Bersenam, Tinggikan Kaki & Pakai Stoking Khas Boleh Elak Ibu Hamil Kejang Kaki

February 17, 2019


Kekejangan pada bahagian kaki dan betis yang biasa dialami di akhir trimester kehamilan meresahkan ibu. Ia sangat menyakitkan!

PUNCA KEKEJANGAN KAKI
Sememangnya rasa kejang di kaki memang sering terjadi kepada wanita hamil terutamanya pada trimester akhir. Saat perut sedang membesar ke tahap maksimum, kekejangan ini memburukkan lagi keadaan. Ramai yang menganggap ia berpunca daripada kekurangan kalsium, benarkan?

Menurut Dr Norintan Zainal Abidin Shah, Pakar Perbidanan & Sakit Puan Columbia Asia Seremban, bahagian rahim yang semakin membesar menyebabkan saluran darah tertekan. Keadaan ni menyebabkan darah sukar untuk mengalir ke atas (dari kaki ke jantung). Pengaliran darah yang semakin sukar ini menyebabkan kaki terasa kejang.



5 TIP REDAKAN KEKEJANGAN KAKI BAGI IBU HAMIL
Suplemen kalsium sering digunakan untuk merawat kekejangan kaki tetapi ia tidak banyak membantu. Sebaliknya, ibu akan dinasihatkan untuk:
  1. Bersenam seperti berjalan kaki (bukan berlari atau joging) untuk mengaktifkan pengaliran darah dari kaki ke jantung.
  2. Meletakkan kaki di atas kerusi lain ketika duduk berehat.
  3. Memakai stoking khas (pressure graded stockings) yang boleh dibeli di farmasi.
  4. Meminta bantuan suami mengurut kaki untuk melancarkan pengaliran darah.
  5. Rendam kaki di dalam air suam atau tuam kaki dengan tuala suam. Ia dapat membantu pengaliran darah di kaki.



PERKARA PERLU DIKETAHUI TENTANG SUPLEMEN KALSIUM
Suplemen kalsium penting untuk pembentukan tulang dan gigi bayi. Jika anda tidak mengambil suplemen kalsium secukupnya, bayi akan “mencuri” kalsium daripada ibunya. Ini menyebabkan tulang anda mengalami kehausan kalsium.

Ibu juga perlu terus mengambil suplemen kalsium sewaktu berpantang dan ketika menyusukan bayi kelak. Vitamin D pula penting untuk memastikan pil kalsium yang dimakan boleh diserap ke dalam badan.

Wanita yang kekurangan kalsium akan mendapat risiko osteoporosis di masa hadapan. Wanita hamil dan menyusukan anak memerlukan 1000 – 1200mg kalsium sehari. Tetapi jangan makan kalsium berlebihan kerana ia boleh menyebabkan masalah sembelit dan batu karang.


Dr. Norintan Zainal Abidin Shah
Consultant Obstetrics & Gynecologist
Columbia Asia Hospital – Seremban

Artikel ini disiarkan oleh Majalah Pa&Ma, 17 Februari 2019

Click for Online Article: