11 September 2025
•3 minute read
Tekanan Darah Tinggi Pembunuh Senyap Wanita
Tekanan darah tinggi atau hipertensi sering digelar sebagai “pembunuh senyap” kerana ia boleh merosakkan badan secara perlahan-lahan tanpa sebarang gejala yang ketara. Walaupun masalah ini boleh berlaku kepada lelaki dan wanita, cara ia memberi kesan tidak semestinya sama. Wanita khususnya mungkin mengalami tanda-tanda dan risiko yang berbeza berbanding lelaki.
Mari kita fahami bagaimana hipertensi memberi kesan secara khusus kepada wanita dan apakah langkah-langkah penting untuk menjaga kesihatan diri.
Kesan hipertensi terhadap wanita berbanding lelaki
Tekanan darah tinggi memberi kesan berbeza kepada wanita. Wanita lebih berisiko untuk mengalami strok dan dementia walaupun pada paras tekanan darah yang lebih rendah berbanding lelaki, manakala lelaki lebih cenderung mengalami serangan jantung.
Simptom yang dialami oleh wanita juga kadangkala tidak seperti gejala “klasik” yang biasa dikaitkan dengan tekanan darah tinggi. Sebagai contoh, selain daripada sakit kepala atau pening kepala, wanita mungkin mengalami: keletihan melampau, pening atau rasa berpusing, loya, sesak nafas, ketidakselesaan dada, deringan dalam telinga dan bengkak di kaki
Gejala-gejala ini kadangkala disalah anggap sebagai tekanan emosi atau perubahan hormon, terutamanya semasa menopaus. Disebabkan itu, ramai wanita tidak menyedari mereka menghidap hipertensi sehinggalah komplikasi serius seperti strok atau masalah jantung berlaku.
Hipertensi dalam kalangan wanita sering dipandang ringan

Hipertensi dalam kalangan wanita kerap tidak dikenalpasti kerana gejalanya boleh jadi lebih ringan atau berbeza berbanding lelaki, contohnya keletihan, keresahan, atau gangguan tidur. Ramai masih percaya bahawa tekanan darah tinggi hanyalah penyakit kaum lelaki, lalu menyebabkan wanita lewat mendapat diagnosis dan rawatan.
Tanggapan salah seperti “hanya orang tua sahaja yang dapat tekanan darah tinggi” atau “kalau rasa sihat, pasti tiada masalah kesihatan” juga menyumbang kepada pengesanan lewat.
Perubahan hormon wanita mempengaruhi tekanan darah
Hormon memainkan peranan besar dalam mengawal tekanan darah, dan fasa-fasa kehidupan wanita seperti haid, kehamilan, dan menopaus boleh membawa risiko yang berbeza terhadap tekanan darah. Semasa haid, sesetengah wanita mungkin mengalami kenaikan sementara tekanan darah, terutamanya jika mereka mengalami simptom prahaid seperti kembung perut atau perubahan emosi. Ketika kehamilan pula, tekanan darah boleh melonjak secara tiba-tiba selepas minggu ke-20, (lihat bahagian hipertensi gestasi di bawah). Menjelang menopaus, penurunan hormon estrogen menyebabkan salur darah menjadi kurang elastik dan lebih tegang, sekali gus menyumbang kepada peningkatan tekanan darah. Oleh itu, bukan hanya faktor umur yang mempengaruhi tekanan darah wanita, tetapi perubahan hormon sepanjang hayat juga memainkan peranan yang sangat penting.
Hipertensi gestasi (gestational hypertension)
Hipertensi gestasi ialah tekanan darah tinggi yang bermula selepas minggu ke-20 kehamilan tanpa tanda-tanda kerosakan organ. Ia berbeza daripada hipertensi kronik yang sedia ada sebelum kehamilan.
Jika tidak dikawal, ia boleh berkembang menjadi pra-eklampsia, satu keadaan serius yang boleh memudaratkan ibu dan bayi. Tanda-tanda pra-eklampsia termasuk:
- Sakit kepala teruk
- Perubahan penglihatan
- Bengkak pada tangan dan muka
- Kehadiran protin dalam air kencing
- Risiko kelahiran pramatang atau berat bayi rendah
Wanita dengan hipertensi gestasi juga berisiko tinggi untuk mendapat tekanan darah tinggi selepas bersalin. Oleh itu, pemeriksaan pranatal secara berkala sangat penting untuk memeriksa tekanan darah yang normal.
Mengawal tekanan darah tinggi semasa menopaus
Selain daripada pengurangan paras hormon estrogen dalam badan ketika menopaus, wanita juga mungkin mengalami pertambahan berat badan, menjadi kurang aktif dan menghadapi tekanan hidup (stres) yang lebih tinggi. Kesemua faktor ini meningkatkan risiko hipertensi. Oleh itu, beberapa langkah kawalan boleh diambil bagi menjaga tekanan darah. Antaranya ialah melakukan aktiviti fizikal secara berkala seperti berjalan laju, berenang atau mengamalkan yoga. Pemakanan yang sihat juga penting, dengan menumpukan kepada pengurangan pengambilan garam dan makanan yang diproses. Di samping itu, tidur yang mencukupi dan pemantauan tekanan darah secara berkala turut membantu dalam mengawal tekanan darah.
