Reading the Beauty Ingredient Labels

February 15, 2017


Article credit : KOSMO!

KULIT merupakan organ terbesar tubuh yang berfungsi untuk melindungi, mengawal keseimbangan cecair, mengatur suhu badan, pembentukan vitamin D dan menyerap cahaya matahari. Bahan kimia dan toksin yang meresap masuk ke dalam salur darah menerusi kulit lebih berbahaya berbanding masuk melalui mulut kerana tidak melalui proses detoks oleh hati serta buah pinggang. Sehubungan itu, ramai wanita memilih produk-produk kecantikan wajah organik dan bebas bahan kimia berbahaya.

Menurut Pakar Perunding Dermatologi, Hospital Columbia Asia - Petaling Jaya, Petaling Jaya, Selangor, Dr. Priya Gill, produk kecantikan yang 100 peratus organik sepatutnya tidak mengandungi bahan terlarang seperti Genetically Modified Organism, paraben, pewangi tiruan dan silikon. Paraben adalah bahan pengawet yang digunakan dalam produk kosmetik dan farmaseutikal. “Bagi memastikan ia benar-benar organik, bahan itu perlu melepasi piawaian yang ketat dan mendapat persijilan daripada badanbadan yang diiktiraf seperti Skin Organik Malaysia, Pertubuhan Pergerakan Pertanian Organik dan Japanese Organic Association.

“Pemantauan dan kawalan terhadap produk organik di pasaran sangat penting bagi memastikan ia tidak dimanipulasi oleh pengusaha yang hanya ingin mengaut keuntungan kerana produk semula jadi dijual pada harga lebih mahal,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini. Tambah Priya, pengguna perlu mengenali jenis kulit masing-masing bagi mengelakkan berlakunya alahan. Namun begitu, penggunaan bahan kecantikan bebas kandungan kimia adalah lebih baik. Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan membaca dan memahami label produk, kandungan, pengilang, syarikat pengeluar serta badan yang mengeluarkan sijil.