The Nearest Emergency Contact

Klang

Other emergency contacts

View now
Klang

Select Your Preferred Hospital

Skip to content

Top 10 Isu Kesihatan Wanita Di Malaysia

25 October 2023

•

17 minute read

Top 10 Isu Kesihatan Wanita Di Malaysia

Mendukung pelbagai tanggungjawab sehingga adakalanya terlepas pandang dengan masalah kesihatan sendiri. Itulah wanita yang sentiasa berusaha menjadi terbaik untuk keluarga.

Lantaran itu, ramai Mama yang seringkali terlewat mendapatkan rawatan setelah didiagnose dengan penyakit kronik.

Meskipun adakalanya berpeluang untuk sembuh, namun Mama yang sering diibaratkan seperti permaisuri dalam keluarga perlulah sentiasa sihat dan ceria.

Anak-anak tetap menaruh kasih sayang daripada seorang ibu walaupun mereka punyai keluarga sendiri.

Justeru, perhatian dalam soal kesihatan diri Mama wajib dititikberatkan. Tahukah Mama terdapat beberapa jenis penyakit lebih berisiko tinggi dikalangan wanita?

Apakah dia? Jom baca entri Mama Siti, mengenai senarai penyakit popular yang sering menyerang kaum Hawa.

Autoimun

Autoimun atau Lupus antara penyakit popular menyerang ramai wanita. Jangan anggap kurang kedengaran maka ia suatu yang tidak perlu dibimbangkan.

Untuk pengetahuan Mama, di bawah autoimun terdapat beberapa senarai penyakit yang berpunca daripadanya. Biasakan dengar penyakit buah pinggang, radang otak, gangguan penyerapan nutrisi dalam usus kecil (celiac)?

Nah, ini semua berlaku antaranya akibat gangguan autoimun.

Menurut laman web daripada Hospital Columbia Asia – Puchong, Dr. Muhammad Bin Shahruddin berkata penyakit autoimun berlaku akibat gangguan dalam penghasilan antibodi apabila ianya yang menyerang sel-sel badan atau organ manusia itu sendiri.

Umum daripada kita faham bahawa sistem imun dan antibodi terjadi apabila mengesan kehadiran penyakit seperti contohnya bakteria, fungus dan virus dari luar.

Tetapi menurut Dr Muhammad, dalam kes penyakit autoimun ini, badan kita menghasilkan antibodi yang sama namun menyerang organ dalam tubuh sendiri. Ini kerana sistem imun badan tidak dapat membezakan sel atau tisu badan sendiri dan menganggapnya sebagai sel atau tisu asing. Akibatnya, ia merosakkan fungsi organ yang diserang tadi.

Kebiasaanya penyakit autoimun ini akan menyerang umur wanita yang sedang dalam jangka waktu subur iaitu berusia antara 15 hingga 45 tahun.

Terdapat juga kes wanita berusia 45 tahun dan ke atas, tetapi ia jarang berlaku. Apabila penyakit autoimun berlaku, antibodi ini akan menyerang organ tubuh badan yang tertentu dan menyebabkan:

  1. Sendi-sendi: Sendi-sendi akan sakit dan membengkak. Contoh penyakit sendi ini adalah rheumatoid arthritis.
  2. Systemic Lupus Erythematosus atau SLE: Paling kerap didiagnos apabila menghidap autoimun. Ia boleh mengakibatkan kesan pada lebih daripada satu organ dalam seluruh badan. Ia akan menyerang sendi tetapi tidak seteruk rheumatoid arthritis. Ia juga boleh menyerang kulit sehinggakan kulit naik ruam-ruam di muka serta keguguran rambut yang teruk. Paling bahaya apabila SLE ini menyerang buah pinggang dan ujian pengesanan yang lewat kerosakan organ berkenaan. SLE juga boleh menyebabkan serangan antibodi ke bahagian otak sekaligus menyebabkan radang otak.
  3. Penyakit Tiroid: Penyakit tiroid lebih banyak menyerang wanita. Puncanya adalah antibodi menyerang organ tiroid. Dua jenis penyakit tiroid ini adalah Graves disease dan Hashimoto disease. Graves disease berlaku apabila hormon tiroid berlebihan manakala Hashimoto disease berlaku apabila hormon tiroid terlalu rendah. Punca-punca berlaku adalah sama tetapi rawatan yang akan dilakukan adalah berbeza.
  4. Penyakit Psoriasis: Penyakit psoriasis juga adalah penyakit autoimun. Ini berlaku apabila antibodi badan menyerang kulit sehinggakan kulit menggelupas. Cara untuk mengesahkan penyakit psoriasis ini adalah dengan mengambil sampel dan hantar ke makmal untuk diuji. Cara rawatan adalah menurunkan sistem imum dengan rawatan tertentu oleh pakar kulit.
  5. Immune thrombocytopenic purpura (ITP): ITP ini adalah masalah darah. Apabla berlaku, antibodi menyerang platelet dan menyebabkan bacaan bilangan platelet menjadi rendah. Ia membuatkan seseorang itu mudah lebam. Ia juga boleh menyebabkan pendarahan hidung dan pendarahan gusi. Bahaya ITP ini pada ibu mengandung adalah jika bacaan plateletnya rendah, hingga menyebabkan pendarahan. Penyakit ITP ini biasanya dirawat oleh pakar hematologi (darah).


Selain dari penyakit yang disebut di atas, banyak lagi penyakit autoimun lain yang wujud. Contohnya Celiac disease, Addison’s disease, scleroderma, Myasthenia gravis dan Type 1 Diabetes mellitus.

Penyakit nombor satu menyerang wanita ini biasanya tidak mempunyai simptom jelas. Kebiasaannya bermula dengan rasa letih, lemah dan badan atau otot-otot rasa sakit. Ia kemudian disusuli dengan demam yang tidak tinggi (suhu badan 37.5 dan 37.8 Celsius).

Tetapi demam ini agak lama dan berterusan lebih kurang seminggu hingga dua minggu. Dalam masa sama, sendi-sendi juga akan rasa sakit dan bengkak menyebabkan kesukaran untuk bergerak sebaik bangun tidur pada waktu pagi. Selain itu, keguguran rambut yang teruk adakalanya petanda penyakit autoimun.

Nasihat Dr Muhammad agar mereka yang berdepan dengan simptom ini tidak mengaggapnya remeh dan segera membuat pemeriksaan. Meskipun ini merupakan penyakit popular dikalangan wanita, namun kajian lanjut masih dijalankan.

Salah satu teori dikaitkan oleh saintis adalah disebabkan tahap sistem imun wanita yang kuat menyebabkan penyakit ini lebih menyerang kaum Hawa.

Bagaimanapun, pihak terbabit tidak menolak faktor genetik dan persekitaran mungkin menjadi penyumbang kepada gejala autoimun.

Bagaimanapun, ujar Dr. Muhammad, kes penyakit dihidapi mungkin berbeza contohnya ibu yang menghidap autoimun didiagnose dengan penyakit buah pinggang, anaknya perempuannya berkemungkinan menghidap penyakit rheumatoid arthritis.

Osteoartritis

Mungkin kedengaran asing, namun kalau Mama Siti katakan ia adalah keadaan yang berkaitan sakit lutut, mesti para wanita tahu benar dengan penyakit yang satu ini. 

Dan pasti juga Mama bersetuju jika sakit lutut merupakan penyakit popular menimpa kaum wanita.

Menurut laporan oleh laman web Hospital Pantai, osteoartritis membabitkan sendi lutut adalah penyebab utama ketidakupayaan dalam kalangan individu berumur 60 tahun ke atas dimana satu kajian pada tahun 2020 mendapati bahawa 16 peratus penduduk dunia menghidap osteoartritis.

Daripada keseluruhan data berkenaan, majoriti daripada mereka adalah wanita. Bayangkan 16 peratus untuk seluruh dunia merupakan suatu angka yang besar ye Mama.

Osteoartritis lutut adalah artritis yang paling biasa terjadi dan selalunya menimpa individu berumur 45 tahun ke atas, namun golonga muda juga boleh mengalami masalah sama.

Memandangkan ia adalah penyakit progresif, mengetahui gejalanya pada peringkat awal adalah penting untuk rawatan yang berkesan.

Dalam laman web sama dijelaskan, osteoartritis adalah keadaan membabitkan kusyen semulajadi diantara sendi mulai haus dan lusuh. Ini akan membuat tulang sendi bergesel satu sama lain hingga mengakibatkan rasa sakit, kekejangan, membengkak dan lama-kelamaan membentuk kontraktur serta taji tulang.

Terdapat dua jenis osteoartritis lutut:

  • Primer – Degenerasi artikular yang terjadi tanpa sebab yang tersirat.
  • Sekunder – Terjadi akibat trauma, hentakan pada sendi dengan kekuatan yang tidak normal atau masalah seakan artritis reumatoid seperti rawan artikular yang tidak normal.


Faktor risiko kepada osteoartritis:

  • Umur – Ini adalah kerana keupayaan rawan untuk pulih sendiri akan berkurangan apabila umur meningkat.
  • Keturunan – Gen tertentu boleh menjadikan seseorang lebih mudah mendapat osteoartritis lutut.
  • Jantina – Wanita berumur 50 tahun ke atas lebih mudah mendapat masalah ini berbanding lelaki.
  • Berat badan – Berat badan yang berlebihan/obes akan menambah tekanan pada sendi.
  • Kecederaan berkaitan tekanan – Ini biasa dilihat pada orang yang terlibat dalam aktiviti/pekerjaan tertentu seperti mengangkat berat dan kerap melutut di lantai.
  • Sukan– Sukan intensiti tinggi seperti bola sepak, tenis dan berlari boleh meningkatkan kemungkinan untuk mendapat kecederaan lutut yang menyebabkan osteoartritis.
  • Masalah lain – Penyakit sedia ada yang tertentu seperti artritis reumatoid dan gangguan metabolik boleh meningkatkan kemungkinan berlakunya osteoartritis.