Pil perancang dan terapi hormon (HRT)

Pil perancang, terutamanya yang mengandungi estrogen, boleh menaikkan tekanan darah – terutamanya dalam kalangan wanita berumur lebih 35 tahun atau yang merokok. Terapi penggantian hormon (HRT) juga perlu diawasi. Wanita yang mengambil hormon ini perlu memeriksa tekanan darah secara berkala dan berbincang dengan doktor tentang pilihan paling selamat, terutama jika mereka mempunyai faktor risiko lain.
Faktor gaya hidup yang meningkatkan risiko hipertensi
Wanita mungkin lebih terkesan oleh beberapa faktor gaya hidup yang boleh meningkatkan risiko hipertensi. Pengambilan garam, misalnya, boleh memberi kesan besar kerana wanita lebih sensitif terhadap garam, jadi tekanan darah mereka mudah naik jika makan makanan tinggi garam. Tekanan emosi dan tanggungjawab sebagai penjaga juga sering memberi kesan besar. Dari segi pemakanan, makanan segera, makanan diproses dan bergula turut meningkatkan risiko. Selain itu, komitmen kerja dan keluarga menyebabkan wanita jarang bersenam. Langkah mudah seperti mengurangkan snek bergaram, berjalan 30 minit setiap hari, dan menangani stress, boleh membantu mengurangkan risiko.
Kepentingan memantau tekanan darah di rumah
Memantau tekanan darah di rumah merupakan cara terbaik untuk mengawal kesihatan. Amalan ini penting kerana ia dapat membantu mengenal pasti keadaan yang dikenali sebagai “hipertensi kot putih,” iaitu tekanan darah yang tinggi hanya apabila berada di klinik atau hospital. Selain itu, pemantauan berkala di rumah juga boleh menunjukkan pola perubahan tekanan darah yang berlaku semasa haid, dalam situasi stres, atau ketika menghadapi menopaus. Ia turut membantu doktor menilai keberkesanan rawatan yang sedang dijalani oleh pesakit.
Untuk memastikan bacaan tekanan darah yang betul di rumah, beberapa langkah penting perlu diikuti. Pertama, gunakan mesin tekanan darah jenis balut di lengan dan pastikan mesinnya buatan sahih. Sebelum mengambil bacaan, duduklah dalam keadaan tenang selama sekurang-kurangnya lima minit. Tekanan darah perlu diukur dua kali sehari, iaitu pada waktu pagi dan malam. Semua bacaan yang diambil hendaklah dicatat untuk dijadikan rujukan oleh doktor semasa pemeriksaan seterusnya.
Rawatan hipertensi wanita
Secara umum, ubat yang digunakan adalah sama bagi lelaki dan wanita, namun tindak balas terhadap ubat tersebut berbeza mengikut individu. Contohnya, sesetengah wanita mungkin mengalami lebih banyak bengkak apabila mengambil ubat jenis calcium channel blockers. Ubat diuretik pula boleh menyebabkan perubahan elektrolit badan, terutamanya dalam kalangan warga emas. Selain itu, ACE inhibitors tidak selamat digunakan semasa kehamilan, maka wanita dalam usia subur perlu diberi pilihan ubat yang lain. Oleh itu, rawatan perlu disesuaikan secara individu mengikut keperluan pesakit. Pastinya, pemeriksaan susulan secara berkala adalah sangat penting.
Sejarah keluarga dan pencegahan
Jika ibu, ayah atau adik-beradik anda mempunyai hipertensi, risiko untuk anda menghidap penyakit ini juga adalah lebih tinggi. Namun begitu, anda masih boleh mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan risiko tersebut. Antara langkah yang boleh diambil termasuklah memeriksa tekanan darah secara berkala dan mengekalkan berat badan yang sihat. Dari segi pemakanan, anda disarankan untuk memperbanyakkan pengambilan sayur-sayuran dan mengurangkan penggunaan garam dalam masakan. Elakkan tabiat merokok dan hadkan pengambilan alkohol, kerana kedua-duanya boleh meningkatkan tekanan darah. Di samping itu, kekalkan gaya hidup aktif dengan melakukan senaman ringan hingga sederhana. Pengurusan stres yang baik juga memainkan peranan penting dalam menjaga tekanan darah agar kekal normal.
Kesimpulan
Tekanan darah tinggi dalam kalangan wanita sering tidak diberi perhatian serius, walhal kesannya boleh jadi sama, atau lebih berbahaya berbanding lelaki disebabkan perubahan hormon sepanjang hidup wanita.
Sama ada anda berusia 20-an atau telah menopaus, mengawal tekanan darah dari sekarang boleh menyelamatkan jantung, otak dan buah pinggang anda. Tidak pernah ada istilah terlalu awal atau terlalu lambat untuk ambil tindakan.
Kesihatan anda, tanggungjawab anda.
Share:
Was this article helpful?
11 September 2025
•3 minute read
Tekanan Darah Tinggi Pembunuh Senyap Wanita
Learn more about Internal Medicine, Neurology in Columbia Asia
Learn MoreShare:
Was this article helpful?
Health Packages
Elevate your health with tailored health packages at Columbia Asia Hospital. Take charge of your health journey today.
Pink October 2024
From
RM80