Beranak kembar menjadi idaman sesetengah pasangan yang menjalani rawatan kesuburan in vitro (IVF). Antara rayuan yang dikemukakan kepada doktor, “Oh, saya inginkan anak kembar!”, “Saya harap saya mendapat anak kembar!” ataupun “Doktor, saya ingin mengandung anak kembar!”
Alangkah seronoknya bila ahli keluarga bertambah dua atau lebih sekali gus, tetapi tahukah anda bahawa memiliki bayi kembar berbilang boleh membahayakan kesihatan ibu dan kandungannya?
Pakar reproduktif kerap diminta untuk menanam lebih daripada dua embrio dalam rahim ibu sewaktu prosedur IVF. Cara ini akan meningkatkan peluang kehamilan, tetapi ia juga akan meningkatkan kejadian kembar tiga, empat atau lebih!
Ketika ini, satu antara empat kehamilan menerusi IVF menghasilkan kelahiran kembar. Ini bermakna, selepas prosedur IVF/ICSI, peluang seorang wanita mendapat kembar adalah lebih 20 kali berbanding hamil secara biasa.
Risiko Ketika Hamil
Saiz rahim manusia bukan saja muat untuk menampung seorang bayi, bahkan juga dua orang bayi, tetapi semakin ramai, semakin sempit. Mengandung bayi kembar berbilang meningkatkan risiko komplikasi kelahiran, malah boleh membahayakan nyawa ibu serta anak-anak.
Antara risiko mengandung kembar berbilang adalah:
- Keguguran awal atau lewat sewaktu hamil
- Ibu mendapat diabetes gestasi
- Kematian bayi/bayi-bayi dalam kandungan disebabkan diabetes gestasi
- Hipertensi disebabkan kehamilan
Risiko kematian bayi dalam bulan pertama selepas kelahiran adalah lima kali ganda berbanding kelahiran biasa. Antara sebab kematian ialah bayi tidak cukup bulan, bayi bersaiz kecil, berat badan terlalu rendah dan kecacatan termasuk palsi serebum terutamanya dalam kalangan bayi tidak cukup bulan.
Memudaratkan Ibu
Separuh daripada jumlah ibu yang mengandung anak kembar melahirkan sebelum masuk minggu ke-37. Berat badan bayi amat rendah lantas meningkatkan risiko menghidap penyakit serius atau kematian. Ada juga yang melahirkan sebelum minggu ke-35 yang mana bayi-bayi akan memerlukan penjagaan neonatal.
Keadaan ini boleh menyebabkan ibu berisiko:
- Mendapat anemia atau haemoglobin rendah sewaktu mengandung. Hemoglobin merupakan alat pengangkutan untuk oksigen dalam badan. Oksigen yang rendah akan menjejaskan pertumbuhan bayi-bayi dalam Rahim.
- Ibu mengalami pendarahan sewaktu melahirkan atau sebelum melahirkan.
- Ibu mengalami gangguan emosi. Proses IVF menyebabkan emosi terganggu. Jika berjaya hamil, tetapi bayi tidak cukup bulan dan meninggal, dikhuatiri ibu akan menghadapi kemurungan.
- Pemulihan selepas melahirkan bayi kembar berbilang adalah lemah dan perlahan menyebabkan kemurungan selepas bersalin.
Melahirkan bayi kembar berbilang kemungkinan memerlukan intervensi sewaktu proses melahirkan bayi disebabkan komplikasi yang membahayakan nyawa ibu dan juga bayi-bayi.
Bersalin melalui pembedahan Caesarian adalah perkara biasa untuk ibu kepada anak-anak kembar, malah ramai yang sengaja memilih pembedahan Caesarean kerana enggan melalui sakit bersalin cara biasa.
Pembedahan Caesarian juga perlu untuk ibu yang mengalami previa plasenta (plasenta yang rendah dalam rahim), malposisi bayi yang boleh menyebabkan kelahiran songsang serta diabetes gestasi atau hipertensi disebabkan kehamilan.
Saringan anomali kromosom seperti Sindrom Down adalah sesuatu yang sukar untuk dilakukan oleh pakar obstetrik sekiranya ada bayi Sindrom Down dalam kalangan bayi normal kandungan berbilang.
Kembar berbilang yang seiras berkongsi satu plasenta, ada 10 peratus risiko sindrom transfusi yang boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serious. Sindrom ini mengakibatkan seorang bayi mendapat bekalan oksigen yang mencukupi dari tali pusat, manakala seorang lagi kurang mendapat bekalan oksigen. Kekurangan oksigen ini disebabkan kurangnya darah yang dibekalkan untuk bayi terbabit. Masaalah ini tidak timbul dalam kes kembar tidak seiras.
Ibu-ibu yang mengandung kembar lebih daripada dua, harus dipantau dan diperiksa oleh doktor dari saat hamil hingga saat kelahiran. Sekiranya terpaksa, doktor harus membuat keputusan sama ada untuk menggugurkan seorang bayi, tetapi ini amat tinggi risikonya dan boleh menyebabkan kesemua bayi-bayi berada dalam bahaya.
Memahami risiko kembar berbilang amat penting sebelum anda menjalani rawatan IVF. Semoga rencana ini membantu anda dalam membuat keputusan mengenai bilangan embrio yang ingin ditanam di dalam rahim.
Artikel ini disiarkan oleh Hijab & Heels, 20 Ogos 2019
Berkongsi:
Adakah artikel ini membantu?
Artikel dan Video
Ketahui lebih lanjut tentang Obstetrik Dan Ginekologi Dan Perubatan Reproduktif dalam Columbia Asia
Ketahui lebih lanjutPerlukan bantuan lanjut?
Bercakap secara langsung atau hubungi Columbia Asia hospital berhampiran anda.
Hubungi KamiBerkongsi:
Adakah artikel ini membantu?
Pakej Kesihatan
Meningkatkan kesihatan anda dengan pakej kesihatan yang disesuaikan di Columbia Asia Hospital. Jaga perjalanan kesihatan anda hari ini.