Buasir Pada Bulan Puasa

June 02, 2021


Pejam celik, sudah tiga minggu kita menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan. Mungkin ada sebahagian dari anda yang meraih manfaat untuk tubuh badan disebabkan berpuasa. Contohnya anda mungkin mengalami penurunan berat badan yang ketara atau perubahan fizikal yang positif!

Walau bagaimanapun, sekiranya diet anda kurang air atau pengambilan serat tidak mencukupi, anda mungkin akan mengalami sembelit.

Ada juga antara kita yang mengalami tanda-tanda buasir seperti sakit di bahagian dubur, kegatalan, pembengkakan atau najis berdarah. Selalunya tanda-tanda ini datang selepas seseorang itu mengalami masalah sembelit yang berpanjangan.

Mungkin ramai yang tidak mahu berjumpa doktor disebabkan pandemik COVID-19 yang berlaku sekarang atau mungkin juga ada yang segan untuk berkongsi hal masalah buasir dengan doktor kerana ianya suatu masalah di tempat sulit.

Saya kongsikan di sini tips untuk mengelakkan buasir di bulan puasa. Saya harap perkongsian saya ini mampu membantu anda menangani masalah buasir sekiranya anda belum berjumpa doktor.

 
Pertama sekali, apa itu buasir?

Buasir adalah pembengkakan salur darah pada lapisan kusyen di bahagian anus dan rektum usus. Lapisan kusyen ini biasanya bertindak membantu proses perkumuhan iaitu proses buang air besar.

Buasir mula terjadi apabila kita ada masalah sembelit. Sembelit akan membuat kita duduk lama di mangkuk tandas sambal meneran. Ini akan meningkatkan tekanan kepada dinding kusyen yang disebutkan tadi, lantas menyebabkan pembengkakan.

Pesakit biasanya akan mengalami masalah pendarahan, kegatalan, pengeluaran mukus atau lendir. Jika masalah ini berterusan, maka akan terjadi pembengkakan pada dubur. Pesakit akan berasa sakit di kawasan tersebut.

 

Lima Tip Tangani Buasir

 
Lebihkan serat


Sebelum anda berjumpa doktor, saya cadangkan anda mengubah gaya hidup anda supaya lebih sihat. Banyakkan memakan makanan berserat tinggi. Sebaik-baiknya badan kita memerlukan kira kira 20 hingga 30g serat sehari. Banyakkan juga minum air kosong iaitu enam hingga lapan sehari atau lebih dari 1.8 liter sehari. Elakkan duduk lama di mangkuk tandas serta banyakkan bersenam kerana ia boleh membantu melancarkan pergerakan usus.

 
Hati-hati bila beraktiviti atau bersukan


Elakkan aktiviti yang boleh meningkat risiko buasir seperti duduk terlalu lama apabila memancing atau bekerja di depan komputer. Contoh aktiviti sukan yang boleh mengakibatkan peningkatan tekanan pada dubur ialah angkat berat, mengayuh basikal dan mendaki.

 
Kurangkan Masa di Tandas


Elakkan duduk di mangkuk tandas sambil membuang air besar lebih dari lima minit. Meneran atau duduk terlalu lama di mangkuk tandas akan meningkatkan tekanan (pressure) pada dubur yang boleh menyebabkan pembengkakan buasir.

 
Banyakkan Minum Air


Minumlah air sebanyak enam hingga lapan gelas sehari. Amalkan meminum satu gelas air ketika berbuka, setelah solat Maghrib, selepas Isyak, selepas solat Tarawih, sebelum tidur dan ketika bersahur.

Anda juga boleh dapatkan ubat pelawas seperti laktulos atau fiber tambahan yang didapati di farmasi atau pasar raya (over-the-counter). Sekiranya usaha ini tidak berjaya atau masalah berterusan selepas seminggu, saya cadangkan anda membuat temu janji bersama doktor anda untuk pemeriksaan lanjut.

Kebiasaannya doktor akan melakukan pemeriksaan pada dubur anda untuk memastikan penyebab masalah anda. Selain buasir, penyakit seperti anal fissure (luka pada anus), absess (nanah), kanser dan rectal prolapse juga boleh berlaku.


 
Dr. Abang Mohammad Affendi Bin Abang Yusop
Consultant General Surgeon
Columbia Asia Hospital – Bintulu

MD (UNIMAS), MS (UKM)


 
PDF and Online Articles:
  Artikel ini disiarkan oleh Getaran, 8 Mei 2021.
 
Looking for General Surgery in Columbia Asia?
 
Follow us for latest Health Tips: