19 April 2026
•3 minute read
Membimbing Remaja Autistik Ketika Akil Baligh
Pendahuluan
Akil baligh merupakan satu fasa perkembangan yang membawa perubahan besar dari segi fizikal, emosi dan sosial kepada seseorang remaja. Bagi remaja autistik, perubahan ini sering kali menjadi lebih mencabar kerana sensitiviti terhadap perubahan pada tubuh, emosi dan persekitaran.
Oleh itu, ibu bapa, penjaga dan guru perlu memahami bagaimana autisme mempengaruhi pengalaman akil baligh agar remaja autistik dapat dibimbing dengan cara yang lebih berkesan, berempati dan bersesuaian dengan keperluan mereka.
Apakah Autisme?
Autisme ialah keadaan perkembangan otak yang mempengaruhi komunikasi, interaksi sosial dan sensitiviti deria. Setiap individu autistik adalah berbeza — ada yang memerlukan sokongan minimum, manakala ada yang memerlukan bantuan yang lebih intensif.
Walaupun autisme merupakan keadaan sepanjang hayat, cabaran yang dihadapi boleh berubah mengikut peringkat umur dan keadaan persekitaran. Kemahiran sosial dan strategi pengawalan diri yang dipelajari boleh menjadikan sesetengah kesukaran kurang ketara. Namun, perubahan dan tuntutan baharu semasa akil baligh boleh menyebabkan cabaran tertentu menjadi lebih jelas.
Kesan Akil Baligh terhadap Remaja Autistik
Akil baligh boleh memberi kesan yang lebih ketara kepada remaja autistik berbanding rakan sebaya mereka. Perubahan hormon boleh mempengaruhi emosi dan tingkah laku, manakala hubungan sosial yang semakin kompleks boleh menyukarkan mereka untuk memahami persahabatan, mentafsir isyarat sosial dan mengenal pasti perasaan sendiri.
Kesukaran komunikasi boleh menyebabkan remaja autistik tidak dapat meluahkan ketidakselesaan atau meminta bantuan dengan jelas. Pendekatan yang konsisten, penerangan yang ringkas dan padat, penggunaan bahan visual serta sokongan mengikut keperluan deria amat membantu dalam fasa ini.
Mengurus Sensitiviti Deria Semasa Akil Baligh
Sensitiviti deria sering menjadi lebih ketara semasa akil baligh. Remaja autistik mungkin berasa tidak selesa dengan perubahan seperti peluh, bau badan, mimpi basah, senggugut atau perubahan pada kulit dan bentuk tubuh.
Penggunaan produk kebersihan yang mesra deria, seperti produk tanpa pewangi atau tekstur lembut, boleh membantu mengurangkan ketidakselesaan. Pemilihan pakaian yang lembut, tanpa label dan tidak ketat juga penting, terutamanya bagi remaja yang sensitif terhadap sentuhan.
Rutin penjagaan diri yang diajar lebih awal, secara langkah demi langkah dan menggunakan bahan visual, akan membantu remaja bersedia menghadapi perubahan ini dengan lebih yakin.
Mengurus Perubahan Emosi
Perubahan hormon semasa akil baligh boleh menyebabkan emosi menjadi tidak stabil. Bagi remaja autistik, mereka mungkin mengalami kesukaran mengenal pasti perasaan sendiri, menamakan emosi atau meluahkannya dengan cara yang sesuai.
Ibu bapa dan penjaga boleh membantu dengan menggunakan carta emosi, cerita sosial dan contoh konkrit untuk mengajar kemahiran mengenali dan mengurus emosi. Teknik menenangkan diri seperti latihan pernafasan, rutin yang konsisten dan penggunaan alat sokongan deria boleh membantu mengurangkan tekanan dan keresahan.
Cabaran Sosial Semasa Akil Baligh
Apabila semakin meningkat remaja, hubungan sosial menjadi lebih kompleks. Remaja autistik mungkin keliru tentang perubahan persahabatan, perasaan terhadap orang lain dan tingkah laku yang sesuai dalam situasi tertentu.
Mereka memerlukan penerangan yang jelas tentang peraturan sosial, termasuk batas pergaulan dan komunikasi yang sopan. Cerita sosial, “role-play”, skrip dan latihan dalam situasi harian dapat membantu mereka mempelajari kemahiran ini secara berperingkat.
Memahami Batasan Sosial dan Seksual
Perkembangan seksual memerlukan bimbingan khusus bagi remaja autistik. Konsep seperti privasi, menghormati keizinan dan batas diri perlu diajar secara langsung dan berulang.
Sebagai contoh, pelukan atau sentuhan mungkin perlu dihadkan mengikut konteks sosial dan keizinan orang lain. Mereka perlu faham bahawa tingkah laku peribadi seperti menyentuh bahagian sulit hanya sesuai dilakukan di tempat tertutup.
Pendidikan yang jelas dan konsisten dapat membantu mengelakkan salah faham serta melindungi remaja daripada risiko eksploitasi.
Persediaan dan Sokongan Berterusan
Persediaan sebelum akil baligh bermula sangat penting. Apabila ibu bapa mengenal pasti pencetus tekanan, mengajar strategi menenangkan diri dan menyediakan persekitaran yang selamat, remaja autistik lebih bersedia menghadapi perubahan yang berlaku.
Sokongan daripada profesional kesihatan dan jaringan sokongan komuniti juga dapat membantu keluarga melalui fasa ini dengan lebih yakin.
Kesimpulan
Akil baligh merupakan fasa yang mencabar tetapi penting bagi semua remaja, termasuk mereka yang mempunyai autisme. Dengan persediaan yang rapi, komunikasi yang jelas dan sokongan berterusan, remaja autistik boleh melalui fasa ini dengan lebih selamat, yakin dan bermakna.
Artikel disiarkan oleh Sinar Harian, 19 April 2026
Share:
Was this article helpful?
19 April 2026
•3 minute read
Membimbing Remaja Autistik Ketika Akil Baligh
Learn more about Psychiatry in Columbia Asia
Learn MoreShare:
Was this article helpful?
Health Packages
Elevate your health with tailored health packages at Columbia Asia Hospital. Take charge of your health journey today.
Pink October 2025
From
RM80
HLA Policyholders Promo: Influenza Vaccination
RM65
Find Out MorePink October 2024
From
RM80
Columbia Asia 30th Anniversary Promotion “Senior Health”
From
RM688

