Risiko Demam Denggi

June 17, 2020

Demam denggi adalah penyakit virus yang disebarkan melalui gigitan nyamuk Aedes. Ia boleh berlaku di tahap ringan hingga teruk. Dalam keadaan teruk (severe dengue), ianya berisiko menyebabkan kematian. Oleh kerana itu, jika anda demam, penting untuk mengetahui sama ada anda menghidap demam denggi atau tidak. Ini adalah lebih penting jika anda tinggal di kawasan rawan denggi.

Pada tahun ini, dari Januari hingga 6 Jun, sebanyak 48,584 kes demam denggi telah dilaporkan, dengan jumlah kematian sebanyak 84 orang. Walaupun jumlah keseluruhannya terdapat penurunan 11% daripada 54,524 kes tahun lalu dalam jangka masa yang sama, namun sejak enam minggu yang lepas didapati trend peningkatan kes demam denggi berterusan -- iaitu dengan purata peningkatan sebanyak lapan peratus (8%) setiap minggu! Kementerian Kesihatan Malaysia menjangkakan akan berlaku peningkatan kes demam denggi gelombang kedua tahun ini bermula awal Jun sehingga September 2020 berdasarkan trend kes Demam Denggi selama lima tahun.

Virus Denggi
Terdapat empat serotip virus denggi (DENV) yang berbeza iaitu DENV-1, DENV-2, DENV-3 dan DENV-4. Pemulihan daripada jangkitan oleh salah satu serotip dipercayai memberi imuniti sepanjang hayat terhadap serotip itu sahaja. Jangkitan berikutnya (secondary infection) oleh serotip lain meningkatkan risiko terkena demam denggi yang teruk.

Suatu kajian serotip telah dilakukan di dua hospital tertiari di Malaysia pada tahun 2014 hingga pertengahan 2017. Serotip denggi yang terbanyak ialah DENV-1. Manifestasi klinikal yang tidak teruk adalah lazim pada jangkitan yang disebabkan oleh DENV-1 dan DENV-3. Sementara penderita dengan jangkitan DENV-2 menunjukkan tanda amaran yang signifikan dan menghidap denggi yang teruk.

Virus denggi menular ke manusia melalui gigitan nyamuk Aedes yang dijangkiti. Nyamuk boleh dijangkiti dari orang yang menghidap penyakit virus denggi. Penularan virus dari manusia ke nyamuk boleh berlaku dua hari sebelum seseorang menunjukkan gejala penyakit sehingga dua hari setelah hilang demam. Sebilangan besar darah pesakit mempunyai virus selama kira-kira 4-5 hari. Nyamuk yang sudah dijangkiti virus denggi ini mampu menyebarkan virus sepanjang hayatnya. Oleh kerana itu, sekiranya anda tahu anda menghidap denggi, perlu mengelakkan dari digigit nyamuk, terutama pada minggu pertama penyakit. Anda mungkin menyebarkan virus denggi kepada nyamuk baru yang tidak dijangkiti, dan pada gilirannya dapat menjangkiti orang lain.

Tanda dan gejala
Gejala demam denggi biasanya berlangsung selama 2-7 hari. Tempoh inkubasi pula ialah 4-10 hari. Demam denggi disyaki apabila terdapat demam tinggi (biasanya sekitara 40C) disertai oleh dua atau lebih gejala berikut: sakit kepala yang teruk, sakit di belakang mata, sakit otot dan sendi, loya, muntah, bengkak kelenjar atau ruam.

Pesakit dibahagi kepada tiga fasa iaitu fasa demam, fasa kritikal dan fasa pemulihan. Fasa kritikal merupakan fasa yang perlu diperhatikan. Fasa ini berlangsung kira-kira 3-7 hari selepas penyakit bermula. Pada fasa ini, demam menurun (dibawah 38 C), akan tetapi tanda amaran yang berkaitan dengan denggi yang teruk dapat muncul. Tanda-tanda amaran yang perlu diperhatikan ialah sakit perut, kerap muntah, cirit-birit berterusan, sesak nafas, perdarahan, keletihan atau kegelisahan. Denggi yang teruk berpotensi membawa maut, ini disebabkan oleh kebocoran plasma, penggumpulan cairan, gangguan pernafasan, pendarahan teruk atau gangguan organ.

Diagnosis
Dengan meningkatnya kejadian jangkitan denggi, diagnosis penyakit denggi semasa fasa awal harus menjadi keutamaan dan perhatian setiap fasiliti kesihatan. Saat ini terdapat ujian diagnosis cepat (rapid test) yang boleh digunakan untuk diagnosis demam denggi. Rapid test ini hanya memerlukan kira-kira 20 minit untuk menentukan hasilnya. NS1(NonStructural protein 1) adalah glikoprotein yang terdapat pada kadar yang tinggi dalam sera pesakit demam denggi semasa fasa klinikal awal, ianya boleh dijumpai dari hari ke-1 sehingga hari ke-9 setelah permulaan demam. Oleh kerana itu, test adanya NS1 ini (NS1Ag) memperbolehkan diagnosis demam denggi secara awal, iaitu sejak hari pertama demam.

Rawatan
Tiada rawatan khusus untuk demam denggi. Amat penting ialah pengambilan minuman sebanyak 2-3 liter sehari. Anda perlu merekodkan jumlah urin yang keluar dan kekerapan membuang air besar. Perlu juga melihat warna najis, sekiranya najis berwarna hitam atau mengandungi darah. Ubat pengurang demam boleh diambil untuk mengawal demam, sakit otot dan sendi, khususnya paracetamol. Ubat anti-radang non-steroid seperti ibuprofen dan aspirin harus dielakkan. Ubat ini boleh menipiskan darah dan bila terjadi perdarahan dapat memperburukkan prognosis pesakit denggi.

Pencegahan
Pada masa ini, kaedah utama untuk mengawal penularan virus denggi ialah dengan memerangi vector nyamuk aedes. Ini termasuk pembasmian tempat pembiakan nyamuk (air bertakung), perlindungan gigitan dengan menggunakan penghalau nyamuk, memakai pakaian berwarna terang dan lengan panjang dan seluar panjang ketika berada di luar rumah, memasang skrin serangga di pintu dan tingkap, penggunaan kelambu atau penggunaan racun serangga.

Satu-satunya cara untuk mengesahkan diagnosis demam denggi adalah dengan ujian darah. Segera berjumpa doktor sekiranya anda fikir anda mungkin menghidap demam denggi. Diagnosis awal adalah penting untuk mengurangkan risiko komplikasi dan mengelakkan penyebaran virus lebih lanjut.

Photo credit: Freepik.com



Dr. Sudarwin Tjanaka
Consultant Internal Medicine Physician
Columbia Asia Hospital – Setapak

MD (Indonesia), MMed (Internal Medicine) (UKM), CMIA (NIOSH)



PDF and Online Articles:

Artikel ini disiarkan oleh Berita Harian, 13 Jun 2020


Looking for Internal Medicine in Columbia Asia?


Follow us for latest Health Tips: