh
Hati, organ dalaman terbesar dalam tubuh manusia, memegang peranan yang sangat penting dalam memastikan kelancaran fungsi tubuh. Salah satu tugas utama hati adalah detoksifikasi, dimana ia menapis darah daripada toksin, ubat-ubatan, dan bahan kimia di dalam tubuh. Selain itu, hati juga berfungsi sebagai tempat penyimpanan tenaga dengan menyimpan glukosa dalam bentuk glikogen, memastikan tubuh mempunyai sumber tenaga yang mencukupi apabila diperlukan. Peranan organ ini juga melibatkan penghasilan protein, termasuk albumin dan faktor pembekuan darah yang penting dalam proses penyembuhan apabila kita mengalami kecederaan. Di samping itu, hati turut menghasilkan hempedu, sejenis cecair yang amat penting dalam membantu pencernaan lemak. Penglibatan hati dalam metabolisme lemak, protein, dan karbohidrat dan membantu mengawal keseimbangan hormon dalam tubuh menjadikannya organ yang begitu vital dalam mengekalkan kesihatan kita. Tanpa hati yang berfungsi dengan baik, tubuh kita akan menghadapi pelbagai cabaran.
Mengenal Punca dan Risiko Kanser Hati
Kanser hati sering kali berpunca daripada kerosakan hati, dan terdapat beberapa faktor risiko yang boleh meningkatkan kemungkinan seseorang menghidapinya. Salah satu penyebab utama adalah jangkitan hepatitis yang berlaku dalam tempoh yang lama (kronik), terutamanya oleh virus Hepatitis B (HBV) dan Hepatitis C (HCV). Penyakit hati berlemak, iaitu pengumpulan lemak pada organ hati, juga meningkatkan risiko kanser hati dan penyakit ini sering dikaitkan dengan obesiti atau diabetes. Selain itu, individu yang mengalami sirosis, iaitu parut pada hati, turut berisiko dan keadaan ini selalunya berlaku akibat daripada jangkitan, pengambilan alkohol berlebihan, atau penyakit autoimun. Pengambilan alkohol secara berlebihan memainkan peranan besar dalam merosakkan hati, maka orang ramai harus berwaspada dengan kadar pengambilan alkohol mereka. Di samping itu, makanan tercemar seperti kacang tanah atau jagung boleh mengandungi racun yang dikenali sebagai aflatoksin (dihasilkan oleh kulat) dan ia boleh menjadi punca kanser hati. Faktor genetik turut memainkan peranan iaitu bagi mereka yang mempunyai sejarah keluarga yang menghidap kanser hati. Penggunaan steroid anabolik dalam jangka masa panjang (contohnya oleh ahli bina badan) turut meningkatkan risiko kerana bahan tersebut dapat menyebabkan kerosakan hati. Dengan mengetahui punca dan faktor risiko ini, kita dapat lebih berhati-hati dalam menjaga kesihatan hati dan mencegah penyakit berbahaya ini.

Gejala Awal Kanser Hati
Pada peringkat awal, kanser hati selalunya tidak menunjukkan gejala yang jelas. Namun, beberapa tanda amaran yang mungkin muncul termasuk:
- Kelesuan dan berasa kurang tenaga
- Kehilangan berat badan tanpa sebab yang jelas.
- Hilang selera makan yang berpanjangan.
- Rasa kenyang walaupun makan sedikit.
- Sakit atau rasa tidak selesa di bahagian kanan atas perut.
- Kulit dan mata menjadi kuning (jaundis).
- Abdomen menjadi bengkak.
Jika seseorang mengalami gejala-gejala ini, ianya sangat penting untuk segera mendapatkan pemeriksaan perubatan.

Cara Mendiagnosis Kanser Hati
Kanser hati boleh didiagnosis melalui beberapa kaedah. Pertama, ujian darah dilakukan untuk mencari tanda-tanda seperti paras enzim hati yang tinggi atau penanda tumor, salah satunya alfa-fetoprotein (AFP), yang boleh menunjukkan kehadiran kanser. Selain itu, imbasan seperti ultrasound, CT scan, atau MRI juga digunakan untuk melihat dengan jelas sebarang tumor yang mungkin ada pada hati. Jika hasil imbasan mencurigakan, biopsi hati akan dilakukan, di mana sedikit sampel tisu diambil untuk disahkan di makmal. Selain itu, elastografi membantu untuk menilai tahap kerosakan atau parut pada hati (sirosis). Semua kaedah ini bekerjasama untuk memberikan gambaran lengkap tentang keadaan hati dan membantu doktor membuat diagnosis.

Jenis Rawatan dan Kemungkinan Pemulihan
Rawatan untuk kanser hati bergantung kepada peringkat kanser dan keadaan kesihatan pesakit secara keseluruhan. Beberapa pilihan rawatan yang tersedia termasuk pembedahan untuk membuang bahagian hati yang terjejas oleh tumor, atau pemindahan hati jika hati telah rosak teruk. Bagi tumor yang lebih kecil, rawatan seperti ablasi digunakan, di mana haba atau alkohol digunakan untuk memusnahkan sel-sel kanser. Selain itu, embolisasi juga boleh dilakukan, iaitu dengan menyekat bekalan darah ke tumor untuk menghalangnya daripada berkembang. Terapi sasaran adalah pilihan lain yang menggunakan ubat seperti sorafenib atau lenvatinib untuk menghalang pertumbuhan sel kanser, manakala imunoterapi membantu merangsang sistem imun tubuh untuk melawan kanser. Walaupun kemoterapi jarang digunakan dalam kes kanser hati, ia masih boleh memberi manfaat dalam beberapa keadaan, terutama apabila kanser telah merebak.
Prognosis atau peluang pemulihan pesakit bergantung kepada peringkat kanser ketika ia dikesan. Jika kanser hati dikesan pada peringkat awal, peluang untuk sembuh adalah lebih tinggi. Namun, bagi kanser yang telah mencapai peringkat lanjutan, rawatan lebih fokus kepada mengawal penyakit dan mengurangkan simptom.
Cara Mencegah Kanser Hati
Pencegahan kanser hati bermula dengan langkah-langkah mudah yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian. Salah satunya adalah dengan mendapatkan vaksin Hepatitis B, yang dapat mengurangkan risiko jangkitan virus ini. Selain itu, orang ramai juga perlu mengelakkan jangkitan Hepatitis C dengan mengamalkan gaya hidup sihat, seperti memastikan penggunaan jarum steril untuk menghindari penularan virus. Mengurangkan
pengambilan alkohol juga sangat penting, kerana alkohol yang berlebihan boleh merosakkan hati dan meningkatkan risiko kanser.
Berat badan memainkan peranan dalam usaha pencegahan ini dan ia perlu dikawal untuk mengelakkan obesiti yang dapat menjurus kepada penyakit hati berlemak. Di samping itu, amalan pemakanan yang bersih seperti mengelakkan makanan yang tercemar dengan aflatoksin, juga membantu menjaga kesihatan hati. Akhir sekali, bagi individu yang berisiko tinggi seperti mereka yang menghidap hepatitis atau sirosis, pemeriksaan kesihatan secara berkala sangat disarankan untuk mengesan sebarang masalah pada peringkat awal. Dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan ini, kita boleh menjaga hati kita dengan lebih baik dan mengurangkan risiko kanser hati.
Sebagai kesimpulannya, kanser hati merupakan ancaman kesihatan yang semakin meningkat di Malaysia, terutamanya di kalangan individu yang mempunyai faktor risiko seperti jangkitan hepatitis, obesiti, atau pengambilan alkohol berlebihan. Oleh itu, ianya sangat penting untuk kita meningkatkan kesedaran tentang punca, gejala, dan langkah pencegahan kanser hati. Dengan menjaga kesihatan hati melalui gaya hidup sihat, pemakanan yang bersih, dan pemeriksaan kesihatan secara berkala, kita dapat mengurangkan risiko menghidap penyakit ini. Selain itu, pengesanan awal kanser hati juga memberi peluang yang lebih baik untuk pemulihan, menjadikan kesedaran dan pencegahan sangat penting dalam usaha untuk melawan kanser hati.
Artikel ini disiarkan oleh Kosmo! pada Januari 24, 2025.
Share:
Was this article helpful?
Share:
Was this article helpful?
Health Packages
Elevate your health with tailored health packages at Columbia Asia Hospital. Take charge of your health journey today.