01 April 2026
•5 minute read
Bergaya di Hari Raya: Tumit Tinggi & Kaki yang Sihat
Menjelang sambutan Hari Raya, ramai yang memilih untuk tampil bergaya dengan baju baharu. Kasut tumit tinggi pula sering menjadi pilihan untuk melengkapkan penampilan. Ia boleh menambahkan keyakinan diri ketika berkunjung ke rumah sanak-saudara atau menghadiri rumah terbuka. Namun, jika dipakai dengan kerap, ia boleh memberi tekanan yang besar pada kaki serta seluruh badan. Dalam jangka masa panjang pula, ia boleh menyebabkan kesakitan, perubahan struktur kaki dan masalah sendi yang berpanjangan. Dengan memahami kesan tumit tinggi terhadap badan, anda boleh memakainya dengan lebih selamat sepanjang musim Hari Raya.
Tumit Tinggi: Cantik, Tetapi Berisiko
Apabila memakai kasut tumit tinggi, sebanyak 75% berat badan anda akan tertumpu pada bahagian depan kaki. Kedudukan yang tidak semula jadi ini meningkatkan tekanan pada jari kaki, tapak depan kaki, buku lali, lutut, pinggul dan juga bahagian bawah belakang badan. Lama kelamaan, tekanan ini boleh mengubah cara berjalan serta struktur kaki anda secara kekal.
Masalah biasa pada bahagian depan kaki termasuk:
- Metatarsalgia – sakit dan keradangan pada tapak depan kaki akibat tekanan berlebihan
- Neuroma Morton (Morton’s neuroma) – penebalan tisu di sekitar saraf yang menyebabkan rasa sensasi terbakar atau seolah-olah terpijak batu kecil
- Bunion • Jari Kaki Tukul (Hammertoes) – jari membengkok secara kekal akibat ketidakseimbangan otot dan kasut yang sempit
Pemakaian tumit tinggi juga meningkatkan risiko masalah pada tumit dan buku lali seperti:
- Plantar fasciitis – sakit mencucuk pada tumit, terutama ketika melangkah buat pertama kali pada waktu pagi
- Tendinitis Achilles (Achilles tendonitis) – rasa sakit dan tegang di belakang buku lali
- Terseliuh buku lali
- Kecacatan Hanglund (Haglund’s deformity) – benjolan tulang yang menyakitkan di belakang tumit
Selain itu, masalah kulit dan kuku seperti mata ikan, kematu dan cengkam kuku juga sering berlaku, khususnya jika kasut sempit atau kerap bergesel dengan kulit.
Cara Memilih Tumit yang Sesuai
Untuk kegunaan harian atau semasa Hari Raya, ketinggian tumit antara satu hingga dua inci adalah paling ideal dari segi klinikal kerana ia dapat mengurangkan ketegangan pada tendon Achilles. Anda disarankan untuk memilih kasut tumit baji (wedges) atau tumit blok berbanding tumit runcing (stiletto) yang nipis bagi memastikan tapak yang lebih luas dan seimbang untuk menyokong badan, terutamanya ketika menziarahi ahli keluarga.
Selain itu, pilih ciri praktikal seperti ruang jari yang lebar, sokongan lengkungan kaki yang kukuh, serta tali atau ikatan yang kemas bagi mencegah pergerakan kaki di dalam kasut serta kecacatan jari kaki dalam jangka masa panjang.
Reka bentuk ruang jari yang lebar membantu mengurangkan tekanan dan risiko kecacatan jari kaki Individu yang mempunyai lengkungan kaki tinggi perlu mengutamakan kusyen tambahan bagi mengurangkan tekanan yang tinggi pada bahagian tapak depan kaki serta mengelakkan kekerapan buku lali terseliuh. Mereka yang mempunyai kaki rata pula, perlu mengehadkan penggunaan kasut bertumit kerana kekurangan sokongan lengkungan boleh menyebabkan bunion atau fasciitis plantar dengan lebih cepat.
Perbezaan antara lengkungan kaki normal (normal foot) dan kaki rata (flat feet) yang mempengaruhi pemilihan kasut
Akhir sekali, individu yang mempunyai kaki yang lebar perlu memilih reka bentuk kasut dengan ruang jari yang lebar bagi mengelakkan himpitan saraf dan kerosakan kuku akibat reka bentuk yang sempit.
Cara Kekal Selesa untuk Tempoh yang Lebih Lama
Anda boleh mengatasi ketegangan otot betis dengan bersandar pada dinding untuk melakukan regangan mendalam serta menarik jari kaki ke arah tulang kering bagi melonggarkan lengkungan kaki. Untuk memulihkan julat pergerakan dan mengurangkan kekakuan sendi, anda digalakkan untuk memutar buku lali dalam bulatan. Otot-otot kecil dalaman kaki pula dapat diperkuat melalui latihan “towel scrunches” atau dengan menggunakan jari kaki untuk mengutip guli. Selain itu, melakukan senaman angkat tumit secara berkala dapat membantu menstabilkan buku lali dan meningkatkan keseimbangan.
Bagi mendapatkan kelegaan segera selepas hari yang panjang, gulungkan tapak kaki anda di atas bola tennis atau botol air yang beku, diikuti dengan rendaman air garam selama 20 minit bagi mengurangkan keradangan. Langkah ini amat membantu selepas seharian berjalan, berdiri atau berkunjung dari satu rumah ke rumah yang lain semasa musim perayaan.
Anda disarankan untuk mengamalkan “peraturan dua hari”, iaitu dengan tidak memakai kasut tumit tinggi yang sama secara berturut-turut. Langkah ini membolehkan kusyen kasut kembali ke bentuk asal dan memberikan sokongan yang lebih baik. Pakar turut mencadangkan agar pemakaian kasut tumit tinggi dihadkan kepada tiga jam atau kurang, misalnya dengan memakai kasut sukan semasa perjalanan dan hanya menukar kepada kasut bertumit apabila tiba di destinasi.
Jadual pemakaian yang sihat melibatkan variasi ketinggian tumit, seperti memakai tumit tinggi pada hari pertama, tumit blok sederhana pada hari kedua, dan kasut sukan yang memberi sokongan kaki pada hari ketiga untuk pemulihan. Variasi berterusan ini penting bagi mengelakkan otot dan tendon menyesuaikan diri dengan satu posisi yang boleh memudaratkan.
Akhir sekali, elakkan memakai kasut rata pada hari pemulihan. Sebaliknya, pilih kasut yang mempunyai sokongan lengkungan dengan ketinggian kira-kira setengah inci bagi memastikan penjajaran kaki yang betul.
Peka Terhadap Isyarat Kaki Anda
Sakit yang pedih atau panas pada bahagian hadapan kaki, sakit yang tajam pada tumit ketika bangun daripada tidur, kebas, sensasi mencucuk-cucuk atau rasa seperti berjalan atas batu kecil boleh jadi petanda kepada himpitan saraf atau kerosakan awal pada tisu. Perubahan fizikal yang ketara seperti bunion, jari kaki bengkok, atau benjolan tulang di bahagian belakang tumit juga merupakan tanda amaran.
Ketegangan betis yang berterusan, keletihan pada bahagian bawah belakang badan, serta masalah kulit atau kuku yang yang berulang turut menunjukkan bahawa kasut yang dipakai mungkin menyumbang kepada tekanan berlebihan pada kaki. Jika kesakitan atau ketidakstabilan berlarutan lebih daripada dua minggu, anda dinasihati untuk mendapatkan nasihat perubatan bagi mengelakkan kerosakan jangka panjang.
Bila Kasut Tumit Tinggi Tidak Sesuai Dipakai
Pemakaian kasut tumit tinggi perlu dielakkan di permukaan yang tidak stabil seperti rumput, batu kerikil, atau jalan berbatu, serta dalam persekitaran yang melibatkan kerja manual atau lantai yang licin. Ia juga tidak sesuai dipakai apabila anda perlu berdiri melebihi tiga jam kerana kasut tumit tinggi tidak mempunyai kestabilan dan penyerapan hentakan yang mencukupi. Pakar perubatan turut menasihatkan agar kasut tumit tinggi tidak dipakai semasa hamil dan ketika tempoh pemulihan selepas bersalin kerana perubahan pusat graviti dan ligament yang lebih longgar meningkatkan risiko kecederaan.
Fakta dan Mitos Tentang Kaki
Sejak kebelakangan ini, tanggapan bahawa tumit tinggi merupakan punca utama bunion telah disangkal. Walaupun pemakaian tumit tinggi boleh memburukkan gejala, punca sebenar keadaan tersebut adalah dari struktur kaki yang diwarisi secara genetik. Terdapat juga tanggapan bahawa kaki boleh “dilatih”. Walaupun keseimbangan atau corak berjalan boleh dibaiki, tekanan struktur pada sendi tetap sama. Selain itu, tumit rendah antara 1 hingga 1.5 inci memberi sokongan lengkungan kaki yang lebih baik serta mengurangkan ketegangan pada tendon Achilles berbanding kasut yang bertapak rata sepenuhnya. Akhir sekali, sakit kaki yang berterusan tidak wajar dianggap sebagai kesan normal penuaan kerana gejala ini lazimnya menandakan masalah asas yang boleh dirawat. Kesedaran ini membolehkan anda membuat pilihan yang lebih berinformasi demi keselesaan dan mobiliti yang berpanjangan ketika menyambut Hari Raya.
Artikel disiarkan oleh Lumi News Malaysia, 01 April 2026
Share:
Was this article helpful?
01 April 2026
•5 minute read
Bergaya di Hari Raya: Tumit Tinggi & Kaki yang Sihat
Learn more about Orthopedic in Columbia Asia
Learn MoreShare:
Was this article helpful?
Health Packages
Elevate your health with tailored health packages at Columbia Asia Hospital. Take charge of your health journey today.
Pink October 2025
From
RM80
HLA Policyholders Promo: Influenza Vaccination
RM65
Find Out MoreAIA Policyholders Self-pay Benefits
Pink October 2024
From
RM80
Columbia Asia 30th Anniversary Promotion “Senior Health”
From
RM688

