06 April 2026
•4 minute read
Dari Diet Ramadhan ke Diet Syawal: Badan Tidak Nyaman
Musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri sering dikaitkan dengan kegembiraan, kunjung-mengunjung serta pelbagai juadah yang menyelerakan. Namun begitu, di sebalik kemeriahan tersebut, ramai individu mengalami ketidakselesaan badan selepas menikmati hidangan perayaan. Antara masalah yang sering berlaku termasuk lonjakan glukosa secara mendadak, pedih ulu hati atau refluks asid berulang, serta kembung perut. Walaupun kelihatan seperti masalah kecil, keadaan ini boleh menjejaskan kesihatan, terutamanya bagi individu yang mempunyai penyakit kronik seperti Diabetes Mellitus dan Gastroesophageal Reflux Disease (GERD).
“Sebagai doktor yang merawat penyakit dalaman, gastroenterologi dan hepatologi, saya sering melihat peningkatan kes ketidakselesaan gastrousus selepas musim perayaan,” kata Dr. Gew Lai Teck, Pakar Perunding Gastroenterologi, Hepatologi dan Endoskopi di Columbia Asia Hospital Klang, yang turut menambah bahawa keadaan ini biasanya berkait rapat dengan perubahan corak pemakanan dan pengambilan makanan secara berlebihan serta waktu makan yang tidak menentu.
Lonjakan Glukosa Secara Mendadak
Salah satu masalah yang sering berlaku semasa musim perayaan ialah peningkatan paras gula dalam darah secara mendadak atau “glucose spike”. Hidangan tradisional Hari Raya seperti lemang, ketupat, rendang, kuih-muih manis dan minuman bergula mengandungi kandungan karbohidrat dan gula yang tinggi. Apabila makanan ini diambil dalam jumlah yang banyak dalam masa yang singkat, paras glukosa dalam darah boleh meningkat dengan cepat.
Bagi individu yang menghidap diabetes, keadaan ini boleh menyebabkan gejala seperti keletihan, pening, kerap dahaga, atau kerap membuang air kecil. Malah bagi individu yang tidak mempunyai diabetes, lonjakan gula secara mendadak juga boleh menyebabkan rasa mengantuk, lesu, dan rasa tidak selesa selepas makan.
Untuk mengurangkan risiko lonjakan glukosa, beberapa langkah mudah boleh diamalkan. Antaranya ialah mengawal saiz hidangan, mengurangkan makanan dan minuman yang terlalu manis, serta memastikan pengambilan makanan seimbang yang mengandungi serat, protein dan lemak sihat. Selain itu, berjalan kaki ringan selepas makan juga boleh membantu badan menggunakan glukosa dengan lebih efektif.
Pedih Ulu Hati dan Refluks Asid
Selain masalah gula dalam darah, ramai yang mengalami pedih ulu hati atau sensasi makanan “naik semula” ke dada selepas makan. Keadaan ini dikenali sebagai refluks asid atau Gastroesophageal Reflux Disease (GERD). Ia berlaku apabila asid dari perut mengalir kembali ke esofagus.
Semasa musim perayaan, beberapa faktor boleh mencetuskan refluks asid. Antaranya termasuk makan dalam kuantiti yang terlalu banyak, pengambilan makanan berlemak seperti rendang atau santan, makanan pedas, minuman berkafein, serta makan lewat malam sebelum tidur. Semua faktor ini boleh menyebabkan tekanan dalam perut meningkat dan seterusnya mencetuskan refluks.
Gejala refluks asid biasanya termasuk pedih di dada atau ulu hati, rasa masam di tekak, sendawa berlebihan, serta rasa tidak selesa selepas makan. Jika keadaan ini berlaku sekali-sekala, ia biasanya tidak berbahaya. Namun jika berlaku secara kerap, ia boleh menjejaskan kualiti hidup dan memerlukan penilaian perubatan.
Untuk mengurangkan risiko refluks semasa Hari Raya, anda disarankan untuk makan dalam jumlah sederhana, mengelakkan berbaring sekurang-kurangnya dua hingga tiga jam selepas makan, serta mengurangkan makanan yang sangat berlemak atau pedas. Selain itu, mengunyah makanan dengan perlahan juga boleh membantu proses pencernaan.
Kembung Perut dan Ketidakselesaan Abdomen
Masalah ketiga yang sering dialami semasa musim perayaan ialah kembung perut. Kembung berlaku apabila terdapat pengumpulan gas berlebihan dalam saluran pencernaan. Ini boleh menyebabkan perut terasa penuh, tegang, dan kadangkala disertai dengan sendawa atau kentut yang lebih kerap.
Semasa Hari Raya, kembung perut sering berlaku kerana beberapa faktor. Pertama, makan dengan terlalu cepat atau terlalu banyak boleh menyebabkan lebih banyak udara ditelan bersama makanan. Kedua, makanan tertentu seperti kekacang, minuman berkarbonat, serta makanan yang tinggi lemak boleh melambatkan pengosongan perut dan meningkatkan pembentukan gas.
Di samping itu, perubahan rutin harian seperti kurang bergerak atau duduk terlalu lama semasa berkunjung dari rumah ke rumah juga boleh menyumbang kepada rasa kembung.
Bagi mengurangkan kembung perut, anda digalakkan untuk makan secara perlahan, mengelakkan minuman berkarbonat, serta memastikan pengambilan air yang mencukupi. Aktiviti ringan seperti berjalan kaki selepas makan juga boleh membantu mengurangkan pengumpulan gas dalam perut.
Amalkan Kesederhanaan Semasa Perayaan
Perayaan adalah masa untuk menikmati kebersamaan bersama keluarga dan rakan-rakan, namun kesihatan tetap perlu diberi keutamaan. Konsep kesederhanaan dalam pemakanan adalah kunci utama untuk mengelakkan ketidakselesaan badan semasa Hari Raya.
Pilih hidangan secara bijak, kawal saiz hidangan, dan seimbangkan makanan berat dengan buah-buahan atau makanan yang lebih ringan. Bagi individu yang mempunyai penyakit kronik seperti diabetes atau masalah gastrik, amat penting untuk terus mematuhi nasihat doktor serta mengambil ubat seperti yang diarahkan.
Sekiranya gejala seperti pedih ulu hati, kembung perut, atau ketidakselesaan perut berlaku secara berterusan atau menjadi semakin teruk, anda disarankan untuk melalukan pemeriksaan perubatan. Diagnosis awal boleh membantu mencegah komplikasi dan memastikan kesihatan yang lebih baik.
Akhir kata, sambutlah Hari Raya Aidilfitri dengan penuh kegembiraan, tetapi pada masa yang sama amalkan gaya pemakanan yang seimbang dan sihat. Dengan sedikit kesedaran dan kawalan diri, kita masih boleh menikmati hidangan Raya tanpa menjejaskan kesihatan.
Artikel disiarkan oleh Berita Harian, 06 April 2026
Share:
Was this article helpful?
06 April 2026
•4 minute read
Dari Diet Ramadhan ke Diet Syawal: Badan Tidak Nyaman
Learn more about Internal Medicine And Gastroenterology in Columbia Asia
Learn MoreShare:
Was this article helpful?
Health Packages
Elevate your health with tailored health packages at Columbia Asia Hospital. Take charge of your health journey today.
HLA Policyholders Promo: Influenza Vaccination
RM65
Find Out MorePink October 2025
From
RM80
Columbia Asia 30th Anniversary Promotion “Senior Health”
From
RM688
AIA Policyholders Self-pay Benefits
Pink October 2024
From
RM80

