Mungkinkah Pejabat Anda Ada 'Sindrom Bangunan Sakit'?

August 27, 2020

“Pelik sungguh. Tadi bersin tak berhenti, mata pedih, kepala macam nak pecah, badan lesu. Sekarang dah hilang, " bisik hati penulis.

Apa yang penulis alami ini bukanlah yang pertama, malah sudah beberapa kali dan ianya berlaku sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke bangunan yang satu itu. Keadaan penulis akan kembali sihat selepas beberapa jam beredar daripada bangunan berkenaan.

Penulis bawa berbincang dengan beberapa orang rakan dan akhirnya mencari-cari di internet lalu terjumpa “jawapan” di laman sesawang http://www.myhealth.gov.my yang mungkin merungkai penyakit misteri yang penulis alami dan mungkin juga ramai lagi di luar sana.

Pernah dengar Sindrom Bangunan Sakit (Sick Building Syndrome) atau SBS?

Lebih tepat, Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada tahun 2008 menjelaskan SBS adalah keadaan di mana individu yang berada di dalam bangunan mengalami gejala serta rasa tidak selesa tanpa sebab yang jelas, Malahan, kajian yang dipaparkan di https://www.who.int berkaitan kualiti udara menunjukkan, kualiti udara dalaman yang tidak baik (IAQ) adalah antara penyumbang kepada SBS.

Merungkaikan SBS yang dikaitkan dengan IAQ tidak baik yang sering dihadapi pekerja di Malaysia, Ketua Pegawai Perubatan dan Doktor Kesihatan Pekerjaan, Hospital Columbia Asia, Dr Mohd Fadhli Mohd Yusof menjelaskan sesiapa sahaja boleh mendapat SBS namun ia lebih terkesan kepada mereka yang menghabiskan banyak masa di dalam bangunan.

 
RISIKO UDARA DALAMAN TERCEMAR
Menurut Dr Mohd Fadhli, keadaan tersebut disebabkan oleh majoriti bahan unsur cemar antara udara persekitaran luar dan udara dalam bilik iaitu bahan cemar yang halus (PM), ozone (O3), nitrous diokside dan karbon monoksida adalah sama tetapi jumlah dan kepekatannya adalah lebih rendah berbanding udara dalam bangunan.


Penyumbang utama kepada kualiti udara dalaman tidak sihat ini berpunca daripada pengudaraan yang tidak baik dan kekurangan pengaliran udara segar dari luar.

Turut menjadi sebahagian faktor udara tercemar ialah sistem ventilasi dan penghawa dingin yang tidak selenggara dengan baik serta kadar kelembapan yang tinggi yang diakibatkan oleh kebocoran.

“Keadaan ini disebabkan oleh kehadiran kulat, bakteria, pengudaraan yang tidak baik dan kehadiran bahan kimia di dalam bangunan. Biasanya masalah ini didapati di bangunan lama yang tidak diselenggara dengan baik secara berkala," jelasnya kepada Bernama.

Memburukan keadaan, pendedahan dalam tempoh lama terhadap udara tercemar bukan sahaja memberi kesan kepada sistem pernafasan terutama individu yang mempunyai penyakit paru-paru kronik seperti asma atau Penyakit Pulmonari Obstruktif Kronik (COPD) malah boleh meningkatkan risiko angin ahmar, serangan jantung dan risiko sesetengah jenis kanser.

Dr Mohd Fadhli berkata, peningkatan risiko ini disebabkan bahan cemar yang halus, yang kurang daripada 2.5 micronmeter) yang berkemampuan untuk terapung di udara lebih lama dan apabila disedut, ia bukan sahaja boleh memberi kesan kepada paru-paru malah akan meresap ke dalam salur darah.

Lebih membimbangkan risiko juga menanti pekerja yang bertugas berjam-jam lamanya di bangunan lama memandangkan kondisi bangunan berusia itu sendiri mengalami proses degradasi atau penguraian sebatian kimia terutamanya bahagian siling, dinding dan cat.

“Bertambah buruk apabila bangunan lama tersebut mempunyai perabut lama yang dibuat menggunakan ‘pressed wood’,” katanya.

