Pertama sekali, mari kita fahami dengan jelas perbezaan antara serangan gangguan keresahan (anxiety attack) dan serangan panik (panic attack). Walaupun kedua-duanya adalah kegelisahan secara umum, serangan gangguan keresahan bukanlah diagnosis yang rasmi; sebaliknya ia adalah istilah sehari-hari yang digunakan untuk menerangkan pembentukan pemikiran cemas yang beransur-ansur menjadi teruk dari semasa ke semasa. Seseorang akan berasa tegang, gelisah, resah, sukar menumpukan perhatian dan sukar tidur. Kejadian seperti ini biasanya berlangsung selama beberapa hari, iaitu tempoh yang lebih lama berbanding dengan serangan panik.
Serangan panik biasanya tidak dapat diramalkan kerana ia melibatkan perasaan takut dan gerun secara tiba-tiba. Ia datang dengan sesak nafas, jantung berdebar-debar, pening, sesak dada atau berpeluh.
Sebagai rujukan, saya akan menggunakan istilah keresahan untuk maksudkan keresahan umum, keresahan antenatal, keresahan selepas bersalin, serangan gangguan keresahan dan serangan panik.
Adakah keresahan antenatal normal?
Keresahan menjejaskan 2.5 daripada 10 wanita hamil di Malaysia. Oleh itu, kita menganggap bahawa keresahan di kalangan bakal ibu adalah seperti perkara biasa. Menggalas tanggungjawab atas kehidupan baru dan memastikan tumbesaran bayi selamat, baik dan sihat bukanlah satu tugas yang mudah. Apabila diambil kira dengan sejarah keluarga yang mengalami kemurungan atau keresahan, penganiayaan pasangan intim, penyalahgunaan dadah, komplikasi semasa kehamilan, keguguran pada masa lalu, ketidakharmonian dalam hubungan keluarga; mana-mana daripada faktor ini boleh mengganggu kegembiraan menanti kelahiran cahayamata. Sebaliknya, ibu hamil menjadi resah gelisah tidak berkesudahan. Jika anda wanita hamil yang mengalami perasaan yang sama, ketahuilah bahawa anda tidak bersendirian.
Bagaimana rasa gelisah mempengaruhi proses bersalin
Kegelisahan ibu mempengaruhi bayi dalam kandungan
Semasa mengandung, bayi terdedah kepada pengalaman ibunya seperti bunyi, nafas dan makanan, termasuklah perasaan dan emosi. Perasaan kegelisahan boleh meningkatkan hormon tertentu pada ibu yang boleh mempengaruhi perkembangan otak dan badan bayi.
Bila harus dapatkan bantuan professional
Dalam hidup, perasaan bimbang kerana fasa keibuan baru adalah perkara biasa. Keresahan yang penuh dengan emosi sekadar menyediakan kita menghadapi apa yang mungkin berlaku, terutamanya apabila mengalami banyak perubahan baru.
Walau bagaimanapun, jika bakal ibu mula berasa seperti hilang kawalan, sila dapatkan rawatan psikoterapi daripada ahli psikologi klinikal untuk mempelajari cara mengawal perasaan dan fikiran anda. Saya masih belum berjumpa dengan sesiapa yang menyesal setelah meminta bantuan untuk kesihatan mental mereka. Sebaliknya, ramai pesakit yang menyesal kerana tidak mendapatkan rawatan lebih awal! Perasaan keresahan yang semakin teruk kemungkinan besar meningkat apabila wanita hamil menghampiri hari bersalin mereka. Menangani punca keresahan mengambil masa. Oleh itu, keputusan yang terbaik adalah untuk mendapatkan rawatan psikoterapi sebaik sahaja keresahan dikesan.
Ubat keresahan semasa mengandung
Bagi kebanyakan wanita, mengambil ubat anti-resah semasa mengandung mungkin bukan pilihan kerana masih terdapat maklumat yang terhad tentang keselamatan ubat ini untuk bayi. Oleh itu, adalah penting bagi wanita hamil untuk berbincang dengan pakar psikiatri sebelum mendapatkan ubat.
Selain ubat, ada pilihan rawatan lain, contohnya rawatan psikoterapi seperti Terapi Tingkah Laku Kognitif (Cognitive Behavioural Therapy). Terapi ini membantu untuk menangani pemikiran yang tidak membantu, emosi yang berat dan menyediakan strategi pengurusan rasa resah gelisah.
Petua untuk mengatasi rasa gelisah menjelang bersalin
Belajar kemahiran bertenang. Latihan seperti pernafasan diafragmatik, meditasi, teknik grounding, dan kesedaran boleh membantu meredakan fikiran anda daripada keresahan dan menenangkan badan anda.
Dapatkan tidur yang mencukupi. Ketahui keadaan yang paling sesuai untuk anda tidur seperti menggunakan bantal khas untuk ibu mengandung, bilik yang tenang atau rutin katil yang menenangkan.
Letakkan fikiran dan emosi anda di atas kertas dengan memperuntukkan 15 minit pada penghujung hari untuk menulis. Peruntukan masa ini akan membantu otak anda memahami bahawa ia mempunyai masa tertentu untuk memikirkan keresahan ini, jadi anda tidak akan berasa bimbang sepanjang hari.
Anda juga boleh mencuba psikoterapi. Kenal pasti dan pelajari cara untuk menguruskan pemikiran dan keresahan anda tentang kehamilan anda atau perasaan menjadi seorang ibu.
Bantuan pasangan semasa bersalin
Kekal tenang dan galakkan isteri untuk menarik nafas panjang. Sebolehnya, terus kekal tenang dan tunjukkan tanda kasih seperti memegang tangan atau genggaman lembut pada tangan, untuk membantu isteri berasa tenang.
Tawarkan jaminan dengan memberitahu kata-kata afirmatif kepadanya seperti “Saya di sini bersama awak.”, “Awak baik-baik saja.”, atau “Saya sangat bangga dengan awak,” untuk mengingatkannya tentang sokongan anda antara satu sama lain, dan dia tidak bersendirian.
Beri dia masa dan jangan tergesa-gesa untuk menenangkannya dengan mengatakan sesuatu seperti, “Hentikan sahaja!”. Dia memerlukan masa untuk bertenang ketika anda menawarkan jaminan.
Apa yang TIDAK boleh dikatakan kepada ibu yang merasa bimbang
Elakkan penyelesaian masalah. Anda boleh mencuba dan mencadangkan jalan penyelesaian setelah ibu tenang. Pada saat-saat serangan gangguan keresahan atau serangan panik, emosi adalah sangat tegang di mana sukar untuk minda kita membuat keputusan yang rasional. Elakkan bertanya “Apa yang salah?” atau “Apa yang berlaku?”. Sebaliknya, fokus pada keadaan untuk menenangkan emosinya.
Elakkan komen yang menghakimi. Ibu mengalami banyak perubahan dalam tubuh mereka. Mereka merasai banyak keresahan, walaupun itu bukan kehamilan atau kelahiran pertama mereka. Oleh itu, jauhi komen seperti “Awak terlalu banyak berfikir!” “Awak ni lebih-lebih lah!” “Keadaan Puan X lebih teruk awak”. Sebaliknya, ingatkan dia tentang sokongan anda kepadanya.
Kesukaran ikatan perhubungan antara ibu dan bayi
Ya. Keresahan postnatal (keresahan selepas bersalin), apabila teruk, selalunya boleh menjadikan bayi baru bertindak balas menjauhi ibunya kerana ketakutan. Sangat penting bagi bayi yang baru lahir untuk mempunyai hubungan yang rapat dengan ibu.
Untuk kes sebegini, saya amat mengesyorkan agar para ibu mendapatkan perkhidmatan psikoterapi untuk menangani punca ketakutan mereka dan membantu mengeratkan lagi hubungan ibu dan bayi yang baru lahir. Sokongan pasangan masing-masing dalam mencari bantuan profesional adalah penting untuk membantu para ibu mendapatkan rawatan bagi perasaan gelisah tentang keresahan dan proses pemulihan.
Pasangan boleh menawarkan sokongan dan menjadi telinga yang mendengar untuk memahami fikiran dan perasaan isterinya. Memandangkan sesetengah ibu juga sibuk dengan kerja-kerja rumah, pasangan boleh menawarkan untuk bergilir-gilir mengendalikan beberapa kerja. Pasangan boleh perlahan-lahan melibatkan dirinya dalam mengendalikan bayi seperti berada bersama pasangannya semasa sesi penyusuan atau membantu memandikan bayi.
Baru dan rapuh
Saya telah melihat beberapa kes di mana ibu enggan meninggalkan hospital atau rumah selepas bersalin. Meninggalkan hospital bermakna mereka harus berdikari dalam hal menjaga bayi. Meninggalkan rumah bermakna mereka akan mendedahkan bayi kepada dunia luar, menjadikan bayi itu berisiko mendapat penyakit. Sebab-sebab ini boleh menjadi tanda-tanda keresahan selepas bersalin atau kemurungan selepas bersalin.
Rujuk pakar psikologi klinikal untuk memahami dengan lebih lanjut dan mendapatkan rawatan yang sesuai melalui terapi serta sokongan keluarga. Hal itu akan menjadi kunci untuk mengatasi ketakutan menjadi seorang ibu.
Berkongsi:
Adakah artikel ini membantu?
Artikel dan Video
Ketahui lebih lanjut tentang Psikiatri dalam Columbia Asia
Ketahui lebih lanjutPerlukan bantuan lanjut?
Bercakap secara langsung atau hubungi Columbia Asia hospital berhampiran anda.
Hubungi KamiBerkongsi:
Adakah artikel ini membantu?
Pakej Kesihatan
Meningkatkan kesihatan anda dengan pakej kesihatan yang disesuaikan di Columbia Asia Hospital. Jaga perjalanan kesihatan anda hari ini.