28 December 2018
•2 minute read
Doktor Kongsi 12 Tips Meneran Masa Bersalin
Meneran adalah satu kemahiran yang perlu ada semasa proses kelahiran. Meneran dengan betul membantu mempercepatkan proses bersalin serta boleh mengelakkan pelbagai komplikasi kepada ibu dan bayi.
Mungkin ramai ibu yang tertanya-tanya cara meneran dengan betul bagi melicinkan proses kelahiran bayi. Ada yang keliru cara teran dan meneran pada muka menyebabkan rasa penat dan bayi tidak dapat dikeluarkan dengan efisien. Bayi yang hampir dikeluarkan pun boleh distress kerana terlalu lama di saluran peranakan.
Bagi ibu baru atau pertama kali melahirkan secara normal, ia mungkin agak sukar. Tambahan lagi setelah bergelut dengan kontraksi yang semakin kerap dan lama, ibu boleh jadi keliru! Oleh itu bimbingan & nasihat daripada perawat dan petugas perubatan perlu dipatuhi.
Dr Sharina Mohd Razali, Pakar Perbidanan & Sakit Puan, Columbia Asia Bukit Rimau berkongsi tentang cara meneran bersalin yang betul. Katanya cara yang betul ialah seperti meneran ketika membuang air besar.
“Para ibu perlu menghindari teran pada muka kerana ia cara yang salah dan boleh menyebabkan anda berasa cepat penat. Ini adalah kesilapan yang sering kali terjadi terutamanya bagi ibu pertama kali yang tidak mempunyai pengalaman bersalin normal.”
12 TIPS CARA MENERAN SEMASA BERSALIN
- Angkat kepala sehingga dagu mencecah dada.
- Mata memandang ke arah perut.
- Tangan pegang pergelangan kaki.
- Elakkan mengeluarkan suara ketika meneran. Simpan tenaga untuk meneran
- Jangan sesekali angkat punggung agar luka tidak melibatkan dubur.
- Tarik nafas dengan dalam dan teran seperti keadaan membuang air besar.
- Pastikan anda tidak mengeluarkan nafas dengan kuat.
- Teran sekuat – kuatnya selama yang boleh (selama 10 saat sekiranya boleh).
- Rehat dan relaks ketika tiada kontraksi. Basahkan bibir dengan air dengan bantuan suami.
- Curi nafas dan teruskan meneran di setiap kontraksi.
- Dengar arahan jururawat dan doktor
- Elakkan menjerit – jerit supaya pembaziran tenaga dapat dielakkan.
POSTUR BADAN
Postur badan perlu dipastikan sesuai supaya memudahkan ibu untuk meneran. Caranya ialah dengan;
- Berbaring dengan keadaan kedua belah kaki terbuka luas.
- Kedua-dua kaki dilipatkan sedikit ke belakang.
- Bahagian belakang akan ditinggikan bahagian sedikit.
- Cuba pegang pada tumit atau meletakkan kaki pada penyokong besi yang disediakan.
BEREHAT UNTUK MENGELAKKAN PEMBAZIRAN TENAGA
Proses meneran memerlukan tenaga. Anda disarankan berehat sebelum proses bersalin aktif untuk mengelakkan pembaziran tenaga. Berjalan-jalan di sekitar wad boleh dilakukan sekiranya ia bertujuan untuk menenangkan fikiran dan mengurangkan tumpuan kepada perasaan sakit.
Sesetengah pakar perbidanan juga berpendapat berjalan semasa proses awal bersalin boleh membantu mempercepatkan proses bersalin kerana tekanan kepala bayi pada serviks.
AMBIL SNEK RINGAN BAGI MEMBERIKAN TENAGA
Anda dibolehkan mengambil snek ringan sebelum masuk ke dewan bersalin. Antara snek yang boleh diambil ialah seperti roti, minuman berkhasiat dan buah-buahan seperti pisang. Makanan ringkas dan berkhasiat diambil dalam kuantiti yang kecil sebagai mengalas perut dan membekalkan tenaga untuk meneran.
Menurut Dr Sharina, kenyataan mengenai ibu yang ingin bersalin tidak dibenarkan adalah tidak benar sama sekali kecuali pada kes yang telah dijadualkan melahirkan menerusi pembedahan secara elektif. Manakala sepanjang masa di dewan bersalin, ibu diberikan air dalam kuantiti sedikit seakan-akan seperti membasahkan bibir dengan air untuk mengelakkan kehausan
ELAKKAN MENERAN TERLALU AWAL
Ibu perlu mengelakkan diri dari meneran terlalu awal iaitu sebelum bukaan serviks 10sm kerana ia boleh menyebabkan ibu berasa penat dan memberikan stres berlebihan kepada bayi. Meneran terlalu awal juga boleh menyebabkan serviks terkoyak.
PEKA ARAHAN PETUGAS PERUBATAN
Dengar dan sentiasa peka kepada arahan yang diberikan oleh doktor dan jururawat yang bertugas. Teran apabila disuruh dan tahan apabila tidak perlu teran. Hal ini penting kerana doktor atau jururawat hanya akan memberi arahan teran setelah memantau kontraksi menerusi bacaan CTG dan keadaan bayi.
AWAS! Menghembus nafas dengan kuat semasa meneran akan menyebabkan anda jadi cepat letih. Jika anda mempunyai masalah pernafasan seperti asma, beritahu doktor atau jururawat yang bertugas. Jangan lupa bawa ubat-ubatan seperti metered dose inhalers.
Artikel ini disiarkan oleh Majalah Pa&Ma, 28 December 2018
Share:
Was this article helpful?
28 December 2018
•2 minute read
Doktor Kongsi 12 Tips Meneran Masa Bersalin
Articles and Video
Learn more about Obstetrics And Gynecology in Columbia Asia
Learn MoreShare:
Was this article helpful?
Health Packages
Elevate your health with tailored health packages at Columbia Asia Hospital. Take charge of your health journey today.