Bagi memastikan kehamilan anda berjalan lancar, perancangan teliti perlu dimulakan sejak sebelum kehamilan lagi. Ini dikenali sebagai penjagaan prakehamilan, yang amat penting apabila anda merancang untuk memulakan keluarga dan menimang cahaya mata.
Penjagaan prakehamilan, atau prakonsepsi, bukan sahaja dapat meningkatkan hasil kehamilan, malah memastikan anda kekal sihat sepanjang tempoh tersebut. Ia juga membantu menguruskan sebarang faktor risiko yang mungkin menjejaskan kehamilan anda.
Merancang perjalanan kehamilan
“Saya sering tekankan kepada pesakit saya bahawa kehamilan adalah satu perjalanan yang perlu dirancang dengan rapi. Di akhir perjalanan ini, apa yang kita semua inginkan adalah ibu yang sihat, bayi yang sihat, dan tentu sekali, keluarga yang bahagia.
“Jadi, inilah sebabnya sesi kaunseling prakehamilan sangat penting. Ia bukan sekadar untuk memastikan semuanya dalam keadaan terbaik sejak awal, tetapi juga untuk membantu ibu bapa mengurus jangkaan mereka. Dengan rancangan kehamilan yang teratur, kita dapat memastikan perjalanan ini berjalan lancar,” kata Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi dan Perubatan Janin Ibu dari Columbia Asia Hospital – Seremban, Dr. Vijayaletchumi Thandayathany.
Sesetengah pesakit mungkin menghadapi masalah kesihatan yang tidak menunjukkan tanda-tanda pemulihan, atau sedang mengambil ubat yang tidak sesuai ketika semasa awal kehamilan. Selain itu, pesakit yang pernah mengalami komplikasi dalam kehamilan sebelumnya memerlukan pemeriksaan sebelum cuba hamil semula. Dalam sesetengah kes, ada wanita yang mungkin tidak dinasihatkan untuk hamil sama sekali berikutan kerana risiko yang mungkin dihadapi.
“Di Malaysia, masih ramai yang enggan berjumpa doktor, apatah lagi menjalani pemeriksaan kesihatan. Ramai yang hanya akan ke hospital apabila benar-benar berasa tidak sihat atau memerlukan rawatan susulan. Sayangnya, sikap ‘endah tak endah’ ini boleh menyebabkan mereka tidak sedar akan keadaan kesihatan sebenar mereka,” dedah Dr. Vijayaletchumi.
Seterusnya, penjagaan prakehamilan sebaiknya dikendalikan oleh pakar yang berpengalaman dalam menguruskan kehamilan berisiko tinggi. Contohnya, pakar perubatan janin ibu khususnya terlatih dalam menilai keadaan yang paling sesuai untuk kehamilan atau juga sebaliknya.
Jika anda merancang untuk hamil selepas usia 35 tahun, anda disarankan untuk mendapatkan nasihat pakar bagi mengenal pasti dan menangani sebarang masalah kesihatan yang mungkin tidak disedari, yang berpotensi menyebabkan komplikasi kepada ibu dan bayi.
Kategori risiko dalam kehamilan
“Sebagai seorang doktor, saya juga sentiasa menasihat pasangan suami isteri untuk mendapatkan nasihat perubatan daripada pakar serta menjalani beberapa ujian sebelum memasuki fasa keibubapaan.
“Ketika kita bercakap tentang kehamilan, ia sebenarnya terbahagi kepada dua kategori utama: risiko rendah dan risiko tinggi. Faktor-faktor seperti umur ibu, masalah kesihatan sedia ada, dan sejarah kehamilan terdahulu akan menentukan tahap risiko kehamilan anda. Bagi kehamilan yang berisiko tinggi, kita perlu berikan lebih perhatian kerana ada kemungkinan komplikasi seperti kelahiran pramatang, kematian janin, atau masalah kesihatan yang serius untuk ibu,” jelas Dr. Vijayaletchumi.
Masalah kesihatan sedia ada boleh diurus dengan baik untuk memastikan kehamilan yang selamat. Walaupun penilaian menyeluruh terhadap kesihatan ibu adalah penting, kadangkala penilaian ini juga perlu melibatkan kedua-dua ibu dan bapa.
Saringan kesihatan boleh elak risiko
Saringan kesihatan adalah penting jika anda merancang untuk hamil. Saringan ini dapat membantu pakar obstetrik dalam menguruskan kehamilan dan mencadangkan ujian tambahan yang sesuai untuk ibu dan bayi.
“Setelah doktor membuat penilaian menyeluruh terhadap pasangan suami isteri, kami akan mencadangkan prosedur atau rawatan yang sesuai untuk sebarang masalah kesihatan yang dikesan,” kata Dr. Vijayaletchumi. “Biasanya, ini termasuk memeriksa paras hemoglobin dan gula, serta memeriksa jika salah seorang daripada ibu bapa mempunyai talasemia. Jika salah seorang atau kedua-duanya mempunyai talasemia, ada risiko anak mereka juga mungkin menghidapinya. Selain itu, pasangan juga disarankan untuk menjalani ujian penyakit kelamin (STD) sebagai langkah berjaga-jaga.”
Di samping itu, masalah kesihatan seperti diabetes, tekanan darah tinggi, atau gangguan darah pada ibu boleh memberi kesan serius kepada bayi. Diabetes, khususnya, boleh menjejaskan kesihatan ibu dan bayi, meningkatkan risiko keguguran, kematian janin, dan kecacatan struktur. Oleh itu, penting untuk mengawal paras gula sebelum hamil bagi mengurangkan risiko-risiko ini.
Sayangi bayi, pilih ubat yang selamat

Anda perlu memaklumkan kepada doktor tentang sebarang ubat yang anda ambil, kerana sesetengah ubat boleh mempengaruhi perkembangan janin. Jika anda merancang untuk hamil, ubat-ubatan tersebut perlu digantikan dengan alternatif yang lebih selamat. Terdapat ubat yang lebih selamat yang tidak akan membahayakan kesihatan anda atau kehamilan. Pilihlah alternatif yang sesuai untuk memastikan kesihatan anda dan bayi.
Sebagai contoh, sesetengah ubat antihipertensi boleh memberi kesan buruk terhadap pertumbuhan bayi dan perlu digantikan dengan ubat lain untuk mengurangkan risiko kecacatan pada bayi. Begitu juga dengan ubat diabetes, ubat pencair darah, dan lain-lain.
Mengapa saya tidak disarankan untuk hamil?
Menurut Dr. Vijayaletchumi, kehamilan yang tidak dirancang dan disertai dengan masalah kesihatan boleh mengakibatkan hasil kehamilan yang tidak memuaskan atau, dalam kes yang lebih serius, keguguran. Situasi ini boleh menjadi pengalaman yang sangat traumatik bagi pasangan ibu bapa. Bayangkan jika terpaksa menggugurkan kandungan kerana risiko yang mengancam nyawa ibu.
Dalam amalan obstetrik, kesihatan ibu sentiasa menjadi keutamaan. Jika meneruskan kehamilan boleh menjejaskan kesihatannya, ibu akan dinasihatkan untuk menangguhkannya atau hanya meneruskannya setelah keadaan kesihatan stabil untuk hamil.
“Jika kehamilan berisiko membahayakan nyawa ibu, doktor mungkin akan mencadangkan alternatif seperti mengambil anak angkat. Saya faham bahawa sesetengah pasangan mungkin merasa kecewa kerana tidak dapat memiliki anak kandung mereka sendiri. Namun, penting untuk diingat bahawa keselamatan ibu dan bayi adalah yang utama. Menghindari risiko yang boleh mengancam nyawa atau menyebabkan kelahiran pramatang adalah langkah yang perlu diambil, walaupun ia mungkin melibatkan keputusan sukar seperti pengguguran, terutama apabila kehamilan sudah memasuki tahap pertengahan,” sambung Dr. Vijayaletchumi.
“Akhir kata, jika anda merancang untuk hamil, saya nasihatkan agar anda mula menjaga pemakanan dengan lebih telitiKurangkan kafein, elakkan telur mentah, dan berhati-hati dengan ikan yang mungkin mengandungi merkuri. Sebaliknya, tingkatkan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran, dan air. Ikutilah saranan Kementerian Kesihatan yang mengesyorkan pengambilan suku karbohidrat, suku protein, dan separuh serat,” kata Dr. Vijayaletchumi.
Share:
Was this article helpful?
Articles and Video
Learn more about Obstetrics And Gynecology, Maternal Fetal Medicine in Columbia Asia
Learn MoreShare:
Was this article helpful?
Health Packages
Elevate your health with tailored health packages at Columbia Asia Hospital. Take charge of your health journey today.
Pink October 2024
From
RM80