Kenapa Perlu Minum Air Gula Ketika Hamil

January 15, 2020


Satu persoalan yang sering ditanya oleh setiap wanita hamil. Minum air gula bukanlah hal yang disengajakan. Hakikatnya ada beberapa sebab yang memerlukan ibu hamil untuk minum kandungan air gula ini sebaiknya. Dr Norintan Zainal Abidin daripada Hospital Columbia Asia, Seremban menjawab segala persoalan.

Diabetes atau kencing manis I adalah penyakit yang boleh berlaku sebelum hamil, ia juga boleh berlaku sewaktu hamil. Oleh kerana kencing manis membahayakan wanita yang hamil dan juga bayi di dalam kandungan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan memo supaya ibu hamil yang berisiko untuk melakukan ujian saringan untuk melakukan Gestational Diabetes Mellitus (GDM) pada 24-28 minggu ke hamilan dengan ujian modified OGTT (mOGTT). mOGTT inilah yang dikenali sebagai ujian Minum Air Gula! Bagi pesakit-pesakit diabetes yang belum hamil, mereka perlulah menghadiri pre-pregnancy counselling (PPC) sebelum hamil supaya mereka mampu mengawal paras gula dalam darah dengan lebih baik sebelum dan sewaktu kehamilan.
 
Memanglah tidak sedap minum air gula untuk ujian mOGTT ini, yang dibuat daripada 75g serbuk glukos yang dilarutkan dalam segelas air. Rasanya amat manis, malah perlu dihabiskan sehingga habis dalam masa 20 minit. Bila masuk ke dalam tekak, rasa payau dan mual mula berlaku. Kadang-kala menyebabkan pesakit muntah dan ini menyebabkan ujian mOGTT terbatal dengan sendirinya. Pesakit sering mengeluh kerana mereka akan dipanggil untuk datang semula bagi ujian yang sama dalam satu atau dua minggu kemudian.

Penat lelah pesakit serta kakitangan kesihatan dalam menjayakan ujian minum air gula ini ada sebabnya. Di antaranya ialah: Pertama, jumlah kes kencing manis ( Type 2 Diabetes Mellitus) di negara kita Malaysia meningkat dari 11 % ( 2006) hingga 15% ( 2011). Bagi wanita hamil pula, satu kajian menunjukkan kes gestational diabetes dalam wanita hamil juga meningkat sama hingga ke 27.9%! ( 2017, Selangor) Kedua, kencing manis sewaktu hamil atau "Gestational diabetes" membawa risiko kepada ibu dan bayi.
 
JIKA ANDA SUDAH SEMEMANGNYA SEORANG PESAKIT KENCING MANIS, DAPATKAN NASIHAT DOKTOR UNTUK MENSTABILKAN GLUKOS DALAM DARAH, MENJAGA PEMAKANAN, MENJALANI SENAMAN YANG SESUAI, BERHENTI DARI AKTIVITI TIDAK SIHAT SEPERTI MEROKOK DAN SEBAGAINYA.

Yang ketiganya, sebanyak 17 -63% wanita yang mengalami "gestational diabetes" akan terus berisiko untuk mengidap penyakit kencing manis selepas bayi dilahirkan.
 
Jadi Siapakah Wanita Yang Berisiko Ini?

1. Wanita yang mempunyai BMI melebihi 27 kg/m2.
2. Wanita yang pernah mengalami gestattional diabetes.
3. Wanita yang mempunyai ibu, bapa, adik-beradik yang juga pesakit kencing manis.
4. Wanita yang pernah melahirkan bayi 4kg atau lebih.
5. Sejarah perbidanan, keguguran, kelahiran yang bermasalah.
6. Pemeriksaan air kencing didapati mempunyai glukos (sebanyak 2 kali).
7. Masalah kandungan seperti darah tinggi, air tuban bayi yang berlebihan dan penggunaan steroids ketika hamil.

Bagi wanita-wanita yang berisiko, staf klinik kesihatan dan hospital akan menasihati wanita ini untuk menjalani ujian minum air gula secepat mungkin.

Bagi wanita berusia 25 tahun ke atas, tidak mempunyai risiko, akan disarankan menjalini ujian saringan mOGTT tadi ketika bayi berusia di anatara 24 ke 28 minggu.

Bagi wanita berusia 25 tahun ke bawah dan tidak mempunyai risiko, anda bernasib baik kerana tidak perlu minum air gula.

Ujian mOGTT memerlukan darah diambil dua kali. Kali pertama juga dikenali fasting blood sugar, dikatakan normal jika keputusannya kurang atau sama dengan 5.1mmol/L. Kali kedua, darah diambil dua jam selepas minum air gula ( 2-hour-post prandial), keputusannya mestilah 7.8mmol atau kurang dari itu.

(Jika keputusan fasting blood sugar lebih tinggi dari 7 mmol/L, besar kemungkinan wanita ini sudah mengalami diabetes SEBELUM hami lagi).

Jika keputusan saringan mOGTT anda melebihi hadnya, seterusnya ibu hamil akan diberi kaunselling mengenai "diabetic diet" DAN menjalani empat ujian darah yang dikenali sebagai blood sugar profile atau BSP. Jika keputusan BSP adalah normal, pesakit akan terus mengamalkan diabetic diet sehingga kelahiran bayi. Jika keputusan BSP menunjukkan tahap glukos dalam darah terlalu tinggi, doktor akan memulakan penggunaan insulin sebagai rawatan bagi "gestational diabetes" ini.
 


Photo Credit: Freepik.com
Elak Diri Dari Ujian?
Apakah yang boleh berlaku jika mereka yang berisiko "lari" dari menjalani ujian minum air gula ketika hamil? Golongan wanita sebegini mungkin mengalami penyakit kencing manis tanpa disedari.

Ketika hamil, hormon kehamilan merupakan faktor utama mengapa insulin tidak mencukupi di dalam tubuh wanita yang mengandung. Fenomena ini dikenali sebagai "insulin resistance".

Keadaan di mana insulin tidak mencukupi mengakibatkan tahap glukos dalam darah wanita hamil ini berada ditahap tinggi. Glukos yang tinggi boleh menyebabkan masalah di dalam bayi seperti Keguguran Kelahiran pramatang Polyhydramnios ( Air ketuban yang banyak) Makrosomia ( Bayi yang besar) Sudden fetal death ( Kematian bayi dalam kandungan secara tiba-tiba) Masalah jantung dan tulang belakang di dalam bayi Masalah bagi ibu pula adalah seperti sentiasa kerap kencing, sering lapar dan dahaga, kenaikan berat badan dan jika paras glukos dalam darah semakin tinggi, berat badan boleh menurun.
 
Selain itu ibu juga adakan merasa penat dan tidak bertenaga, risiko kelahiran secara Caesarean section juga menghadapi risiko mengidap penyakit kencing manis di masa hadapan/di usia yang lebih tua.

Bagi mengelakkan masalah-masalah ini, pada pendapat saya, setiap wanita yang ingin hamil mestilah berusaha untuk menjaga kesihatan dari peringkat "sebelum hamil" lagi. Jalani hidup yang sihat, lakukan pemeriksaan kesihatan, pastikan tiada kencing manis, darah tinggi dan masalah tiroid misalnya.

Pastikan berat badan sesuai dengan ketinggian. Jika anda sudah sememangnya seorang pesakit kencing manis, dapatkan nasihat doktor untuk menstabilkan glukos dalam darah, menjaga pemakanan, menjalani senaman yang sesuai, berhenti dari aktiviti tidak sihat seperti merokok dan sebagainya. Doktor juga akan menasihati puan mengenai senarai ubat-ubatan yang selamat diambil ketika hamil.

Kesimpulannya, jika kita hamil di usia 25 tahun ke bawah dan tidak mempunyai risiko untuk kencing manis, kita tidak perlu untuk minum air gula ketika hamil. Bagi wanita-wanita yang lain, nampaknya pilihan yang yang bijak adalah untuk cekalkan hati dan jalani ujian mOGTT ini.

 
Dr. Norintan Binti Zainal Shah
Consultant Obstetrics & Gynecologist
Columbia Asia Hospital – Seremban
MBBCh BAO (Ireland), LRCP & SI (Ireland), MMed (Obs & Gyn) (USM)

PDF and Online Articles:
   
Looking for Obstetrics & Gynecology in Columbia Asia?

Follow us for latest Health Tips: