Bayangkan anda bangun pada suatu pagi dan melihat banyak helaian rambut di atas bantal, atau menyedari kulit kepala anda semakin mudah dilihat disebalik helaian rambut yang menipis. Hal ini pasti dapat membuatkan sesiapa sahaja berasa risau, apatah lagi bagi mereka yang dikira masih muda. Rambut sering dianggap sebagai mahkota penampilan, memainkan peranan penting dalam membentuk identiti dan keyakinan diri terutamanya dalam kalangan golongan muda yang mementingkan imej. Namun, apabila keguguran rambut berlaku di usia muda, ia bukan sahaja menjejaskan penampilan tetapi juga boleh mencetuskan tekanan emosi dan rasa kurang yakin. Masalah ini, yang dikenali sebagai alopecia, membawa cabaran besar kepada individu yang menghadapinya. Bagaimanakah kita boleh melindungi mahkota keyakinan ini dan menangani kesannya dengan lebih baik?
Apa Itu Alopecia?
Alopecia merujuk kepada keguguran rambut, yang boleh berlaku di satu kawasan atau beberapa kawasan di kepala dan badan. Menurut Pakar Dermatologi dari Hospital Columbia Asia – Puchong, Dr. Kanimoli Rathakrishnan, ianya perkara biasa untuk mengalami kehilangan antara 50 hingga 100 helai rambut dalam sehari. Namun, rambut baru tumbuh pada masa yang sama, menjadikan kehilangan rambut tersebut tidak ketara.
“Sebelum kita menyelami lebih lanjut mengenai keguguran rambut, kita perlu memahami kitaran pertumbuhan rambut. Rambut melalui tiga fasa utama: fasa pertumbuhan (fasa anagen), fasa peralihan (fasa catagen), dan fasa rehat (fasa telogen). Pada kebanyakan masa, rambut berada dalam fasa pertumbuhan, tetapi keguguran rambut secara semula jadi berlaku semasa fasa rehat. Keguguran rambut yang ketara berlaku apabila rambut baru tidak menggantikan rambut yang gugur, dan ini boleh kelihatan berbeza bergantung pada punca-puncanya,” jelas Dr. Kanimoli.
Alopecia pada usia muda bermula lebih awal dari yang dijangkakan, terutamanya sebelum usia 30-an dan ini bergantung kepada jenis alopecia tersebut. Kebotakan pola lelaki boleh bermula sejak remaja atau awal 20-an. Keadaan ini boleh dilihat apabila garis rambut mulai surut/kebelakang dan rambut gugur secara beransur-ansur dari atas kepala dan bahagian depan kulit kepala. Sementara itu, kebotakan pola wanita pula tidak menunjukkan penipisan rambut yang ketara sehingga usia 40-an atau lebih. Keadaan ini menyebakan wanita mengalami penipisan rambut di seluruh kulit kepala, dengan kehilangan rambut yang paling teruk pada atas kepala.
Alopecia Hadir Dalam Pelbagai Bentuk
- Alopecia androgenetik
Alopecia androgenetik, yang lebih dikenali sebagai kebotakan pola lelaki atau wanita, adalah jenis keguguran rambut yang paling sering berlaku di seluruh dunia, menjejaskan kira-kira 50% lelaki dan 15% wanita. Keadaan ini dipengaruhi oleh faktor genetik dan hormon.
- Alopecia areata
Sejenis gangguan autoimun dimana sistem imun menyerang folikel rambut, menyebabkan keguguran rambut secara tiba-tiba dalam bentuk tompokan bulat yang kecil di kulit kepala atau kawasan badan yang lain. Keadaan ini boleh berkembang menjadi alopecia totalis (keguguran rambut di seluruh kulit kepala) atau alopecia universalis (keguguran rambut di seluruh badan). - Telogen effluvium
Penipisan rambut sementara di kulit kepala yang berlaku akibat perubahan dalam kitaran pertumbuhan rambut. Banyak rambut memasuki fasa rehat pada masa yang sama, menyebabkan keguguran dan seterusnya penipisan rambut. Keadaan ini sering disebabkan oleh tekanan dan penyakit dan biasanya akan pulih dengan sendirinya. - Scarring alopecia (parut)
Sekumpulan masalah keguguran rambut yang berlaku apabila keradangan (tindak balas badan apabila kecederaan atau jangkitan berlaku) menyebabkan folikel rambut rosak dan parut terbentuk. Parut ini menghalang rambut daripada tumbuh semula di kawasan yang terjejas. Keadaan kulit yang meradang dan masalah kulit sering menyebabkan parut yang boleh merosakkan keupayaan rambut untuk tumbuh semula. - Traction alopecia
Keguguran rambut yang disebabkan oleh penarikan atau ketegangan yang terlalu kerap pada folikel rambut dan boleh berlaku akibat daripada gaya rambut yang ketat, sambungan rambut, rambut palsu, atau tabiat seperti menyikat atau menarik rambut secara berlebihan. Ia biasanya berlaku di sepanjang garis rambut atau kawasan yang mengalami ketegangan, seperti pelipis atau atas kepala.
Mengesan Gejala Alopecia
Gejala awal termasuk peningkatan keguguran rambut, dimana segumpal rambut mungkin gugur ketika menyikat, mencuci, atau hanya menarik dengan lembut. Ini boleh menjadi sangat ketara ketika mandi atau selepas bangun dari tidur dan melihat banyak helaian rambut di atas bantal.
“Garis rambut yang semakin surut, biasa dilihat pada kebotakan pola lelaki, adalah perkara biasa apabila lelaki semakin tua, tetapi ia juga boleh menjejaskan lelaki yang lebih muda, terutamanya jika mereka mempunyai sejarah keluarga. Ia biasanya bermula di pelipis, membentuk seperti huruf “M”, dan ini merupakan tanda pertama keguguran rambut yang boleh dilihat.
“Bagi wanita, gejala biasa lain adalah penipisan rambut di atas kepala. Anda akan perasan rambut menjadi lebih nipis, dan kadangkala kulit kepala akan lebih jelas kelihatan. Lama kelamaan, ini boleh menyebabkan keguguran rambut yang progresif,” kata Dr. Kanimoli.
Mengapa Ada Yang Kehilangan Rambut Lebih Awal?
Salah satu faktor risiko ketara untuk alopecia yang bermula awal adalah kecenderungan genetik, seperti sejarah keluarga yang menghidap alopecia androgenetik atau gangguan autoimun. Selain itu, gaya hidup tidak sihat, termasuk merokok, tabiat pemakanan yang buruk, dan indeks jisim badan (BMI) yang tinggi, boleh menyumbang kepada berlakunya keguguran rambut awal.
“Prosedur kosmetik tertentu, seperti rawatan rambut keriting, pelunturan, dan mewarnakan rambut, boleh menyebabkan penipisan rambut secara keseluruhan dengan melemahkan dan menjadikan rambut rapuh,” kata Dr. Kanimoli. Di samping itu, tekanan, penyakit, dan kelahiran anak juga boleh menyebabkan keguguran rambut sementara. “Begitu juga, diet rendah protein atau diet yang terhad kalori boleh menyebabkan keguguran rambut sementara.”
Selain itu, kekurangan vitamin A, B, C, D, dan E, serta zat besi dan zink, juga dikaitkan dengan keguguran rambut. “Punca lain keguguran rambut sementara adalah ubat-ubatan termasuk ubat kemoterapi yang digunakan dalam rawatan kanser, ubat pencair darah, beta blockers yang digunakan untuk mengawal tekanan darah, dan pil perancang,” tambah Dr. Kanimoli.
Keadaan Perubatan Yang Menyebabkan Alopecia Awal
Beberapa keadaan perubatan juga boleh menyebabkan alopecia awal, membawa kepada keguguran rambut pada usia yang lebih muda daripada yang dijangkakan.
“Perubahan hormon seperti yang berlaku akibat masalah tiroid, contohnya hipotiroidisme atau hipertiroidisme, boleh menyebabkan keguguran rambut. Keadaan seperti lupus atau diabetes juga boleh memainkan peranan dalam penipisan rambut. Kekurangan zat pemakanan, seperti zat besi atau anemia, juga boleh menjadi faktor,” kongsi Dr. Kanimoli.
Keadaan perubatan lain yang boleh menyebabkan keguguran rambut termasuk gangguan pemakanan dan masalah kulit kepala seperti jangkitan kulat (tinea), psoriasis (keradangan kulit) di kulit kepala, atau ekzema. Dalam kebanyakan kes, setelah keadaan perubatan tersebut dirawat, rambut biasanya tumbuh semula, kecuali jika terdapat parut seperti yang dilihat dalam beberapa bentuk lupus, liken planus (keadaan kronik yang melibatkan kulit dan lapisan mulut), atau gangguan folikel tertentu.
Mengembalikan Mahkota Anda Melalui Rawatan
Rawatan alopecia bergantung pada punca asasnya. Keguguran rambut sementara boleh dipulihkan dengan rawatan terhadap jangkitan dan ketidakseimbangan hormon, serta memberhentikan pengambilan ubat yang menjadi penyebab alopecia tersebut.
Menurut Dr. Kanimoli, terdapat pelbagai rawatan yang tersedia untuk alopecia androgenetik, tetapi tiada yang dapat menjamin kadar penyembuhan 100%. Minoxidil oral dan semburan minoxidil boleh membantu kedua-dua lelaki dan wanita, manakala finasteride oral mungkin membantu lelaki.
Steroid topikal dan suntikan, imunosupresan oral, dan imunoterapi topikal adalah beberapa rawatan yang disarankan untuk alopecia areata. Beberapa prosedur, seperti micro-needling dan rawatan plasma kaya platelet, boleh dicuba dengan hasil yang berbeza-beza. Akhir sekali, pemindahan rambut dan penggunaan rambut palsu untuk tujuan kosmetik adalah beberapa penyelesaian alternatif yang digunakan untuk mengatasi alopecia.
5 Langkah Pencegahan Terhadap Alopecia Awal
- Pemakanan yang seimbang dan sihat
Nutrien yang mencukupi, termasuk vitamin (terutamanya vitamin B seperti biotin), mineral (seperti zat besi dan zink), dan protein adalah penting untuk pertumbuhan rambut yang sihat. Amalan pemakanan yang ekstrem atau berlebihan harus dielakkan. - Penghidratan yang betul
Minum air yang banyak untuk membantu memastikan kulit kepala dan rambut kekal terhidrat. - Amalan penjagaan rambut yang baik
Elakkan terlalu menarik atau memusing rambut, menggunakan produk kimia atau gaya rambut yang berbahaya dan menggunakan pengering atau pelurus rambut secara berlebihan. Pilih juga syampu dan perapi rambut yang lembut. - Menguruskan keadaan perubatan yang menjadi penyebab alopecia
Rawat sebarang keadaan perubatan yang boleh menyumbang kepada keguguran rambut, seperti gangguan tiroid atau ketidakseimbangan hormon. Berhati-hati dengan ubat-ubatan yang mungkin menyebabkan keguguran rambut. - Pengurusan tekanan
Bagi mereka yang mengalami keguguran rambut akibat tekanan, amalkan teknik pengurangan tekanan seperti meditasi, yoga, latihan pernafasan dalam, atau hobi yang membantu merehatkan fizikal dan menenangkan mental.
Artikel disiarkan oleh Harian Metro, 18 Januari 2026
Share:
Was this article helpful?
Share:
Was this article helpful?
Health Packages
Elevate your health with tailored health packages at Columbia Asia Hospital. Take charge of your health journey today.
Pink October 2024
From
RM80
Columbia Asia 30th Anniversary Promotion “Maternity & Baby”
Pink October 2025
From
RM80
HLA Policyholders Promo: Influenza Vaccination
RM65
Find Out MoreAIA Policyholders Self-pay Benefits
12.12 CheckJer Health Package
RM140
Find Out More
