Kesibukan menguruskan keperluan anak dan kerjaya membuatkan ramai wanita memilih bijirin segera sebagai sarapan ringkas di rumah sebelum keluar menempuh kesesakan trafik untuk ke pejabat setiap hari. Berbeza dengan nasi lemak, roti canai dan pelbagai sajian berat yang popular dalam kalangan masyarakat Malaysia, bijirin segera mendapat tempat di hati ramai ibu berikutan dianggap lebih sihat dan berkhasiat.
Mungkin kerana pengaruh iklan di televisyen, radio, akhbar dan majalah, ramai di antara kita beranggapan bijirin segera mampu menepati keperluan diet harian bagi setiap individu. Ironinya bijirin segera bukanlah pilihan sajian terbaik untuk orang dewasa, apalagi mereka yang banyak menghabiskan masa menghadap komputer atau bermesyuarat sepanjang hari.
Kata pakar pemakanan, Siti Sarah Mohd Juzup, ada pelbagai jenis bijirin segera di pasaran kini yang boleh dipilih mengikut keperluan diet, berdasarkan label produk.
“Bagaimanapun, kita perlu tahu kebanyakan bijirin segera memang ditambah gula untuk membekalkan tenaga segera. Jadi, kalau kita perlukan tenaga segera, bijirin jenis ini adalah pilihan sesuai,” katanya.
Jelas Siti Sarah, kebanyakan bijirin segera kini dihasilkan mengikut keperluan dua kelompok berbeza iaitu kanak-kanak dan orang dewasa.
“Bijirin kanak-kanak ditambah gula kerana mereka aktif. Bagaimanapun, pengambilan bijirin untuk golongan ini masih tertakluk kepada saiz hidangan yang dicadangkan.
“Untuk orang dewasa, kita boleh lihat pelbagai jenama baharu dan lama di pasaran dengan resipi berbeza bagi memenuhi keperluan setiap individu.
“Jadi, bandingkan produk A, B atau C dan pilih produk bijirin yang paling sedikit kandungan gula. Pertimbangkan juga isi kandungan produk sama ada mengandungi bijirin penuh atau bijirin segera yang siap diproses.
“Ini kerana bijirin yang bagus dan sihat sepatutnya mengandungi tiga komponen utama iaitu endosperma, bran serta germa. Di dalam tiga komponen inilah terkandungnya vitamin, mineral dan serat diperlukan tubuh,” katanya.
Masih Boleh Nikmati Bijirin Segera
Menurut Siti Sarah, walaupun bijirin segera mengandungi lebih gula, ia masih boleh dinikmati orang dewasa bersama susu sebagaimana kanak-kanak.
“Apa yang penting, kekalkan gaya hidup aktif. Kemudian, pastikan jumlah yang diambil setiap kali mengikut kadar atau saiz hidangan dicadangkan pengeluar produk. Ini biasanya tertulis pada kotak.
“Cuma pengguna yang tidak peka dengan label pada bungkusan makanan. Ramai yang suka tuang bijirin segera dalam mangkuk mengikut selera sendiri. Mereka tidak sukat, apalagi timbang.
“Selepas habis semangkuk dan masih lapar, mereka tuang sekali lagi dan sambung makan. Sebenarnya, ada sukatan dan tidak boleh lebih. Kalau diambil berlebihan, ia akan memudaratkan kesihatan,” katanya.
Menjelaskan mengenai kaedah pengambilan bijirin, kata Siti Sarah, ia boleh dipelbagaikan mengikut tahap keperluan nutrisi, selera dan cita rasa rakyat Malaysia.
“Kita di sini mungkin jarang makan bijirin. Tetapi, tidak ada masalah jika hendak bersarapan dengan bijirin ringkas. Selain susu, pastikan ada buah-buahan dan sayuran.
“Untuk hidangan tengah hari, kita boleh tukar kepada nasi beras perang untuk mendapatkan khasiat bijirin penuh. Bagi yang tidak biasa dengan rasanya, mereka boleh campurkan sedikit beras perang dalam sajian nasi putih sebagai permulaan.
“Letak jagung dalam nasi juga tiada masalah. Itu cara mudah untuk menambah bijirin dalam sajian. Selebihnya, ikut cadangan diet suku-suku-separuh. Suku bahagian nasi (karbohidrat), suku lagi protein dan separuh adalah sayur-sayuran serta buah-buahan,” katanya.
Manfaat Bijirin Penuh
Dengan pelbagai serat, mineral dan nutrien yang terkandung dalam bijirin penuh, pastinya ia memberi pelbagai manfaat untuk kesihatan. Antaranya:
- Membantu melawan kanser
- Mengurangkan tahap kolesterol
- Menurunkan paras gula dalam darah
- Mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular
- Mengurangkan risiko penambahan berat badan berlebihan
- Menggalakkan kesihatan usus
Tip Penting
- Periksa label makanan bagi memastikan bijirin penuh adalah ramuan utama dalam sumber yang anda pilih.
- Berhati-hati dengan label mengelirukan pada makanan seperti multi-grain (pelbagai bijirin), 100 peratus gandum, organik, bijirin sebenar dan sebagainya.
– Bagi yang dilabel pelbagai bijirin, ia mungkin mengandungi gabungan gandum, sekoi, barli, flaks dan tidak semestinya bijirin penuh.
– 100 peratus gandum pula mengandungi gandum sahaja dan tidak semestinya bijirin penuh.
Artikel ini disiarkan oleh Harian Metro, 4 Oktober 2019
分享:
这篇文章对您有帮助吗?
分享:
这篇文章对您有帮助吗?