Antara simptom yang dirasakan pesakit:

  • Kesakitan lutut yang sederhana pada mulanya tetapi lama-kelamaan bertambah teruk.
  • Kesakitan pada lutut semakin bertambah apabila membuat aktiviti.
  • Kekejangan dan bengkak di sekeliling sendi lutut.
  • Ketidakupayaan untuk menggerakkan sendi selepas duduk/berehat pada jangka masa yang panjang.
  • Sendi terasa hangat.
  • Pergerakan yang berkurangan.
  • Lutut berbunyi seperti retak semasa bergerak.


Rawatan yang tepat akan diberikan bermula dengan teknik konservatif (pemberian ubat makan, sapuan krim, suntikan dan pelbagai lagi) diikuti dengan intervensi pembedahan sekiranya rawatan konservatif tadi tidak berkesan.

Kemurungan

Kemurungan adalah suatu yang sukar dihindari terutama kaum wanita. 

Berkemungkinan ia menjadi antara penyumbang tertinggi dalam kalangan kaum Hawa kerana lumrah wanita yang kuat bermain dengan emosi.

Selain itu, aktiviti seharian atau trauma yang dihadapi wanita dan cabaran bergelar ibu membuatkan penyakit kemurungan mudah menimpa golongan ini. Justeru adalah penting untuk Mama ketahui lebih lanjut tentang gejala kemurungan.

Menurut laporan Astro Awani, penyakit kemurungan telah dikenal pasti oleh WHO sebagai penyakit keempat terbesar yang menyumbang kepada penyakit global (global disability) yang dialami oleh manusia di seluruh dunia pada ketika ini.

Strok

Mungkin ramai wanita terlepas pandang dengan penyakit yang satu ini. Jangan ambil ringan dengan penyakit strok! Tahukah Mama, kajian terbaharu mendapati kaum Hawa berusia bawah 35 tahun berhadapan risiko strok atau angin ahmar yang lebih tinggi, iaitu sebanyak dua kali ganda berbanding kaum lelaki?

Laman web daripada Hello Doktor mendedahkan sebuah analisis yang diterbitkan di dalam jurnal Stroke, pakar mendapati wanita di usia 35 tahun ke bawah mempunyai risiko sebanyak 44 peratus untuk diserang strok iskemik yang disebabkan saluran darah yang tersumbat pada otak berbanding lelaki dalam kumpulan umur yang sama.

Ada dua jenis strok iaitu strok iskemik dan strok hemorhaj. Strok iskemik berlaku apabila saluran darah yang membekalkan darah ke otak tersumbat. Apabila darah tidak sampai ke otak, sel otak akan mulai mati dalam masa beberapa minit. Strok jenis ini merangkumi hampir 87 peratus daripada semua jenis strok.

Strok hemorhaj pula berlaku disebabkan salur darah yang lemah lalu pecah. Darah akan berkumpul dan mengakibatkan tekanan pada sekeliling tisu otak. Serangan strok merupakan satu kecemasan. Pesakit juga perlukan rawatan secepat mungkin untuk mengelakkan sebarang komplikasi yang lebih serius.

Menurut pakar, wanita umur 35 tahun ke bawah mempunyai risiko strok yang lebih tinggi disebabkan penggunaan pil kontraseptif oral. Pil kontraseptif oral mempunyai risikonya yang tersendiri. Salah satunya ialah pembentukan darah beku di dalam salur darah. Darah beku ini boleh menyebabkan salur darah tersumbat lalu menyebabkan serangan strok.

Selain itu, faktor lain yang menyebabkan wanita lebih berisiko untuk mengalami strok ialah kehamilan. Menurut pakar, praeklampsia yang boleh menyebabkan hipertensi yang serius ketika kehamilan boleh menyebabkan strok.

Strok ke atas wanita didiagnos kerana tidak menolak faktor tubuh wanita yang tidak sama dengan lelaki dan strok mempengaruhi mereka secara berbeza-beza pada peringkat kehidupan yang berbeza. Bagi wanita, risiko strok lebih tinggi semasa kehamilan. Disebabkan oleh tubuh wanita juga perlu penyesuaian dengan menopaus, ia meningkatkan lagi risiko strok.

Wanita berusia khususnya sangat terdedah kepada strok dan kesannya juga boleh melemahkan dan menghilangkan keupayaan untuk berdikari. Simptom strok dialami adalah:

  • Kekeliruan
  • Kesukaran berjalan, mengimbangkan atau bercakap
  • Kebas atau lemah
  • Sakit kepala yang teruk tanpa sebab yang jelas
  • Masalah penglihatan
  • Kesukaran bernafas
  • Pengsan atau tidak sedar
  • Rasa lemah secara keseluruhan
  • Berhalusinais
  • Tersedu (Hiccups)
  • Kejang
  • Perubahan tingkah laku atau pergerakan secara tiba-tiba
  • Muntah atau mual


Artikel ini sekaligus membuktikan bahawa golongan wanita muda berusia 35 tahun ke bawah juga berisiko dengan pelbagai penyakit. Justeru, jangan pernah pandang remeh dengan tahap kesihatan anda.

Penyakit seksual

Biasakan Mama dengar wanita yang bermasalah dengan bau faraj, keputihan tidak normal, gatal pada vagina dan pelbagai lagi.

Ini semua merupakan antara penyakit seksual atau gynaecology atau turut digelar penyakit kelamin. Ia dilihat sebagai gangguan yang mempunyai kesan signifikan terhadap fungsi sistem reproduktif wanita.

Simptom yang paling kerap berlaku dalam gangguan ginekologi adalah gatal-gatal pada vagina, lendiran faraj, sakit pelvis, pendarahan faraj yang tidak normal, sakit payudara serta ketulan payudara.

Tahap tanda-tanda ini biasanya bergantung pada usia wanita kerana simptom-simptom ini boleh dipengaruhi perubahan hormon dan penuaan.

Di samping itu, bulu badan berlebihan (hirsutism), kadangkala dianggap sebagai simptom ginekologi kerana pertumbuhan bulu yang terlalu banyak boleh dianggap tidak normal dalam wanita.

Keadaan ini berkaitan dengan tahap hormon lelaki yang tinggi (testosteron) yang mempengaruhi sistem pembiakan wanita.

Berikut antara jenis penyakit kelamin yang dikongsikan oleh portal My Health:

  • Chlamydia – Infeksi chlamydia selalunya tidak memberi apa-apa tanda bagi pesakit wanita, tetapi pesakit mungkin mengalami gejala yang tidak spesifik seperti radang pundi kencing, keluar lendir dari faraj atau sakit dibahagian ari-ari.
  • Ketuat di bahagian kemaluan (Genital warts) – Terdapat ketuat yang berwarna putih atau bintik-bintik putih di kawasan faraj dan kemaluan atau di lubang dubur. Tetapi majoriti pesakit tidak mengadu apa-apa gejala. Ini menyukarkan doktor untuk membuat diagnosa yang tepat bagi penyakit tersebut.
  • Herpes di bahagian kemaluan (Genital herpes) – Seperti ketuat, herpes selalunya tidak menunjukkan gejala. Mereka yang menunjukkan tanda-tanda penyakit akan mengadu demam, gatal, ‘panas’ dan bengkak di bahagian kemaluan. Kadang kala kulit boleh melepuh dan membentuk ulser menyebabkan sakit semasa membuang air kecil.
  • Gonorrhoea – Gonorrhoea ialah jangkitan yang melibatkan lelaki dan perempuan. Ia boleh menjangkiti kawasan kemaluan, dubur, usus atau tekak. Lebih kurang 90 peratus pesakit akan mengadu keluaran lendir bernanah dari kemaluan dan sakit semasa membuang air kecil.
  • Sifilis – Gejala awal adalah pesakit akan mengadu terdapat kudis di bahagian faraj. Kudis ini mungkin tidak sakit dan akan hilang sendiri walaupun tanpa rawatan. Kemudian, pesakit mungkin mengalami demam, menggigil dan sakit otot.
  • HIV – Pesakit mungkin mengadu demam dan sakit otot beberapa bulan selepas dijangkiti virus HIV ini, tetapi majoriti tidak mempunyai apa-apa simptom. Hanya ujian darah dapat memastikan samada anda dijangkiti HIV atau tidak. Ujian darah tersebut mungkin terpaksa diulang jika didapati negatif. Lama-kelamaan, sistem imuniti pesakit akan berkurangan dan beliau akan sukar melawan penyakit.
  • Trichomoniasis – Organisma yang menyebabkan penyakit ini diberi nama Trichomonas vaginalis (TV). Kebanyakkan pesakit tidak mengadu apa-apa simptom tetapi segelintir akan mengalami keluar lendir kuning atau kehijauan, gatal dan bengkak di bahagian kemaluan.
  • Kutu di bahagian kemaluan (Pubic lice) – Gejala termasuk gatal di bahagian kulit kemaluan. Anda mungkin juga mendapati serbuk-serbuk hitam (najis kutu) atau serbuk putih (telur kutu) di bahagian kemaluan atau seluar dalam.
  • Kudis buta (Scabies) – Kudis buta boleh berlaku di mana-mana bahagian badan dan juga kawasan lipatan badan. Gejala termasuk gatal (lebih lagi waktu malam), ruam dan bintik-bintik hitam.
  • Kulat Candidiasis (Thrush) – Gejala termasuk gatal di bahagian kemaluan, keluar lendir putih (seperti dadih) dan bintik-bintik keputihan di bahagian faraj.


Penyakit kelamin boleh berjangkit melalui hubungan seks. Seseorang boleh mendapat penyakit ini jika mengamalkan atau melakukan:

  • Hubungan seks melalui faraj tanpa kondom
  • Hubungan seks melalui dubur
  • Hubungan seks melalui oral (mulut)
  • Bersentuh dengan kemaluan mereka yang berpenyakit


Kebanyakan penyakit kelamin didiagnosa melalui aduan dan sejarah pesakit. Ini diikuti dengan ujian darah, air kencing dan ujian-ujian yang lain. Keputusan ujian adalah rahsia antara pesakit dan doktor.

Doktor akan mengambil ujian sapuan di bahagian faraj atau batang zakar (selalunya menggunakan putik kapas) dan akan dihantar ke makmal.

Penyakit kelamin memang sukar untuk dikesan memandangkan kebanyakan pesakit tidak menunjukkan apa-apa simptom seperti chlamydia, trichomonas, dan sebagainya.

Penyakit kelamin boleh dirawat dengan antibiotik sementara ubat antiviral boleh digunakan untuk herpes di bahagian kemaluan. Ketuat di bahagian kemaluan selalunya sembuh sendiri tanpa rawatan.

Kebanyakan pesakit akan meminta doktor membuang ketuat tersebut untuk sebab-sebab kosmetik. Di antara ejen-ejen untuk rawatan ini termasuklah cecair nitrogen yang akan membekukan ketuat tersebut.

Dalam semua kes penyakit kelamin, pasangan seks pesakit mesti juga dirawat walaupun tidak menunjukkan apa-apa gejala. Ini untuk mengurangkan risiko jangkitan kepada orang lain.

Kanser Payudara

Pembunuh paling popular dikalangan wanita, kanser payudara sememangnya penyakit yang tidak asing di dunia ini.

 

Ia terbukti menjadi antara penyakit tertinggi menyerang kaum Hawa lantaran sering berlaku di sekeliling kita.

Perasan tak Mama breast cancer ini sentiasa menimpa ramai wanita yang kita kenal. Jika bukan ahli keluarga terdekat sekalipun, kemungkinan besar ia menyerang rakan-rakan atau jiran tetangga Mama.

Ini sekaligus membuktikan breast cancer sememangnya penyakit terkenal termasuklah di negara ini.

Berdasarkan laporan portal My Health, kanser payudara merupakan kanser utama bagi wanita di Malaysia dengan 1 daripada 19 individu berisiko menghidapinya.

Payudara wanita adalah terdiri dari sel-sel kelenjar lobul yang menghasilkan susu (lobulas), saluran yang bawa susu ke bahagian puting, lemak dan tisu pengantara, saluran darah dan limfa.

Kebanyakan kanser payudara bermula dari sel yang melapisi bahagian saluran (ductal cancer), sebahagian lain bermula pada kelenjar lobul (lobular cancer) dan selebihnya bermula dari tisu-tisu lain.

Apabila sel ini sampai ke bahagian tubuh badan yang lain, ketumbuhan baru boleh terjadi di organ tersebut. Keadaan barah merebak ini adalah dikenali sebagai barah sekunder atau metastasis.

Perkataan barah juga boleh digunakan dalam keadaan pertambahan sel yang tidak normal tetapi tidak diikuti dengan ketumbuhan atau tumor.

Pengesanan awal kanser boleh dibuat melalui ujian mamogram berikutan ia adalah model saringan kepada individu berusia 40 tahun ke atas. Selain itu, Mama juga perlu tahu cara melakukan pemeriksaan sendiri payudara.

Tanda Kanser Payudara:

  • Bengkak pada sebahagian payudara
  • Kulit jadi berkedut seperti kulit limau
  • Puting masuk ke dalam atau sakit
  • Kemerahan atau berkeruping pada puting atau kulit payudara
  • Lelehan dari puting (kekuningan atau berdarah) selain susu
  • Ketulan pada bahagian ketiak


Tahap Kanser Payudara:

  • Tahap 0 – Kanser setempat (Cancer in Situ)
  • Tahap 1 – Kanser kurang daripada dua centimeter
  • Tahap 2 – Kanser dua hingga lima cm tanpa atau dengan bengkakan kelenjar di ketiak
  • Tahap 3 – Kanser besar daripada lima cm atau penglibatan kelenjar ketiak banyak
  • Tahap 4 – Kanser merebak ke luar payudara dan babitkan organ lain dalam tubuh


Bagi tahap satu dan dua, pesakit masih punya harapan untuk sembuh, bagaimanapun pada tahap empat, peluang untuk sembuh amat tipis.

Kanser Rahim

Berdasarkan laporan Berita Harian Julai lalu, penyakit kanser rahim di Malaysia mencatatkan kedudukan kelima bagi kategori senarai penyakit dikalangan wanita dengan anggaran sebanyak 5.5 kes daripada 100,000 wanita dikesan menghidapi kanser berkenaan saban tahun.

Trend ini juga menunjukkan penyakit kanser rahim semakin meningkat apabila ia sebelum ini dilaporkan berada di tangga ketujuh pada 20 tahun lalu dengan 3.2 kes dalam kalangan 100,0000 wanita.

Apa itu kanser rahim? Kebanyakan kes kanser rahim dikesan daripada lapisan dinding dalam rahim atau dikenali sebagai endometrium. Ia berlaku apabila sel-sel endometrium berkembang secara pantas dan tidak terkawal menyebabkan lapisan itu menjadi tebal dan akhirnya bertukar menjadi kelompok sel kanser.

Antara penyebab utama wanita menghidapi kanser endometrium adalah rangsangan hormon estrogen yang tinggi dan berpanjangan serta kurang hormon progesteron bagi mengawal rangsangan ke atas lapisan endometrium.

Selain itu, faktor yang meningkatkan risiko wanita menghidapi kanser adalah obesiti, diabetes, masalah infertiliti (kesukaran hamil), tidak pernah mengandung, penghidap polycystic ovarian syndrome (PCOS) dan wanita lewat usia menopaus.

Sejarah keluarga dan pengambilan ubatan tertentu seperti rawatan Tamoxifen untuk kanser payudara juga dikaitkan sebagai faktor risiko kanser endometrium.

Gejala awal kanser rahim:

  1. Sakit pada kawasan pinggang.
  2. Pengeluaran cecair faraj dalam kuantiti yang banyak.
  3. Sakit abdomen.
  4. Rasa keras atau ketulan pada mana-mana permukaan kawasan pinggang.
  5. Hilang berat badan tanpa mengamalkan sebarang diet.
  6. Kelesuan.
  7. Kembung perut.
  8. Perubahan pada corak buang air kecil atau besar.
  9. Rasa cepat kenyang.
  10. Sakit ketika melakukan hubungan seks.
  11. SPendarahan faraj yang banyak dan kelihatan tidak normal bagi golongan belum menopaus.
  12. Bagi mereka yang telah mencapai usia menopaus, keluar darah daripada faraj adah simptom tidak normal.


Rawatan untuk penyakit ini adalah berbeza dan bergantung dengan kesesuaian tahap kanser tadi. Jika pangkal rahim wanita disahkan menghidapi dysplasia, wanita tersebut mungkin perlu rawatan untuk pembuangan sel yang tidak normal dari pangkal rahim.

Dalam kes yang ringan, hanya ujian pap berkala diperlukan. Manakala dalam kes yang teruk, sel yang tidak normal mungkin dibuang menggunakan kaedah cryosurgery (pembekuan), cauterization (pembakaran) atau laser.

Bagi rawatan barah pangkal rahim bergantung kepada saiz dan lokasi ketumbuhan, tahap rebakan barah dan tahap kesihatan wanita tersebut. Rawatan utama untuk barah adalah pembedahan, radioterapi dan kemoterapi..

Kanser Ovari

Sukar membuang air besar dan kadang kala ia berubah kepada cirit-birit. Awas, ini antara tanda kanser ovari!

Tahukah Mama, sejenis kanser yang lambat dikesan ekoran kedudukannya di bahagian dalaman organ wanita selain tandanya juga kurang jelas seperti hilang selera makan, kelesuan, muntah atau loya sekaligus menjadikan penyakit turut diklasifikasikan sebagai pembunuh senyap.

Portal My Health menjelaskan bahawa kanser ovari berada di tangga keempat dalam kategori keseluruhan penyakit kanser di negara ini.

Kanser ovari adalah pertumbuhan sel-sel abnormal yang bermula di dalam ovari. Sel-sel ini mungkin membiak dengan cepat dan merebak ke bahagian badan yang lain jika tidak dirawat.

Ia berlaku di kalangan wanita berusia 40-an ke atas dan memuncak di kalangan umur 55 hingga 60 tahun. Namun, ia turut berisiko bagi golongan wanita remaja kurang dan pada 20 tahun.

Kebanyakan kanser ovari merupakan kanser yang timbul daripada permukaan ovari (epithelial cancer) dan sebahagian kecil berasal daripada sel-sel benih telur (germ cell cancer).

Kanser ovari kebiasaannya lewat dikesan kerana kedudukan organ itu yang letaknya jauh di dalam pelvis berbanding pangkal rahim (serviks) dan juga endometrium (dinding rahim).

Ini menjadikan proses saringan (screening) tidak dapat dilakukan. Kanser ovari cenderung berlaku kepada wanita yang mempunyai sejarah ahli keluarga terhadap kanser berkenaan.

