“Kak, dari tadi lagi saya nampak awak menggaru. Awak okay tak?”
“Aduh, dah lebih satu minggu kaki dan tangan saya gatal-gatal. Dah cuba macam-macam losen pun tak hilang. Tengok ni. Merah-merah. Gatal sangat, kadang-kadang saya garu sampai kulit merekah dan berdarah.”
Pernahkah anda mengalami situasi seperti ini? Ia mungkin membuat kita tidak senang duduk. Ada kala kegatalan meluap-luap sehingga pesakit tidak sanggup menahan rasa bahang yang menggelikan, tetapi awas – semakin kita menggaru, semakin teruk keadaan kulit.
Punca gatal tangan dan kaki
“Tangan dan kaki yang gatal mungkin berpunca daripada pelbagai faktor sehingga mencetuskan keinginan untuk menggaru yang teramat sangat,” kata Pakar Dermatologi dari Columbia Asia Hospital – Klang, Dr. Meera Kuppusamy.
“Antara faktor kegatalan adalah kulit kering, alahan, dermatitis kontak akibat terdedah kepada perengsa, jangkitan kulat atau parasit, dan penyakit kulit seperti ekzema atau psoriasis.”
Ada kalanya, rasa gatal ini bukan hanya kerana masalah kulit biasa. Akan tetapi, ia boleh menjadi satu petanda bagi masalah kesihatan yang lain seperti masalah hati atau buah pinggang, kencing manis, masalah tiroid, atau kehadiran sel kanser. Mengenal pasti punca kegatalan adalah penting dalam menguruskan keadaan ini.
Musuh tersembunyi di kulit anda
“Produk yang kita gunakan setiap hari memainkan peranan penting. Sesetengah produk boleh menjadikan kegatalan semakin teruk,” sambung Dr Meera. “Sebagai contoh, produk yang terdedah kepada alergen seperti jenis fabrik tertentu atau bahan kimia, boleh mencetuskan tindak balas alahan, seterusnya mengakibatkan rasa gatal di bahagian yang terdedah. Selain itu, perubahan suhu yang mendadak, terutamanya suhu panas atau sejuk yang melampau boleh meningkatkan rasa gatal pada kulit.”
Selain itu, produk yang digunakan dalam rutin kebersihan harian juga boleh menyumbang kepada kulit rengsa. Sabun mandi yang tidak sesuai seperti yang mengandungi bahan pewangi atau bahan kimia yang tinggi boleh menyebabkan kulit menjadi kering dan gatal. Kita juga tidak digalakkan untuk terdedah terlalu lama kepada air, terutamanya air panas semasa mandi atau melakukan kerja-kerja rumah. Ini kerana ia boleh mengurangkan kelembapan kulit, menjadikannya mudah gatal.
Pilihan pemakaian seperti memakai fabrik yang ketat dan menyebabkan sukar untuk bernafas boleh menjadikan kegatalan semakin teruk. Ini terutamanya berlaku di kawasan yang mudah berpeluh. Kasut yang tidak sesuai juga boleh mencetuskan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan kulat atau jangkitan bakteria.
Selain faktor luaran, gaya hidup juga memainkan peranan penting. Pengambilan air yang tidak mencukupi boleh menyebabkan kulit menjadi kering, mendatangkan kegatalan. Akhir sekali, diet yang tidak seimbang juga boleh menyumbang kepada kulit kering dan rengsa. Contohnya, diet yang kekurangan nutrien dan vitamin penting untuk kesihatan kulit.
Gatal bukan sekadar gatal
“Jika kegatalan masih berterusan walaupun telah mencuba langkah-langkah penjagaan kulit, ia boleh jadi petanda bagi masalah yang lebih serius atau terdapat alergen yang perlu dielakkan,” kata Dr Meera lagi. “Perubahan yang ketara pada tekstur kulit, seperti mengelupas, melepuh, atau kemunculan pustula memberi makna keadaan kulit yang lebih serius.
“Tidak lupa juga, jika kegatalan disertai dengan simptom lain seperti keletihan, penurunan berat badan, sakit sendi, dan demam, mungkin terdapat masalah kesihatan sistemik yang memerlukan perhatian pakar perubatan.”