Bukan itu sahaja, asap tembakau, sebatian organik meruap yang dibebaskan oleh penggunaan pelarut dan ozon yang dibebaskan dari mesin fotokopi dan pencetak laser turut menjadi antara punca menyumbang pencemaran udara dalaman bangunan.

 
PENGHAWA DINGIN BERPUSAT TINGKAT RISIKO
Mengulas lanjut, Dr Mohd Fadhli juga tidak menolak penggunaan penghawa dingin berpusat yang menjadi pilihan utama majikan yang beroperasi di bangunan besar kerana kos lebih murah turut mengundang risiko kesihatan yang tinggi ke atas pekerja.


“Ada benarnya penggunaan penghawa dingin jenis unit asing lebih rendah risikonya berbanding penghawa dingin berpusat.

“Ini kerana, jika tidak diselenggara dengan berkala, penapis akan tepu dan tidak mampu untuk menapis sementara bahan pencemar pula akan masuk ke sistem pengudaraan am, yang sekali gus mencemarkan udara di dalam seluruh bangunan,” katanya.

Jika ini berlaku, tidak mustahil majikan terpaksa berdepan ketidakselesaan pekerja dan tahap kesihatan yang tidak menentu yang sekali gus menjurus kepada ketidakhadiran dan produktiviti yang rendah.

Meskipun penyakit disebabkan IAQ lemah ini majoritinya ‘under diagnose’ disebabkan pertindihan simptom dengan penyakit yang lain dan tiada trend yang jelas dari aspek kemasukan ke hospital namun masalah kesihatan yang paling ketara dikaitkan dengan IAQ ini adalah alahan, masalah pernafasan, kerengsaan mata, sinusitis, bronkitis dan jangkitan paru-paru.

“Malahan pendedahan berterusan terhadap udara tercemar kepada golongan berisiko pula mampu mengakibatkan serangan asma atau COPD yang teruk, meningkatkan kadar kemasukan ke hospital dan boleh menyebabkan kematian.

“Disebabkan itulah, penilaian kualiti udara dalaman perlu dilakukan setiap lima tahun bagi memastikan pekerja tidak terdedah kepada sebarang risiko kesihatan,” jelasnya.

Dari aspek gender pula, Mohd Fadhli menjelaskan, kajian yang diterbitkan pada tahun 2000 di Jerman yang membabitkan 1,500 responden, mendapati wanita mendapati SBS adalah dua kali ganda berbanding lelaki.

Dalam dalam kajian yang sama turut mendedahkan golongan pekerja lanjut usia mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat SBS terutamanya lelaki. Pun begitu, faktor lain juga harus diambil kira iaitu merokok,” jelasnya.

 
PATUHI KOD AMALAN INDUSTRI
Meneliti Kod Amalan Industri bagi Kualiti Udara Dalaman yang diperkenalkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) pada 2010, ia secara jelas menetapkan garis panduan dan piawaian untuk melindungi kesihatan pekerja dan penghuni lain dari persekitaran dalaman atau tertutup yang menggunakan pengudaraan mekanikal atau penyaman udara.

Lebih menarik, paparan di laman sesawang https://www.dosh.gov.my mengenai Kod Amalan Industri ini turut menggariskan julat yang boleh diterima bagi parameter fizikal tertentu bagi penggunaan penghawa dingin adalah 23 hingga 26 darjah celcius, 40-70 peratus bagi kadar kelembapan relatif manakala pergerakan udara ialah 0.15 hingga 0.50m/s (meter per saat).

Justeru, menjadi tanggungjawab majikan dan pekerja mematuhi peruntukan yang ditetapkan di bawah Seksyen 15 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA) serta Seksyen 17 OSHA.

Ini bagi memastikan kesihatan kedua-dua pihak dilindungi daripada risiko kualiti udara dalaman yang tidak baik, yang sekali gus menjejaskan produktiviti mereka.

Bagaimana agaknya keadaan bangunan di mana anda bekerja?


Photo credit: Freepik.com
 
Dr. Mohd Fadhli Mohd Yusof
General Practice & Occupational Medicine
Columbia Asia Hospital - Cheras

MD (UKM), OHD (NIOSH)


 
PDF and Online Articles:
  Artikel ini disiarkan oleh Bernama.com, 25 Ogos 2020
 
Looking for Occupational Medicine in Columbia Asia?
 
Follow us for latest Health Tips: