The Nearest Emergency Contact

Klang

Other emergency contacts

View now
Klang

Select Your Preferred Hospital

Skip to content

Jangan Ambil Mudah Jika Najis Berdarah

27 October 2023

3 minute read

Jangan Ambil Mudah Jika Najis Berdarah

Najis berdarah boleh menjadi isyarat kepada masalah kesihatan yang serius. – Gambar hiasan

Dalam kehidupan, ada antara kita yang berhadapan dengan isu najis berdarah atau pendarahan semasa membuang air besar.

Namun, ada yang tidak memandang serius akan permasalahan tersebut.

Sebenarnya, masalah itu boleh menjadi isyarat kesihatan yang serius.

Pakar Pembedahan Am Columbia Asia Hospital Iskandar Puteri, Dr. Siti Fareeda Ahmad Nor berkata, terdapat juga faktor lain yang lebih ringan yang boleh menyebabkan perkara serupa.

Menurutnya, semua orang harus memahami tentang sebab, tanda dan langkah-langkah terapi untuk masalah najis berdarah.

“Ada beberapa sebab kepada masalah ini dan hemoroid adalah salah satunya. Hemoroid adalah bengkak atau pembesaran pada saluran darah di sekitar dubur dan rektum yang sering kali mengakibatkan kesakitan, gatal-gatal dan pendarahan.

“Darah yang berasal daripada hemoroid biasanya berwarna merah terang dan kadang-kadang dapat dilihat pada tisu selepas membersihkan diri,” katanya.

Tambahnya, penyebab lain adalah fisura dubur yang merujuk kepada luka kecil atau robekan pada kulit di sekeliling lubang dubur.

Ia boleh menyebabkan sakit yang teruk semasa buang air besar dan menghasilkan darah merah terang pada najis atau tisu.

Najis yang berdarah juga boleh jadi disebabkan radang usus. – Gambar hiasan

Selain itu, divertikulosis boleh menjadi penyebab kepada masalah ini dan ia adalah keadaan di mana terbentuk beg kecil berisi (divertikula) pada dinding usus besar.

Divertikula ini boleh meradang atau pecah sehingga menyebabkan masalah divertikulitis yang membawa kepada pendarahan usus dan darah dalam najis.

Dr. Siti Fareeda juga menjelaskan, penyakit radang usus menjadi sebab kepada masalah najis berdarah.

“Penyakit radang usus seperti penyakit crohn dan kolitis ulseratif adalah gangguan autoimun yang mengakibatkan keradangan kronik dalam saluran pencernaan.

“Keadaan ini boleh menyebabkan pendarahan dalam usus dan najis berdarah. Selain itu, polip atau kanser usus boleh menjadi punca dan polip usus adalah pertumbuhan tidak normal pada dinding usus.

“Beberapa jenis polip boleh berkembang menjadi kanser usus jika tidak dirawat. Kedua-duanya boleh menyebabkan pendarahan dalam usus dan darah dalam najis,” jelasnya.

“Dalam pada itu, darah dalam najis juga boleh menjadi tanda yang mungkin menunjukkan isu kesihatan lebih serius.

Biasanya, ia akan disusuli dengan tanda lain seperti sakit perut yang teruk atau berterusan serta kehilangan berat badan tanpa sebab yang jelas.

Selain itu, najis berwarna hitam atau berdarah, keletihan atau kelesuan yang berterusan, demam dan menggigil juga boleh menjadi tanda kepada masalah kesihatan serius.

Mengulas lanjut, Dr. Siti Fareeda berkata, terdapat terapi yang sesuai untuk mengatasi masalah tersebut.

Menurutnya, terapi isu najis berdarah boleh merangkumi pelbagai rawatan bergantung pada punca masalah tersebut.

“Bagi hemoroid, rawatannya termasuklah ubat-ubatan, krim luaran, dan dalam kes tertentu, pembedahan seperti pembedahan laser (tiada luka), pembedahan stapler dan sebagainya.

“Terapi untuk fisura dubur melibatkan langkah-langkah meredakan sakit dan mengurangkan tekanan pada robekan, termasuk penggunaan ubat pencair najis dan krim luaran. Jika tidak surut, perlukan pembedahan seperti lateral internal sphincterotomy.

“Rawatan untuk divertikulosis melibatkan perubahan kepada diet harian yang lebih sihat.

“Misalnya, peningkatan serat dan dalam kes yang teruk, penggunaan antibiotik atau pembedahan,” terangnya.

Bagi penyakit radang usus, rawatan biasanya melibatkan penggunaan ubat anti-radang, imunosupresan dan perubahan gaya hidup.

Rawatan bagi polip atau kanser usus pula mungkin melibatkan pembedahan untuk mengeluarkan polip.

Sementara rawatan kanser usus adalah pembedahan, kemoterapi, radioterapi atau gabungan rawatan yang mungkin diperlukan.

Sementara itu, terdapat beberapa langkah pencegahan yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko pendarahan dalam najis. Antaranya termasuk amalan diet seimbang dan tinggi serat untuk mengurangkan sembelit serta tekanan dalam saluran pencernaan.

Minum air secukupnya untuk membantu pencernaan dan pergerakan usus yang lebih lancar.

“Mengelak pengambilan alkohol berlebihan kerana boleh menyebabkan sembelit dan tekanan dalam usus.

“Berhenti merokok kerana ia boleh meradang dan memburukkan isu pencernaan.

“Menjalani pemeriksaan kolonoskopi secara berkala, terutamanya jika berusia lebih 50 tahun atau mempunyai sejarah keluarga dengan polip atau kanser usus,” jelasnya.

Sementara itu, Dr. Siti Fareeda menitipkan pesan supaya pesakit berjumpa dengan doktor segera sekiranya terdapat darah dalam najis beserta tanda-tanda lain.

Terangnya, doktor akan menilai gejala dan mungkin melakukan ujian seperti kolonoskopi atau ujian darah untuk mengenal pasti punca sebenar masalah.

“Kesimpulannya, najis berdarah boleh menjadi petunjuk masalah kesihatan yang serius atau ringan.

“Rawatan dan diagnosis tepat dapat membantu atasi masalah kesihatan dengan efektif,” katanya.

Artikel ini disiarkan oleh Kosmo, 27 Oktober 2023.

Was this article helpful?

27 October 2023

3 minute read

Jangan Ambil Mudah Jika Najis Berdarah

Dr. Siti Fareeda Binti Ahmad Nor @ Anuar

General Surgery

Learn more about General Surgery in Columbia Asia

Learn More

Need further assistance?

Speak directly or contact Columbia Asia hospitals near you.

Contact Us

Ask the expert

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetuer dipiscing elit.

Ask Now

Was this article helpful?

Subscribe to our newsletter for more Health Care Tips.

This field is for validation purposes and should be left unchanged.

Follow us for latest Health Tips