Ia juga cenderung berlaku di kalangan wanita yang mencapai akil baligh awal dan lewat menopos serta wanita yang tidak pernah hamil (ovari direhatkan semasa kehamilan).

Selain daripada itu wanita yang hamil pada usia lewat serta wanita yang mempunyai kumpulan darah ‘A’ juga dikaitkan dengan kanser ovari.

Kanser ovari, pada tahap awalnya, menghasilkan sedikit atau simptom tidak spesifik. Simptom yang samar selalunya mengakibatkan penyakit itu berkembang tanpa dapat dikesan sehingga ia mencapai tahap lanjut.

Untuk membantu dalam pengesanan lebih awal, simptom yang tidak jelas pun perlu dinilai dengan teliti. Simptom kanser ovari termasuk:

  • Perut kembung atau kenyang
  • Sakit bahagian bawah perut atau belakang
  • Hilang selera makan
  • Hilang berat badan tanpa sebab
  • Pendarahan faraj (selepas menopaus)
  • Keputihan yang tidak normal
  • Keperluan mendesak atau kerap untuk membuang air kecil
  • Perubahan dalam tabiat buang air besar (sembelit atau cirit-birit)
  • Kelesuan
  • Loya
  • Muntah


Penentuan tahap dilakukan berdasarkan pemeriksaan fizikal, imbasan dan biopsi iaitu bermula tahap satu hingga empat di mana tahap yang lebih besar menunjukkan prognosis kanser ovari yang lebih buruk.

Tahap terendah menunjukkan kanser terhad kepada satu ovari dan tahap tertinggi menunjukkan sel kanser telah merebak ke bahagian lain badan.

Rawatan yang akan dicadangkan oleh doktor bergantung pada beberapa faktor, termasuk jenis dan peringkat kanser. Pembedahan, kemoterapi, dan radioterapi adalah rawatan yang biasa dilakukan, tetapi terapi hormon dan terapi sasaran juga digunakan.

Cysts

Pasti kerap dengar wanita disekeliling Mama menghidap penyakit cyst bukan? 

Malah, ia seakan perkara biasa tatkala mendapat tahu mereka yang rapat dengan kita terpaksa menjalani pembedahan membuang cyst.

Situasi ini sekaligus membuktikan bahawa cyst suatu penyakit yang tidak asing dikalangan wanita. Meskipun ia tidak berbahaya, namun cyst mampu menghimpit pesakitnya dengan pelbagai masalah kesihatan terutama bagi yang berubah saiznya selain turut berisiko menjadi kanser.

Memetik laporan Sinar Harian, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan di Hospital KPJ Ampang Puteri, Dr Fauziah Mohd Hasan berkata, cyst merupakan suatu ketumbuhan pada ovari yang lazimnya mengandungi cecair.

Turut digelar sebagai sista ovari atau ovarian cyst, cairan yang terkandung dalam ketumbuhan itu adalah berbentuk lendir, air atau darah yang berada di dalam kilang telur. Masalah ini berlaku ketika proses ovulasi dan pada saat telur (ovum) dikeluarkan setiap bulan.

Ia boleh membesar tanpa disedari. Cairan di dalam sista (atau kantung) dihasilkan sel aktif atau tidak normal yang membentuk sista berkenaan di dalam kilang telur (ovari).

Dianggarkan 60 hingga 70 peratus kes sista ovari tidak disedari kerana tidak menunjukkan gejala dan dikesan secara tidak sengaja. Hanya 30 hingga 40 peratus boleh dikesan melalui simptom seperti sakit perut ketika haid atau kitaran haid tidak teratur.

Ia boleh dirasai apabila saiznya membesar hingga lebih kepada empat sentimeter yang menyebabkannya menekan usus di dalam perut, mengakibatkan sakit, sembelit atau ketidakselesaan. Sista mengambil masa lama dan puncanya tidak diketahui.

Jelas Dr Fauziah, kebanyakan wanita yang didiagnose tidak mempunyai apa-apa masalah atas sebab fisiologi dan bukan kanser. Namun, sesetengah jenis cyst ini boleh memberikan kesukaran kepada pesakitnya.

