7 Perkara Tentang Penyakit Autoimun

November 11, 2020

Tahukah anda, penyakit autoimun adalah penyakit di mana sistem imun tubuh seseorang menyerang sel atau tisunya sendiri.

Dengar macam pelik kan?

Tapi inilah yang terjadi kerana sistem imun badan gagal membezakan sel atau tisu badan dan menganggap sel tersebut adalah sel asing.

Disebabkan kegagalan fungsi tersebut, maka sistem imun badan boleh menyerang pelbagai organ dan tisu dalam tubuh.

Kenapa pula sistem imun ni menyerang tubuh kita sendiri sedangkan ia patut melindungi kita?

Jom baca selanjutnya dan sama-sama ambil tahu tentang penyakit autoimun ini.
 
 
Penyakit Autoimun: Punca, Simptom, Rawatan & Komplikasi

1. Apakah Penyakit Autoimun?

Di Malaysia, mungkin penyakit autoimun ini masih belum diketahui ramai dan mungkin kurang kesedaran terhadap kewujudannya.

Secara umumnya, penyakit autoimun ini adalah satu kondisi di mana badan manusia itu menghasilkan antibodi sendiri (sistem imun) yang menyerang sel-sel badan atau organ manusia itu sendiri.

Bagaimana ia boleh berlaku?

Jelas Pakar Perundingan Perubatan Hospital Columbia Asia Puchong, Dr. Muhammad Bin Shahruddin; “Sepatutnya sistem keimunan dan antibodi kita ini adalah untuk menyerang penyakit seperti contohnya bakteria, fungus dan virus dari luar. Tetapi dalam kes penyakit autoimun ini, badan kita menghasilkan antibodi yang sama dan menyerang organ dalam diri sendiri. Ini kerana sistem imun badan tidak dapat membezakan sel atau tisu badan sendiri dan menganggapnya sebagai sel atau tisu asing."
 

2. Simptom / Tanda Penyakit Autoimun

Menurut Dr Muhammad lagi, simptom-simptom penyakit autoimun pada awalnya tidak spesifik dan tidak jelas.

Ia bermula dengan rasa rasa letih, lemah badan dan sakit otot, diikuti dengan demam yang berterusan hingga seinggu atau 2 minggu.

Ini diikuti dengan rasa sakit, bengkak, sukar untuk bergerak apabila bangun tidur dan keguguran rambut yang berlebihan.

Menurut Portal MyHealth, tanda-tanda lain juga termasuk:
  • Sakit sendi, sakit otot atau kelemahan otot
  • Susut berat badan
  • Ruam yang berulang, amat sensitif pada cahaya matahari, ruam berbentuk rama-rama pada hidung dan pipi
  • Sukar untuk memberikan perhatian atau tumpuan
  • Rasa letih, berat badan bertambah atau tidak tahan sejuk
  • Rambut gugur ataupun keputihan pada kulit
  • Kekeringna pada bahagian mata, mulut dan kulit
  • Kebas pada bahagian tangan dan kaki
  • Kerap mengalami keguguran

3. Jenis-jenis Penyakit Autoimun

Menurut sumber, terdapat lebih 80 jenis penyakit autoimun yang telah dikenalpasti oleh pakar.

Namun, hanya beberapa penyakit sahaja yang mungkin kita familiar atau pernah dengar; contohnya Lupus, radang usus, psiorasis, artritis reumatoid, Diabetes Type 1, Multiple Sclerosis, dan Celiac Disease.

Berikut dijelaskan serba-sedikit tentang penyakit autoimun yang popular.

 

i) Systemic Lupus Erythematosus (SLE)

Systemic Lupus Erythematosus (SLE) adalah penyakit autoimun yang paling dikenali.

Ia adalah sejenis penyakit kronik di mana tubuh badan pesakit menghasilkan protein darah dengan banyak.

Protein darah yang dipanggil antibodi ini dengan sendirinya memberi tindak balas terhadap tisu seseorang.

Kesan dari penyakit ini amat berat kerana melibatkan banyak organ, manakala gejala-gejala yang timbul pula adalah tidak spesifik.
 

ii) Psoriasis

Psoriasis pula adalah penyakit autoimun yang menyerang kulit.

Penyakit ini mempengaruhi sel kulit hingga sel kulit baru menjadi matang terlalu cepat padahal sel-sel yang sudah tua tidak gugur sehingga menyebabkan terjadi penimbunan sel-sel di permukaan kulit.

Pesakit yang mengalami psoriasis akan menunjukkan tanda pada kulit yang terinflamasi, mempunyai tompokan, atau bersisik terutamanya pada bahagian kulit kepala, lutut, punggung dan pergelangan tangan.

 

iii) Penyakit Tiroid<

Penyakit tiroid berpunca daripada sistem antibodi yang menyerang organ tiroid dan lebih banyak menyerang wanita.

Dua jenis tiroid ini adalah
  • Grave’s Disease – berlaku apabila hormon tiroid berlebihan manakala Hashimoto disease berlaku apabila hormon tiroid terlalu rendah.
  • Hashimoto Disease – kelenjar tiroid kurang aktif (hipotiroid) sehingga tidak menghasilkan cukup hormon tiroid
 

iv) Rheumatoid Arthritis (RA)

Rheumatoid arthritis (RA) melibatkan masalah sistem muskuloskeletal di mana berlakunya keradangan pada sendi-sendi.

Pesakit RA akan mengalami sendi-sendi yang menjadi bengkak, sakit dan kaku yang biasanya lebih ketara pada waktu pagi.

Jika dibiarkan penyakit ini berterusan dan tidak dirawat, sendi-sendi boleh menjadi rosak dan hilang keupayaan.

Ia bukan penyakit keturunan dan selalunya lebih kerap dihidapi oleh kaum wanita berbanding lelaki dengan nisbah 3:1.

Walaupun rheumatoid arthritis boleh bermula pada bila-bila masa, ia lebih kerap bermula dalam lingkungan umur 35 hingga 45 tahun.

 

v) Celiac Disease

Celiac Disease ini mungkin kita biasa dengar berlaku pada kanak-kanak yang melibatkan gangguan pertumbuhan dan perkembangan.

Ia adalah penyakit autoimun yang menyerang usus kecil sebagai respon dari intoleransi terhadap produk gluten iaitu bahan yang terdapat dalam gandum.

Pesakit Celiac akan mengalami gangguan penyerapan makanan sehingga pesakit tidak mendapatkan gizi yang cukup.

Gejala-gejala lain adalah seperti penurunan berat badan, ketidakselesaan perut, kembung, cirit dan Anemia.

 

vi) Multiple Sclerosis (MS)

Menurut The Malaysian Medical Gazette, Multiple Sclerosis (MS) ialah sejenis episod serangan terhadap saraf optik, saraf tunjang dan otak yang dipercayai berpunca oleh gangguan pada respon imun terhadap badan.

Penghidap penyakit MS mungkin mengalami kelemahan, paraparesis (kelumpuhan separa pada anggota bawah), paresthesias (sensasi tidak normal, biasanya seperti dicucuk pin dan jarum), hilang penglihatan, diplopia (penglihatan berganda), terketar-ketar, terhuyung-hayang, atau hilang fungsi pundi kencing.

 

4. Punca

Sehingga kini punca penyakit autoimun masih belum diketahui punca sebenarnya yang tepat.

Walau bagaimanapun, pakar mengatakan bahawa secara umumnya ia boleh disebabkan oleh faktor-faktor berikut:-
  • Sejarah keluarga yang mempunyai penyakit autoimun
  • Jantina dan status hormon (75% penyakit autoimun berlaku di kalangan wanita)
  • Jangkitan virus atau bakteria
  • Pendedahan kepada persekitaran dan bahan kimia toksik
  • Tekanan (stres) dan trauma
  • Tabiat merokok
  • Kekurangan nutrisi
 

5. Adakah Penyakit Autoimun Merbahaya?

Kesan penyakit autoimun pada tubuh boleh membuatkan pesakit berasa tidak dapat melakukan aktiviti harian.

Namun ia juga bergantung pada tubuh badan masing-masing kerana setiap orang mempunyai tahap kesihatan yang berbeza.

Bagi sesetengah orang, kesakitan yang dialami mungkin pada tahap yang masih terkawal manakala tahap yang kronik boleh membawa maut.
 

6. Adakah Ia Boleh Dirawat?

Rawatan pesakit adalah bergantung kepada jenis dan gejala yang dialami.

Walaupun belum ada rawatan yang betul-betul menjamin semua jenis penyakit autoimun boleh disembuhkan sepenuhnya, namun dengan diagnosis awal serta rutin rawatan, ia dapat membantu pesakit menguruskan simptom yang dialaminya.
 

7. Ia Menyerang Sesiapa Saja

Walaupun kedengaran asing bagi sesetengah kita, namun penting untuk kita fahami bahawa ia boleh menyerang sesiapa saja, bahkan selebriti popular.

Antara selebriti yang pernah dikhabarkan bertarung dengan penyakit ini ialah Selena Gomez, Kim Kardashian, Lady Gaga, dan Anita Baharom, iaitu salah seorang selebriti tanah air.

Pengiran Muda Abdul Azim, 38, Putera Sultan Brunei yang mangkat pada pagi 24 Oktober 2020 turut menghidap penyakit autoimun yang menyebabkan keradangan pada pembuluh darah hingga menyebabkan kegagalan organ dan menyebabkan jangkitan berterusan.
 
Pentingnya Kesedaran Awam
Sebagai orang awam, kesedaran penyakit ini adalah penting supaya seseorang tidak mengabaikan simptom-simptom yang berlaku dan segera melakukan pemeriksaan jika ada sesuatu yang mengganggu aktiviti harian anda.

Dengan membangkitkan kesedaran ramai tentang penyakit ini, semoga pesakit yang didiagnos juga sentiasa bersemangat dan mendapat sokongan daripada orang di sekeliling mereka.

 
Dr. Muhammad Bin Shahruddin
Consultant Internal Medicine Physician
Columbia Asia Hospital - Puchong

Bachelor Of Medicine & Bachelor Of Surgery (MBBS), Doctor of Internal Medicine (UKM), CIMA (NIOSH)


 
PDF and Online Articles:
  Artikel ini disiarkan oleh Harian Post, 29 Oktober 2020.
 
Looking for Internal Medicine in Columbia Asia?
 
Follow us for latest Health Tips: