30 April 2025
•6 minute read
Cara Pemakanan Berpantang Jangan Hanya Ikut Cakap Orang
Interview bersama Puan Nurul Najwa Mohd Noor, Pakar Diet mengenai Cara Pemakanan ketika Berpantang.
Terima kasih kerana memberi peluang kepada pihak KelabMama dan Motherhood untuk melakukan interview (emel) ini. Kami berbesar hati untuk berkongsi kepakaran anda dengan para pembaca KelabMama. Soal Jawab ini akan diterbitkan dalam Bahasa Melayu, di platform – KelabMama.

Puan, ramai yang kata pemakanan semasa berpantang sangat penting, tetapi ada juga yang anggap ia sekadar mitos. Dari sudut pemakanan, sejauh mana kebenaran kepentingan diet berpantang?
Penjagaan pemakanan semasa berpantang jelas amat penting bagi ibu yang bersalin untuk mempercepatkan proses penyembuhan dan pemulihan kerana tubuh wanita mengalami perubahan yang ketara semasa hamil dan selepas bersalin.
Tempoh berpantang biasanya berlangsung selama 30 hingga 40 hari mengikut budaya dan adat keluarga masing-masing. Tempoh ini adalah sangat penting bagi ibu mendapatkan nutrien yang cukup dan memenuhi keperluan untuk pemulihan fizikal dan keseimbangan hormon.
Ibu yang baru lepas bersalin perlu mengambil tahu tentang pemakanan ketika bersalin kerana terdapat pelbagai petua dari segi pemakanan ketika berpantang pada zaman sekarang. Kalau kita lihat, seringkali berlaku perdebatan tentang berpantang zaman dahulu dan sekarang.
Sebagai seorang ibu yang bertanggungjawab, sangat penting untuk membuat bacaan dari sumber yang boleh dipercayai demi mengelakkan ibu menghindari makanan tertentu yang tidak perlu semasa tempoh berpantang.
Apakah perbezaan keperluan pemakanan bagi ibu yang bersalin normal dan ibu yang bersalin secara pembedahan (czer)?
Ibu yang bersalin normal atau bersalin secara pembedahan memerlukan tenaga dan protein tambahan untuk 6 bulan pertama selepas bersalin. Tiada perbezaan ketara bagi keperluan pemakanan untuk kedua – duanya.
Pengambilan jumlah tenaga dan protein yang cukup amat penting bagi ibu yang bersalin untuk proses penyembuhan dan penyusuan bayi.
Namun, untuk mencapai keperluan tenaga dan protein yang mencukupi dalam tempoh berpantang mungkin sedikit mencabar bagi ibu yang bersalin kerana mereka masih dalam proses menyesuaikan diri untuk menjaga kesihatan diri, bayi dan emosi.
Sokongan dari pasangan dan keluarga adalah amat penting dalam membantu ibu melalui tempoh berpantang dengan lancar.

Apakah makanan terbaik yang boleh membantu ibu bersalin normal mendapatkan kembali tenaga mereka dengan lebih cepat?
Makanan yang terbaik semasa tempoh berpantang ialah makanan yang kaya dengan protein, zat besi dan serat. Protein membantu untuk perbaiki sel-sel badan dan mempercepatkan proses penyembuhan luka.
Antara sumber protein yang digalakkan adalah ikan, ayam dan telur yang dimasak secara rebus atau kukus. Makanan tinggi zat besi pula membantu untuk membina sel darah merah bagi menggantikan darah yang hilang semasa proses kelahiran.
Makanan yang kaya zat besi boleh didapati dari sayur sayuran hijau seperti bayam, kangkung, sawi dan brokoli. Selain itu, ibu yang bersalin cenderung mendapati masalah sembelit dan sukar untuk membuang air besar.
Oleh yang demikian, pengambilan serat yang cukup dapat membantu dalam proses penghadaman dan membantu mencegah masalah sembelit.

Dalam masyarakat kita, ibu berpantang sering dilarang makan makanan ‘sejuk’ seperti timun dan kubis atau makanan ‘berangin’ seperti kekacang. Adakah larangan ini berasas dari sudut pemakanan?
Terdapat makanan yang dilarang ambil ketika berpantang seperti timun, petola dan tembikai kerana dianggap ‘sejuk’ dan tidak boleh diambil semasa berpantang. Makanan yang sejuk dikatakan akan memberi kesan rasa kembung perut, kekejangan otot dan sakit-sakit badan.
Walaubagaimanapun, tiada kajian saintifik yang mengesahkan bahawa mengelakkan makanan yang sejuk dapat memberi faedah kepada kesihatan ibu yang bersalin.
Sayur – sayuran dan buah – buahan mengandungi vitamin dan mineral, serta serat yang bagus untuk kesihatan. Pengambilan serat yang cukup amat penting untuk melancarkan proses pembuangan najis. Kekacang pula merupakan sumber protein yang baik dan mengandungi serat yang baik.
Tiada kajian menyatakan ibu yang bersalin perlu mengelakkan pengambilan kekacang dalam pemakanan semasa berpantang melainkan ibu atau bayi mempunyai alergi makanan.
Kekacang seperti gajus, badam dan kacang hazel boleh dijadikan sebagai snek sihat serta dapat membantu dalam penghasilan susu badan.
Adakah ibu bersalin normal boleh terus mengambil makanan berserat tinggi seperti buah dan sayur untuk elak sembelit?
Ya, tiada masalah bagi ibu yang bersalin untuk mengambil makanan tinggi serat untuk mengelakkan masalah sembelit.
Saranan pengambilan serat boleh dicapai dengan mengambil 3 hidangan sayur-sayuran dan 2 hidangan buah-buahan dalam diet harian

Untuk ibu yang bersalin secara czer, apakah jenis makanan yang boleh membantu mempercepatkan penyembuhan luka pembedahan?
Secara amnya, tiada perbezaan bagi ibu bersalin secara czer atau normal yang memerlukan pemakanan berbeza mengikut jenis kelahiran. Ibu yang bersalin boleh mengambil kunyit dalam masakan atau minuman.
Kunyit mempunyai sifat anti radang dan membantu proses penyembuhan. Pengambilan kunyit dalam diet ketika berpantang dapat meningkatkan sistem imun badan.
Selain itu, halia juga merupakan bahan makanan yang bagus kerana mengandungi kualiti anti radang yang sangat baik. Halia dapat meningkatkan penghadaman, mengurangkan keradangan dan membantu meredakan loya yang menjadi kebiasaan selepas bersalin.
Ketidakselesaan dan kesakitan otot yang mungkin berlaku selepas bersalin juga dapat dikurangkan dengan menggunakan halia dalam penyediaan makanan dan minuman semasa berpantang.

Adakah terdapat makanan tertentu yang boleh melambatkan proses penyembuhan luka czer dan patut dielakkan?
Secara umumnya, ibu yang bersalin secara normal atau czer tidak perlu mengelakkan dari makan makanan tertentu sekiranya tidak mempunyai alahan makanan.
Proses penyembuhan luka czer memerlukan penjagaan rapi untuk mengelakkan kemasukan bakteria di dalam luka pembedahan.
Nanah boleh terjadi pada luka czer apabila terdapat bakteria masuk ke dalam luka pembedahan. Pengambilan protein daripada ayam, ikan dan telur yang cukup dapat mempercepatkan penyembuhan luka.
Namun begitu, ikan tinggi kandungan merkuri seperti ikan todak, mackerel raja dan ikan yu boleh membahayakan perkembangan otak dan sistem saraf bayi jika anda menyusu.
Ada juga yang mengatakan beberapa jenis ikan perlu dielakkan kerana dipercayai boleh menyebabkan gatal terutama sekali untuk ibu yang bersalin secara czer seperti ikan kembung, ikan tenggiri, ikan tongkol, ikan bawal dan ikan tamban.
Akan tetapi, tiada kajian saintifik yang mengesahkan hal ini.

Bolehkah ibu berpantang mengamalkan diet untuk menurunkan berat badan tanpa menjejaskan kesihatan dan penghasilan susu badan?
Penurunan berat badan selepas bersalin akan berlaku tetapi ianya bukan masa yang sesuai untuk diet. Diet yang drastik selepas bersalin akan mempengaruhi penghasilan susu badan ibu.
Ibu berpantang memerlukan tenaga dan protein yang tinggi untuk penyembuhan dan penghasilan susu badan yang cukup. Banyak kalori akan dibakar bagi ibu yang menyusu badan dimana membantu menurunkan berat badan secara natural.
Ibu berpantang yang bimbang akan berat badan boleh mengawal cara masakan ketika berpantang dan mengambil makanan yang seimbang. Makanan berpantang kebiasaanya menggunakan teknik memasak seperti rebus, kukus dan panggang dimana secara tidak langsung membantu ibu berpantang menurunkan berat badan. Makan yang bergoreng, berminyak dan masin adalah tidak digalakkan kerana boleh menyebabkan keradangan dan tekanan darah tinggi yang boleh melambatkan penyembuhan.

Sesetengah ibu czer yang mengalami masalah pencernaan seperti sembelit dan angin selepas bersalin. Bagaimana pemakanan boleh membantu mengatasi masalah ini?
Masalah pencernaan seperti sembelit dan angin selepas bersalin merupakan masalah yang sering dihadapi kerana ibu mengalami perbubahan badan yang ketara dan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.
Masalah sembelit dan angin boleh diatasi dengan mengambil serat yang cukup seperti dinyatakan di atas. Terdapat tiga kunci utama untuk meredakan masalah sembelit iaitu pengambilan serat dan air yang mencukupi serta melakukan aktiviti fizikal.
Aktiviti fizikal yang dilakukan mestilah bersesuaian dengan keadaan ibu bersalin. Kerap berjalan dapat membantu melancarkan peredaran darah dalam badan dan mengurangkan risiko darah beku atau dikenali juga sebagai pulmonary embolism

Minum air dalam jumlah yang banyak penting untuk pemulihan, tetapi ada ibu takut ia boleh menyebabkan perut kembung. Bagaimana cara terbaik untuk memastikan pengambilan air yang mencukupi?
Pengambilan air yang mencukupi amat penting dalam proses pemulihan dan mengelakkan dehidrasi bagi ibu yang menyusu. Ibu yang bersalin digalakkan untuk mengambil enam hingga lapan gelas air sehari (1.5 – 2.0 liter; 1 gelas = 250ml) walaupun tidak rasa dahaga.
Pengambilan air boleh diagihkan secara sama rata untuk sehari. Kurangkan pengambilan air yang tinggi gula kerana minuman bergula boleh menyebabkan lonjakan tenaga dan lelah dimana menjejaskan kesejahteraan keseluruhan.
Selain itu, minuman berkafein adalah tidak digalakkan kerana pengambilan kafein yang berlebihan boleh mengganggu pola tidur normal ibu serta boleh menyebabkan dehidrasi yang tidak diingini.

Jika ibu mahu memastikan mereka mendapat nutrisi yang cukup tanpa melanggar pantang, boleh tak puan mencadangkan contoh pelan pemakanan harian yang sesuai?
Cadangan pelan pemakanan harian semasa berpantang adalah seperti berikut.
Waktu | Makanan |
---|---|
Sarapan Pagi | Bubur Ayam Halia
~ 1 mangkuk sederhana bubur nasi + 2 sajian sederhana protein (cth: 1 bahagian dada ayam) + sayur-sayuran (carrot/ sawi) |
Snek Pagi | 1 gelas Longan Red Dates Drink tanpa gula |
Makan Tengahari | Nasi dengan Ayam Bakar
1 mangkuk cina nasi + 2 sajian sederhana protein (cth : 1 ketul peha ayam) + 1 cawan sayur- sayuran (sup sayur lobak putih + sawi + carrot) + 1 sajian buah-buahan (cth : 1 biji epal) |
Snek Petang | 1 gelas teh halia tanpa gula |
Makan Malam | Nasi dengan Sup Ikan Merah
1 mangkuk cina nasi + 2 sajian sederhana protein (cth : 1 potong ikan merah) + 1 cawan sayur- sayuran (bayam tumis) + 1 sajian buah-buahan (cth : 1 biji oren) |

Akhir sekali, apakah nasihat utama pakar kepada ibu-ibu yang sedang berpantang supaya mereka boleh cepat sembuh, kekal bertenaga, dan dapat menjalani pantang dengan lebih selesa?
Tempoh berpantang merupakan waktu yang kritikal untuk ibu menyesuaikan diri dengan perubahan yang ketara dari segi fizikal, emosi dan mental.
Pemakanan yang sihat dan seimbang merupakan satu cabaran bagi ibu yang bersalin kerana banyak pantang larang mengikut adat dan kaum masing masing, dimana mempengaruhi ibu dan menjadi keliru. Ibu memerlukan nutrien dan tenaga yang cukup dari pemakanan.
Ibu boleh melakukan banyak bacaan tentang pemakanan serta penjagaan diri selepas bersalin dan tidak perlu merasa tertekan. Ibu juga boleh mendapatkan panduan nasihat dari pegawai kesihatan dan pemakanan jika berasa keliru dan ragu-ragu.
Sokongan dari pasangan dan keluarga juga memainkan peranan yang penting demi memastikan kesihatan dan kesejahteraan ibu terjamin semasa tempoh berpantang.
This article first appeared in KelabMama, 30 April 2025.
Share:
Was this article helpful?
30 April 2025
•6 minute read
Cara Pemakanan Berpantang Jangan Hanya Ikut Cakap Orang
Articles and Video
Learn more about Dietary Consultation in Columbia Asia
Learn MoreShare:
Was this article helpful?
Health Packages
Elevate your health with tailored health packages at Columbia Asia Hospital. Take charge of your health journey today.
Pink October 2024
From
RM80