Antara jenis cyst yang biasa terjadi adalah:

  1. Sista biasa – Ia terjadi apabila folikel besar pada ovari yang terus-menerus membesar selepas telur dilepaskan daripada ovari. Sista jenis ini paling biasa ditemui. Ia akan hilang dengan sendirinya selepas beberapa bulan.
  2. Endometriosis – Adakalanya sista ovari adalah jenis endometriosis (penyakit senggugut) ataupun ketumbuhan yang kebanyakannya ialah benigna (bukan kanser). Sista jenis ini memerlukan rawatan sama ada secara memakan ubat atau pembedahan.Sista ini mengandungi darah pekat lama yang dinamakan sista coklat kerana rupanya yang seakan-akan coklat masakan. Penyakit ini biasa akan menyebabkan pembentukan parut dan lekatan pada organ pelvis.
  3. Sista dermoid – Ia terjadi daripada sel yang menghasilkan telur pada ovari, kadangkala bercampur dengan tisu rambut, lemak, gigi dan rawan. Ia adalah sista yang dibawa sejak kecil dan kadang kala kehadirannya tidak disedari melainkan saiznya yang sudah membesar seiring dengan pertambahan usia. Kemungkinan ia boleh disedari melalui tanda seperti kitaran haid yang tidak teratur, sakit atau timbulan bengkak di bahagian perut.
  4. Sista folikel – Ia berbentuk cecair tidak berwarna dan berasal daripada sel karung telur sendiri yang tidak memberi gerak balas kepada hormon kitaran haid dan saiznya boleh membesar tanpa surut.Hampir semua ovarian cyst yang berlaku sebelum usia menopaus adalah tidak berbahaya. Kanser ovari sebelum usia menopaus juga sangat jarang berlaku.

    Selain itu, penyakit ini juga tidak menyebabkan wanita sukar hamil kecuali jika jenis cyst yang dialami adalah dalam kategori endometriosis.

    Begitupun, pemeriksaan rapi perlu dilakukan bagi menentukan jenis dan punca seseorang wanita itu tidak boleh mengandung.

Fibroid

Selain cyst, fibroid juga antara penyakit popular menyerang golongan wanita.

Laman web oleh Hospital Pantai menyatakan, kira-kira 80 peratus wanita akan mengalami fibroid dalam suatu tempoh meskipun tanpa disedari kehadirannya. Ini kerana fibroid cenderung mengecut dalam tubuh seseorang itu selepas menopous.

Namun, berbeza dengan ovarian cysts, fibroid suatu ketumbuhan bukan kanser yang bermula daripada otot rahim dan sering terjadi kepada wanita ketika berada di fasa reproduktif. Manakala cysts pula adalah suatu kewujudan kantung yang kebanyakannya mengandungi cecair.

Memetik laporan Harian Metro, Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Wong Yen Shi berkata, fibroid turut dikenali sebagai mioma, fibromioma atau leiomioma.

Sehingga kini, punca spesisfik penyebab fibroid tidak diketahui, tetapi pakar kesihatan percaya ia berkaitan dengan ketidakseimbangan hormon (estrogen dan progesteron).

Beberapa faktor lain yang dikaitkan dengan perkembangan fibroid rahim adalah wanita berusia antara 30 hingga 50 tahun serta kumpulan yang mempunyai berat badan berlebihan.

Lokasi fibroid menentukan klasifikasinya:

  • Fibroid intramural: Tumbuh di dalam dinding otot rahim. Mereka adalah jenis yang paling lazim.
  • Fibroid subserosal: Membangunkan dinding luar rahim. Mereka boleh membesar ke saiz yang besar.
  • Fibroid submukosa: Tumbuh di bawah lapisan dalam rahim.
  • Fibroid bertangkai: Dilekatkan pada rahim dengan tisu seperti batang. Mereka boleh sama ada subserosal atau submucosal.


Rawatan untuk fibroid bergantung kepada keadaan simptom dan kehendak pesakit itu antaranya:

  1. Ubat anti-radang bukan steroid (NSAID) seperti ibuprofen untuk melegakan kesakitan.
  2. Zat besi dan vitamin.
  3. Kawalan kelahiran hormon.
  4. Ubat antifibrinolitik seperti asid Tranexamic untuk memperlahankan pendarahan haid.
  5. Analog hormon pelepas gonadotropin untuk menghentikan sementara pengeluaran progesteron dan estrogen, yang boleh, sebagai balasan, mengurangkan pendarahan haid yang banyak.
  6. Pembedahan untuk membuang fibroid.
  7. Dalam kes yang teruk, pembedahan untuk membuang rahim (histerektomi) mungkin diperlukan.


Bagaimanapun, pesakit yang tidak mempunyai simptom berkemungkinan tidak memerlukan rawatan kerana fibroid cenderung mengecut dalam tubuh mereka sendiri selepas menopous.

Artikel ini disiarkan oleh Kelab Mama, 16 Oktober 2023.

Was this article helpful?

25 October 2023

•

17 minute read

Top 10 Isu Kesihatan Wanita Di Malaysia

Dr. Muhammad Bin Shahruddin

Internal Medicine

Learn more about Internal Medicine in Columbia Asia

Learn More

Need further assistance?

Speak directly or contact Columbia Asia hospitals near you.

Contact Us

Ask the expert

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetuer dipiscing elit.

Ask Now

Was this article helpful?

Subscribe to our newsletter for more Health Care Tips.

This field is for validation purposes and should be left unchanged.

Follow us for latest Health Tips