Kenali isyarat daripada kulit anda
“Keadaan kulit yang meradang, bengkak atau muncul kemerahan, berisiko menjadi masalah yang lebih serius. Kemunculan lepuh kecil mahupun lepuh besar yang merebak ke anggota badan lain dikira sangat membimbangkan dan memerlukan perhatian perubatan segera.” ulas Dr Meera.
Di samping itu, tabiat menggaru yang kerap akibat kegatalan boleh menyebabkan luka atau calar pada kulit. Akibatnya, risiko jangkitan akan meningkat dan rawatan antibiotik mungkin diperlukan.
Cabaran dalam rutin harian
Gatal tangan dan kaki mampu membawa pengaruh yang besar terhadap aktiviti harian dan kualiti hidup secara menyeluruh. Ketidakselesaan berterusan yang berpunca daripada simptom-simptom kegatalan boleh menjadikan kita sukar untuk fokus dalam melaksanakan tugasan harian.
Kegatalan ini sering disertai dengan gangguan tidur, menjadikan rehat seseorang terganggu dan akhirnya menyebabkan keletihatan. “Sudah pasti, ada yang berasa malu apabila terpaksa menggaru ketika berada di tempat awam. Tidak terkecuali juga, timbulnya kekecewaan apabila penyertaan dalam aktiviti fizikal menjadi terhad akibat kegatalan ini.” tambah Dr Meera lagi.
Lanjutan daripada itu, kegatalan pada anggota badan boleh mempengaruhi rutin penjagaan dan dandanan diri. Dari segi emosi, kesannya adalah ketara kerana kegatalan yang kronik dapat meningkatkan stres, kebimbangan, dan keresahan. Akhirnya, kesan secara keseluruhan menjejaskan kualiti hidup serta mengganggu kesejahteraan fizikal dan mental.
Jumpa pakar kulit segera!
Untuk rawatan, pakar dermatologi akan menjalankan pemeriksaan secara menyeluruh pada kawasan yang terjejas. Antara faktor-faktor yang diambil kira adalah keadaan kulit, kehadiran ruam, dan sebarang simptom berkaitan. Ujian diagnostik seperti ujian alahan atau biopsi kulit kebiasaannya akan disyorkan untuk mengenal pasti punca utama kegatalan. Pakar juga boleh mengenal pasti dan merawat pelbagai keadaan kulit yang mendorong kepada kegatalan, seperti ekzema, psoriasis, jangkitan kulat, atau dermatitis sentuh.
Berdasarkan diagnosis yang dijalankan, pakar dermatologi akan merangka pelan rawatan bersama preskripsi ubat. Sebagai contoh, ubat steroid topikal, antihistamin, atau agen antikulat. Bagi masalah kesihatan sistemik, ubat atau terapi sistemik pula akan disarankan.
Enam Tips untuk Memastikan Kulit Kekal Sihat dan Mengurangkan Kegatalan
- Gunakan sabun dan pelembap yang lembut serta bebas pewangi untuk mengelakkan rengsa pada kulit.
- Pilih pakaian yang diperbuat daripada kain yang sejuk, selesa dan boleh ‘bernafas’ seperti kain kapas, terutamanya di kawasan yang cenderung gatal.
- Berhati-hati dengan alergen dan perengsa dalam produk penjagaan diri. Pilih produk yang hipoalergenik.
- Amalkan pemakanan seimbang yang kaya dengan vitamin dan nutrien untuk menyokong kesihatan kulit secara menyeluruh.
- Pakai pelembap dan elakkan daripada menggaru kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan kulit dan menyebabkan luka.
- Berjumpa dengan pakar kesihatan untuk mendapatkan nasihat dan rawatan peribadi jika anda mengalami kegatalan yang berterusan atau teruk.
Berkongsi:
Adakah artikel ini membantu?
Artikel dan Video
Ketahui lebih lanjut tentang Dermatologi dalam Columbia Asia
Ketahui lebih lanjutPerlukan bantuan lanjut?
Bercakap secara langsung atau hubungi Columbia Asia hospital berhampiran anda.
Hubungi KamiBerkongsi:
Adakah artikel ini membantu?
Pakej Kesihatan
Meningkatkan kesihatan anda dengan pakej kesihatan yang disesuaikan di Columbia Asia Hospital. Jaga perjalanan kesihatan anda hari ini.