Ramai orang beranggapan bahawa selagi kita berada di dalam rumah atau bangunan, kulit kita selamat daripada sinaran matahari. Hakikatnya, ini tidak sepenuhnya benar. Walaupun kita tidak berada di bawah matahari terik, sinaran ultraungu (UV) masih boleh sampai ke kulit kita dalam keadaan tertentu tanpa kita sedari.
Adakah Kita Benar-benar Selamat Daripada UV Di Dalam Rumah?
Sinaran UV terbahagi kepada tiga jenis utama yang memberi kesan kepada kulit, iaitu UVA, UVB dan UVC. UVB (315 – 400 nm wavelength) kebanyakannya menyebabkan kulit terbakar (sun burn) dan sukar menembusi kaca. Kaca tingkap standard memberikan perlindungan yang sangat baik terhadap sinaran UVB, dengan menyekat hampir kesemuanya.
Namun UVA( 280 – 315 nm) boleh menembusi kaca, termasuk tingkap rumah, pejabat, kereta dan bangunan tinggi. Ini bermaksud, walaupun kita duduk di dalam rumah, kulit kita masih boleh terdedah kepada UVA, terutamanya jika berada berhampiran tingkap.
Bagaimana Pendedahan UV Dalam Rumah Boleh Berlaku?
Pendedahan UV dalam rumah selalunya berlaku secara tidak langsung. Contohnya, cahaya matahari yang masuk melalui tingkap ruang tamu, bilik tidur atau pejabat. Ramai yang suka duduk berhampiran tingkap kerana pencahayaan semula jadi, tanpa menyedari bahawa UVA sedang mengenai kulit mereka secara perlahan-lahan.
Selain itu, pendedahan juga berlaku ketika memandu, duduk dalam kereta, atau bekerja di pejabat dengan tingkap besar. Semua ini menyumbang kepada apa yang dipanggil pendedahan UV mikro tetapi berulang.
Tempat Yang Dianggap “Selamat” Tetapi Sebenarnya Terdedah UV
Antara tempat yang sering dianggap terlindung tetapi sebenarnya masih terdedah kepada UV termasuk:
- Di tepi tingkap rumah
- Di dalam kereta
- Pejabat dengan tingkap kaca besar
- Kafe atau restoran dengan cahaya matahari masuk
- Duduk berhampiran pintu kaca gelangsar
Tahap UV di tempat ini mungkin rendah berbanding luar rumah, tetapi pendedahan berlaku setiap hari dan berulang, menjadikannya signifikan dalam jangka panjang.
Pendedahan Singkat Tetapi Berulang Boleh Terkumpul
Mungkin 10 hingga 15 minit sehari kelihatan tidak berbahaya. Namun, jika dilakukan untuk jangka masa lebih lama dan setiap hari selama bertahun-tahun, kesannya boleh terkumpul. Kulit tidak “melupakan” pendedahan UV. Setiap pendedahan kecil akan meninggalkan kesan mikroskopik pada sel kulit, yang akhirnya menyumbang kepada masalah seperti pigmentasi, kedutan halus dan penuaan pramatang.
Siapa Yang Lebih Berisiko?
1. Individu yang menghabiskan banyak masa berhampiran tingkap
- Pekerja pejabat yang duduk dekat dengan tingkap besar
- Mereka yang bekerja dari rumah berhampiran tingkap
- Pekerja kedai dengan hadapan kaca
Sinaran UVA boleh menembusi kaca, jadi pendedahan masih berlaku walaupun di dalam bangunan.
2. Pemandu dan penumpang yang kerap berada dalam kenderaan
- Memandu atau berulang-alik untuk tempoh yang lama
- Satu bahagian muka dan lengan sering menerima pendedahan lebih tinggi
Ini boleh menyebabkan pigmentasi tidak sekata dan penuaan kulit lebih cepat.
3. Individu dengan masalah pigmentasi kulit
- Melasma
- Jeragat dan tompok matahari
- Hiperpigmentasi selepas keradangan (PIH)
Sinaran UV mudah memburukkan keadaan ini walaupun pada tahap pendedahan yang rendah.
4. Individu yang baru menjalani rawatan kulit
- Rawatan laser atau cahaya
- Pengelupasan kimia
- Microneedling
Kulit menjadi lebih sensitif dan mudah rosak akibat UV semasa proses penyembuhan.
5. Individu berkulit cerah
- Kulit cerah mempunyai perlindungan melanin semula jadi yang lebih rendah
- Kulit lebih mudah terbakar dan mengalami kerosakan DNA
6. Kanak-kanak dan warga emas
- Kanak-kanak: lapisan perlindungan kulit masih belum matang
- Warga emas: keupayaan kulit untuk membaiki kerosakan semakin berkurangan
7. Individu yang menggunakan ubat atau produk yang meningkatkan sensitiviti kepada cahaya
- Sesetengah antibiotik, ubat jerawat dan retinoid
- Minyak pati dan minyak wangi tertentu
Ini boleh meningkatkan kepekaan kulit terhadap sinaran UV.
8. Individu yang tinggal di kawasan dengan tahap UV tinggi
- Kawasan tropika dan khatulistiwa
- Kawasan tanah tinggi
Tahap UV lebih kuat sepanjang tahun.
9. Pekerja luar bangunan
- Pekerja pembinaan
- Petani
- Pekerja penghantaran dan lalu lintas
10. Individu yang tidak mengamalkan perlindungan matahari secara konsisten
- Tidak menggunakan pelindung matahari
- Tidak memakai pakaian pelindung atau topi
Kulit yang sudah bermasalah akan bertindak balas dengan lebih ketara walaupun kepada pendedahan UV yang rendah.
Contoh Pendedahan UV Mikro Yang Sering Tidak Disedari
Antara contoh pendedahan UV mikro ialah:
- Duduk membaca atau menggunakan telefon di tepi tingkap
- Menjemur pakaian berhampiran cahaya matahari
- Memasak di dapur dengan cahaya matahari masuk
- Memandu jarak dekat setiap hari
- Duduk berhampiran pintu kaca di rumah
Semua ini mungkin nampak remeh, tetapi berlaku secara konsisten.
Kesan UV Dalam Rumah Kepada Kulit
Pendedahan UVA menyumbang kepada:
- Pigmentasi dan tompok gelap
- Melasma yang semakin teruk
- Penuaan kulit akibat matahari
- Kulit kusam dan tidak sekata
- Kerosakan kulit jangka Panjang
- Kanser kulit
- Kemerosotan penyakit kulit, terutamanya penyakit kulit yang sensitif terhadap cahaya (fotosensitiviti)
UVA menembusi jauh ke dalam kulit dan merosakkan kolagen, menyebabkan kulit kehilangan keanjalan secara perlahan.
Berapa Banyak UV Boleh Menembusi Kaca?
Secara umum, kaca biasa boleh menapis hampir semua UVB, tetapi sehingga 50–70% UVA masih boleh menembusi, bergantung kepada jenis kaca. Tingkap kereta dan bangunan moden juga berbeza tahap perlindungannya.
Adakah Lampu Dalam Bangunan Berisiko?
Ramai orang menyangka lampu dalam rumah tidak memberi sebarang kesan kepada kulit. Sebenarnya, kebanyakan lampu dalam rumah memang selamat, tetapi sesetengah jenis cahaya boleh memberi kesan kecil kepada kulit jika terdedah lama dan berulang. Sesetengah lampu dalam rumah mengeluarkan sedikit sinaran UVA. Lampu yang mungkin mengeluarkan sedikit UVA adalah lampu fluoresen lama dan lampu halogen. Walaupun bukan UV, cahaya biru juga penting untuk diketahui. Cahaya biru datang daripada lampu LED, telefon, komputer dan tablet. Cahaya biru boleh menyumbang kepada kulit menjadi lebih gelap, tekanan oksidatif pada kulit, kesannya kecil, tetapi boleh terkumpul dari masa ke masa.
Cara Mudah Mengurangkan Pendedahan UV Di Rumah
Antara perubahan kecil yang memberi kesan besar ialah:
- Memasang langsir atau bidai
- Menggunakan filem penapis UV pada tingkap
- Duduk jauh sedikit dari tingkap
- Memakai pelindung matahari (sunscreen) walaupun berada di dalam rumah, terutamanya pada waktu siang
- Menggunakan pakaian atau fabrik tebal yang menutup kulit
Kesimpulan
UV bukan hanya ancaman di luar rumah. Pendedahan UV dalam rumah adalah senyap, perlahan, tetapi berterusan. Dengan kesedaran dan langkah mudah, kita boleh melindungi kulit dengan lebih baik dan mengurangkan risiko masalah kulit jangka panjang. Kulit kita bersama kita sepanjang hayat menjaga dari sekarang adalah pelaburan terbaik untuk masa depan.
Artikel disiarkan oleh Sinar Harian, 17 Mar 2026
Share:
Was this article helpful?
Share:
Was this article helpful?
Health Packages
Elevate your health with tailored health packages at Columbia Asia Hospital. Take charge of your health journey today.
Columbia Asia 30th Anniversary Promotion “Senior Health”
From
RM688
Pink October 2024
From
RM80
HLA Policyholders Promo: Influenza Vaccination
RM65
Find Out MorePink October 2025
From
RM80

